suria

Chef kapal mewah pulang ke tanah air bawa resepi istimewa

Mazlan Hassim, 39 bekas chef kapal mewah menunjukkan kek yang terdapat di kedainya di Pasir Pekan. -fotoBERNAMA
Mazlan Hassim, 39 bekas chef kapal mewah menunjukkan kek yang terdapat di kedainya di Pasir Pekan. -fotoBERNAMA
Mazlan Hassim, 39 bekas chef kapal mewah menunjukkan kek yang terdapat di kedainya di Pasir Pekan. -fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Jika ingin menikmati rasa kek yang menjadi hidangan raja, anda tidak perlu bersusah payah ke hotel lima bintang atau mengikuti pelayaran kapal mewah tetapi cukup setakat berjumpa chef Mazlan Hassim.

Lelaki berusia 39 tahun dan berasal dari Pasir Pekan dekat sini dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kek dan pastri pasti akan membuatkan sesiapapun yang melihat sajian hasil tangannya itu kecur liur dengan pelbagai jenis kek yang dihasilkannya.

"Cubalah dulu, sebarang komen dialu-alukan," kata Chef Lan selepas menyajikan sekeping kek tiramisu kepada penulis dan temannya.

Sesuap kek tiramisu yang dirasai, ternyata Chef Lan bukan calang-calang pembuat kek.

"Sedap...," kata rakan penulis yang pada mulanya menolak pelawaan Chef Lan untuk merasa kek itu.

CHEF DI KAPAL MEWAH STAR CRUISE

"Inilah kepuasan yang saya peroleh, membuat kek, menghiasnya cantik-cantik dan kemudian melihat kek itu dinikmati sehingga licin.

"Lebih seronok apabila kek yang dihasilkan saya itu dapat dinikmati semua golongan, bukan golongan berada dan golongan kenamaan sahaja," kata Chef Lan tersenyum melihat kek yang dihidangkannya habis dimakan kami.

Chef Lan, anak kelahiran bumi Langkawi, Kedah dan berkahwin dengan gadis negeri Cik Siti Wan Kembang ini, berkata pengalamannya bekerja sebagai chef kek dan pastri di atas kapal mewah Star Cruise memberinya pelbagai pengalaman.

"Hampir 11 tahun saya bekerja di atas kapal Star Cruise dengan setiap hari pelbagai jenis kek dan pastri dibuat, tetapi semuanya untuk hidangan golongan ternama di seluruh dunia.

"Memang ia sesuatu yang membanggakan tetapi lebih puas dan gembira apabila anda lihat masyarakat kita, terutama orang kampung, yang tidak pernah ke hotel mencuba kek ini buat pertama kali, kemudian menggemarinya," kata Chef Lan.

LEPAS JAWATAN LUMAYAN

Chef Lan berkata tidak timbul rasa menyesal atau rugi bagi beliau meninggalkan pekerjaan lumayannya kerana beliau merasakan sudah tiba masanya beliau memperkenal sajian kek hasil tangannya kepada masyarakat di negara ini.

Bahkan kata Chef Lan yang dikurniakan empat cahaya mata itu, tiada lagi yang dicarinya setelah memperoleh pelbagai pengalaman dan kenangan paling manis sepanjang berkhidmat sebagai chef di kapal mewah itu.

"Rasanya pengalaman merantau ke seluruh negara sudah mencukupi, sekarang tiba masa untuk cipta pengalaman baru di negara sendiri.

"Apatah lagi saya pernah melalui satu pengalaman paling indah apabila mendapat tempat kedua dalam pertandingan membuat kek perkahwinan yang disertai chef terkemuka dari lapan buah negara antaranya New Zealand, Singapura, Jepun dan Korea," katanya.

Chef Lan berkata sehingga kini pertandingan yang berlangsung di Hong Kong Exhibition Center itu menjadi kenangan manis baginya dan menganggap ia juga satu pengiktirafan kepada negara.

BAWA PULANG "SESUATU" UNTUK DIKONGSI

Keputusan Chef Lan untuk pulang dan menetap di sini, katanya, bukan semata-mata kerana rindunya kepada anak dan isteri, tetapi ada sesuatu yang dibawa pulang bersama untuk dikongsi bersama masyarakat.

Beliau berkata sepanjang berkhidmat sebagai chef di atas kapal mewah itu, pelbagai resepi kek dan pastri dipelajarinya daripada chef serata dunia yang turut bekerja di situ.

Kepelbagaian cita rasa pelanggan dari pelbagai pelusuk negara juga membuatkan beliau tahu apakah resepi kek paling digemari khususnya cita rasa golongan kenamaan.

"Saya merantau ke pelbagai negara, temui masyarakat dan golongan kenamaan dari Jepun, Australia, Itali, Singapura, China, India, Vietnam, Filipina dan pelbagai lagi, dan apa yang saya sedari, satu menu wajib hidangan pencuci mulut golongan ini ialah 'Tiramisu'.

Tiramisu dikatakan sajian kegemaran maharaja Itali dan makanan popular ini dihasilkan dalam pelbagai variasi.

"Mengikut sejarah, kek tiramisu itu asalnya dari Itali yang mana seketika dahulu Maharaja Itali yang sangat menggemari keju mengadakan satu pertandingan mencari seseorang yang boleh mencipta satu resepi kek daripada keju.

"Dari situlah munculnya idea menghasilkan kek itu sehingga ia menjadi kegemaran utama maharaja terbabit dan mula dikenali ramai," katanya.

Beliau mengakui memang beliau bukan orang pertama yang memperkenal kek tiramisu di negara ini tetapi "saya mahu menjadi orang pertama yang membawa kek ini untuk dirasai oleh semua golongan terutama orang kampung di pedalaman".

MAHIR RESEPI ASLI SAJIAN MAHARAJA ITALI

Menurut Chef Lan, beliau sering kali menjamu para pemimpin negara dari seluruh dunia dan acap kali itu juga beliau diminta tidak lupa menyajikan kek tiramisu.

Meskipun kek tiramisu kini sudah agak mudah didapati, beliau tidak bimbang kerana yakin kek hasil buatannya mempunyai keunikan tersendiri kerana beliau tidak kedekut mengadun pelbagai bahan ke dalam sajiannya.

"Saya pastikan guna keju, tepung, mentega dan serbuk coklat yang berkualiti, meskipun kosnya agak mahal saya tidak mengurangkan adunannya untuk berjimat kerana saya tidak mahu kek itu rasanya seperti ada yang tidak kena," katanya.

SELAMAT DATANG KE CHEF LANZ RECIPE

Kini setelah hampir lapan bulan Chef Lan berada di tanah air, beliau mampu tersenyum bangga kerana semakin ramai yang menjadi peminat setia resepi kek tiramisunya.

Lebih mengembirakan, sejak dua bulan lalu masyarakat tidak lagi perlu bersusah-susah mencari Chef Lan di rumahnya sebaliknya Chef Lan bersedia menghantar kek buatannya terus kepada pelanggan.

"Sekarang kalau mahu makan kek tiramisu atau pelbagai jenis kek dan pastri, datanglah ke Chef Lanz Recipe, ada pelbagai kek untuk semua, tapi kalau tidak sempat datang, telefon sahaja, kami akan hantar," kata Chef Lan tentang perkhidmatan yang disediakan di kedai kek barunya, Chef Lanz Recipe yang dibuka bersama seorang birasnya, Mohd Aseri Abdullah Azzas, 34.

Chef Lan berkata kewujudan kedai kek itu menjadi satu permulaan terbaik buatnya merealisasikan hasratnya memperkenal kek yang digemari golongan kenamaan ini kepada semua.

"Semuanya bermula tanpa dirancang. Mula-mula pulang dulu agak sukar nak cari kerja, saya hanya buat kek kecil-kecilan di rumah untuk dijual pada jiran dan terdekat.

"Kemudian timbul idea dari biras saya untuk mencuba buka kedai ini. Alhamdulillah, percubaan awal nyata tidak sia-sia," katanya.

EDAR SECARA PERCUMA

Meskipun baru dua bulan usianya, kedai kek dan pastri milik Chef Lan ini semakin dikenali dan Chef Lan mempelbagaikan lagi resepi keknya.

Lebih membanggakan apabila kedai yang terletak di Bandar Baru Pasir Pekan itu mencatatkan jualan di luar jangkaan dan pertambahan permintaan dari seluruh Kelantan dan Terengganu.

"Bagi mereka di daerah pedalaman seperti Tanah Merah dan Pasir Mas, kakitangan Chef Lanz Recipe dihantar ke daerah-daerah terbabit dengan membawa kek tiramisu khas untuk dicuba mereka," katanya.

"Selepas beri kek secara percuma, mereka mesti datang cari saya di Chef Lanz Recipe, tanya mana chefnya kemudian beli banyak kek untuk dibawa pulang.

"Paling tidak dilupa apabila ramai yang menepuk bahu saya, mengucapkan tahniah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain