suria

Kenapa umat Islam perlu berpuasa?

BERPUASA di sepanjang Ramadan, salah satu daripada lima rukun Islam, pastinya satu daripada ibadah penting dalam Islam.

Tujuan berpuasa pada dasarnya ialah untuk mendisiplin keinginan dan nafsu yang terpendam pada manusia supaya mereka sentiasa berada pada landasan yang betul dalam segala tindak-tanduk mereka.

"Adalah tidak tepat untuk menganggap puasa sebagai satu ibadah untuk mengekang keinginan manusia. Sesuatu yang merupakan sifat semulajadi manusia daripada sudut pandangan Islam tidak boleh dilihat daripada perspektif negatif," kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Sifat-sifat yang baik pada manusia seharusnya dapat mengatasi sifat-sifat yang tidak baik supaya seseorang itu dapat kekal dalam landasan yang betul dan ini boleh dicapai melalui puasa yang dapat membantu mencapai dinamisme produktiviti dan kreativiti dalam semua aktiviti harian mereka.

"Islam berharap menerusi ibadah puasa, manusia boleh mengatasi segala yang jahat dan bukan di sebaliknya. Oleh itu, disiplin moral adalah sangat penting dalam kehidupan moden hari ini," katanya.

PENEKANAN PADA DISIPLIN

Tanpa disiplin moral, semua bentuk penyakit sosial akan muncul dalam masyarakat pada kadar yang menakutkan.

Adalah dilaporkan dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi (S.A.W) pernah bersabda: "Allah tidak memerlukan mereka yang tidak makan minum tetapi tidak dapat mengelakkan kejahatan dan dusta walaupun semasa berpuasa".

Oleh itu, ibadah puasa memberi penekanan besar pada disiplin moral.

Sebenarnya puasa membolehkan seseorang individu untuk menjadi warak dan sangat produktif.

Nik Mustapha menjelaskan akan perlunya untuk mendisiplin aspek kerohanian manusia melalui ibadah puasa dan ini tidak harus berakhir dengan Ramadan walaupun kesan baik rohaniah daripada bulan suci ini kekal untuk tempoh yang lama.

Inilah sebab mengapa dalam Islam ummah digalak berpuasa walaupun selepas Ramadan.

Adalah malang sekali jika terdapat individu yang menganggap berpuasa tidak lagi relevan dalam zaman yang serba moden ini kerana mereka yang berpandangan sedemikian gagal memahami keperluan semulajadi manusia dan turut sama gagal menghargai asas penting yang diperlukan oleh umat manusia untuk berjaya dalam semua segi, termasuk dalam menikmati kemakmuran ekonomi.

KEJAYAAN BERMULA DENGAN PERSEFAHAMAN

Nik Mustapha berkata, apa-apa formula kejayaan dalam semua aspek perlu bermula dengan kefahaman akan sifat semulajadi manusia dan keperluan mereka.

Sebagai ejen perubahan, manusia yang memimpin perubahan dan kemajuan selain menambahbaik dan mengekalkan prestasi mereka.

Islam percaya bahawa personaliti manusia terdiri daripada tiga komponen - tubuh, minda dan jiwa - yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang wajar supaya manusia dapat menjalani kehidupan dengan jayanya.

Kegagalan untuk memenuhi kesemua tiga komponen sifat semulajadi manusia ini akan membawa kesan negatif yang signifikan terhadap potensi seseorang individu dan akhirnya membawa implikasi negatif terhadap hubungan sosial individu dalam masyarakat.

Tubuh fizikal manusia tidak dapat berkembang dengan baik jika seseorang gagal mengamalkan pemakanan yang secukupnya dan begitu juga dengan minda dan jiwa manusia.

Minda manusia memerlukan pengetahuan sebenar serta idea-idea baru menerusi pembelajaran berterusan bagi memahami sifat semulajadi dan realiti yang sentiasa berubah sekarang ini dan di masa depan.

KEUNGGULAN

Aspek kerohanian atau jiwa manusia di sebaliknya memerlukan pengisian secara berterusan. Hanya petunjuk dan hidayah daripada Allah yang boleh menjamin bahawa aspek kerohanian ini boleh dibangunkan dengan sewajarnya, sementara minda manusia dengan sendiri tidak mempunyai kemampuan untuk memahami jiwanya, jelas Nik Mustapha.

Kekeliruan dalam masyarakat moden hari ini adalah kerana kita gagal mengiktiraf akan perlunya petunjuk dan hidayah bagi jiwa kita.

"Kesemua keperluan manusia adalah saling berkaitan dan setiap satu memerlukan yang satu lagi untuk melengkapkan kesemua keperluan manusia dan mereka tidak boleh diasingkan," katanya.

Islam percaya asas sebenar bagi kehidupan yang sejahtera mestilah berdasarkan kepada kepercayaan dan pemikiran yang baik, kesucian jiwa dan tindak-tanduk yang betul.

Ibadah puasa di sepanjang Ramadan yang diamalkan oleh umat Islam merupakan satu aspek yang boleh membantu merealisasi objektif-objektif ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain