Globalisasi bawa ramai orang Afrika di Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 5 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA anda berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur pada kira-kira 10 tahun lepas, peluang untuk bertembung dengan orang Afrika mungkin agak jarang sekali.

Namun dengan arus globalisasi sekarang ini, orang Afrika mula mengorak langkah memasuki Malaysia sebagai ahli perniagaan, pelancong dan pelajar, setelah mereka lebih mengenali dan melihat peluang yang terdapat di negara ini.

Menurut Duta Senegal ke Malaysia, Abdel Kader Pierre Fall, globalisasi juga menjadikan orang Afrika lebih peka mengenai potensi yang terdapat di Asia dan ekoran itu semakin ramai daripada mereka memasuki Asia termasuk Malaysia.

Orang Afrika juga memasuki Malaysia atas sebab 'pelancongan perubatan' kerana ia lebih murah untuk berbuat demikian di negara ini berbanding di Eropah yang sebelum ini mereka lakukan, katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Malaysia mempunyai kelebihan menerusi pelancongan perubatan kerana seseorang itu akan mendapat pulangan yang berbaloi daripada wang yang dibelanjakan, kata duta itu yang juga naib dekan Kumpulan Diplomatik Afrika di sini.

RAMAI BERKUNJUNG

Abdel Kader juga menjangkakan lebih ramai lagi orang Afrika melawat tempat-tempat pelancongan di Malaysia dan menambah bahawa orang Afrika kini lebih mengenali Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan selain hab pendidikan.

Duta itu berkata selain pelancongan, orang Afrika juga ingin mempelbagaikan perkongsian dengan Malaysia menerusi perdagangan, kerjasama teknikal dan malahan politik.

Dengan menyifatkan hubungan antara Afrika dan Malaysia sebagai memberangsangkan, beliau memberi contoh pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) anjuran MATRADE di sini baru-baru ini, bahawa hampir 30 peratus delegasi Senegal membeli sehingga "beberapa kontena untuk dihantar pulang".

"Perdagangan dengan Malaysia sudah semestinya menuju ke hadapan dan kami melihat lebih ramai orang Afrika datang ke Malaysia untuk membeli produk dan ramai orang Malaysia pula yang pergi ke Senegal dan negara lain di Afrika untuk menjalinkan perkongsian dalam perdagangan," kata duta itu lagi.

Dan apabila Afrika menyambut Hari Afrika ke-46 di sini pada Mei lepas, beliau berkata ia bukan sahaja sambutan yang meriah bagi benua itu malahan disifatkan sebagai satu sambutan persahabatan antara Afrika dan Malaysia.

LEBIH PEKA

Begitu juga, kebanyakan negara di Afrika menganggotai Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) hinggakan pada peringkat itu dapat dilihat satu jalinan 'hubungan sempurna' dengan Malaysia, katanya.

Presiden Senegal Abdulaye Wade ialah pengerusi OIC pada masa sekarang, yang mempunyai 57 keanggotaan, selepas mengambil alih daripada bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun lepas.

Menurut Abdel Kader, masyarakat Afrika menyambut ulangtahun Hari Afrika pada 25 Mei sebagai memperkuatkan komitmen mereka mencapai perpaduan di kalangan masyarakat Afrika dan bagi memastikan tiada seorang pun orang Afrika dikecualikan daripada kemerdekaan.

Sambutan hari itu juga sebagai komitmen Afrika untuk berusaha mencapai pembangunan dan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyatnya, kata duta berkenaan.

Beliau berkata, di Malaysia, Hari Afrika disambut sejak empat atau lima tahun lepas bertujuan agar rakyat Malaysia lebih peka mengenai Afrika secara umum, ekonominya di peringkat global dan situasi politik dan sosialnya.

LEBIH INTERAKSI

Abdel Kader menjelaskan bahawa acara seperti Hari Afrika dan aktiviti kebudayaan dilihat mampu meningkatkan interaksi antara rakyat Malaysia dan Afrika.

Duta berkenaan juga menyatakan hasrat untuk mengadakan beberapa 'pelancongan kebudayaan".

"Memandangkan ramai orang Islam di Afrika dan Malaysia membolehkan lebih banyak pertukaran (pelancong) di peringkat tersebut, jadi saya melihat pada masa akan datang pelancongan akan menjadi contoh pertumbuhan antara negara Malaysia dan Afrika," katanya.

Malahan, 'misteri Afrika' juga mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelancong dari Malaysia dengan kebudayaan yang 'bertenaga', tempat pelancongan yang menarik termasuk safari yang sememangnya terkenal itu.

Menurut beliau, keindahan pantai di Senegal adalah antara tarikan yang terdapat di negara berkenaan.

PELUANG DI AFRIKA

Terletak di barat daya benua Afrika, Senegal menjadi tumpuan bagi beberapa pantai yang dikategorikan sebagai yang tercantik di dunia manakala Dakar, ibu negaranya, terkenal sebagai pelabuhan kapal pelayaran yang paling sibuk di Afrika.

Mengenai peluang perdagangan di Afrika, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa negara-negara Afrika menyediakan peluang pelaburan, yang patut dilihat dan diterokai oleh ahli perniagaan di Malaysia.

Beliau menyatakan perkara ini pada Dialog Perkongsian Pintar Global selama tiga hari di Kampala, Uganda dari 26 hingga 28 Julai lepas.

Malahan dengan jumlah penduduk menjangkau hampir satu bilion Afrika menjadi lubuk yang menawarkan pelbagai peluang kepada pelabur dan pelancong. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan