Nostalgia Merdeka Kopitiam Min Heng

Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengusaha kedai kopi, Chiam Tatt Eng, 71, menunjukkan cawan lama yang masih digunakan di kedainya ketika ditemui Bernama di kedai itu yang terletak kira-kira 100 meter dari Padang Merdeka, baru-baru ini. Kedai kopi
Pengusaha kedai kopi, Chiam Tatt Eng, 71, menunjukkan cawan lama yang masih digunakan di kedainya ketika ditemui Bernama di kedai itu yang terletak kira-kira 100 meter dari Padang Merdeka, baru-baru ini. Kedai kopi "Min Heng" dibuka oleh bapanya pada tahun 1955 iaitu ketika Sarawak masih berada di bawah pemerintahan kerajaan British. -fotoBERNAMA

KUCHING: Chiam Tatt Eng, seorang pengusaha kedai kopi di sini tidak pernah lupa tanggal keramat 16 Sept 1963 apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia yang merdeka.

Chiam ketika itu baru berusia 25 tahun, tetapi tidak berpeluang menyambut kemeriahan perayaan bersama rakan-rakan seusia yang lain kerana sibuk membantu bapanya di kopitiam di Jalan Carpenter.

Kedai itu hanya terletak kira-kira 100 meter dari Padang Merdeka tempat berlangsungnya majlis sambutan penyertaan Sarawak untuk membentuk Malaysia.

"Pada hari itu memang ramai orang di Kuching termasuk pasukan seragam polis dan tentera, jalan ini (Jalan Carpenter) dan Jalan Lebuh India penuh dengan orang daripada pelbagai bangsa dan agama, tapi apa yang saya ingat ketika itu kedai bapa saya memang ramai pelanggan," kata Chiam.

Menurut Chiam, 71, menjadi pembancuh teh dan kopi membantu bapanya di koptiam "Min Heng" iaitu sempena nama bapanya sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Chiam berkata bapanya mula membuka kopitiam Min Heng yang dibeli daripada seorang ahli keluarganya pada tahun 1955 iaitu ketika Sarawak masih berada di bawah pemerintahan kerajaan British.

KEDAI DIBUKA SAMPAI PAGI

Katanya sebelum merdeka kedai kopi bapanya dibuka dari pukul 5 pagi hingga 12 tengah malam dan sering menerima kunjungan orang kenamaan seperti pembesar British yang ada urusan rasmi di Kuching.

Ketika itu, katanya, tidak banyak kedai kopi di Jalan Carpenter dan kedai bapanya (yang kini berusia 125 tahun) sering menjadi tumpuan kerana mempunyai pelbagai pilihan makanan termasuk Mee Jawa.

Selain pembesar British, beberapa pemimpin terkemuka Sarawak di era selepas merdeka seperti bekas ketua menteri Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Tun Abdul Rahman Yaakub dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga pernah minum di Min Heng.

"Apa yang saya masih ingat ialah satu majlis meraikan (Tan Sri) Taib di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kami menghantar minuman ke situ," katanya.

Antara kelengkapan asal yang masih kekal di Min Heng ialah kerusi dan meja minum yang menurut Chiam, diimport dari Belanda dan kini berusia 60 tahun.

Chiam berkata walaupun hari ini kedai ini hanya dibuka dari pukul 5 pagi hingga 2 petang, namun dia tetap berbangga kerana masih lagi mewarisi perniagaan kedai kopi selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 1984.

KOPI BERHARGA 5-10 SEN

Katanya pada era 50-an dan 60-an secawan kopi hanya dijual pada harga lima sen dan 10 sen secawan dan selain kopi, kegemaran utama pelanggannya dulu ialah minuman Horlicks dan Ovaltine.

"Masa itu tidak ada Milo ataupun Nescafe, kebanyakan pelanggan tidak kira apa bangsa pun datang minum teh dan kopi dan bagi yang ada duit sikit mereka akan minum Ovaltine dan Horlicks sambil menikmati Mee Jawa dan sebagainya," katanya.

Menurut Chiam, kedai itu juga ketika itu menjadi tumpuan penjawat awam sekitar Padang Merdeka seperti Pejabat Pos, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Tanah dan Pemetaan.

"Dulu kawasan ini ada beberapa buah bank, seawal tahun 60-an ada bank di sini selain kedai emas yang masih wujud hingga sekarang," katanya.

SIAPA JUAL MI JAWA?

Kalau Chiam menjual kopi, siapa pula yang menyedikan Mee Jawa yang menjadi tarikan pelanggan ke Kedai Kopi Min Heng?

Beliau ialah Awang Dahlan Awang Cibon, 72, rakan niaga setia Chiam hampir 50 tahun.

Dengan menjual Mee Jawa di Min Heng, Awang Dahlan berkata hubungannya dengan Chiam sudah seperti saudara dan mereka seperti sudah sehati sejiwa untuk meneruskan sisa-sisa hidup di Min Heng.

"Dulu sebut sahaja Min Heng semua orang tahu dan pastinya ia menjadi tumpuan utama pekerja kerajaan serta orang ramai yang berurusan di pejabat-pejabat kerajaan berhampiran Jalan Carpenter," katanya.

Mee Jawa beliau dulu berharga 80 sen semangkuk.

ZAMAN BERUBAH

Awang Dahlan berkata kini keadaan sudah jauh berubah, tidak ramai anak muda yang datang berkunjung ke Min Heng walaupun kawasan itu sebahagian daripada kawasan tumpuan ramai.

"Sekarang sudah ada banyak kedai dan restoran baru dan tempat ini mungkin tidak selesa kepada generasi muda, tetapi apa yang pasti, masih ada rakan dan kawan lama yang datang ke sini menjenguk saya dan Chiam untuk berkongsi nostalgia," katanya.

Awang Dahlan berkata sepanjang beliau berniaga bersama Chiam, beliau tidak pernah pun berasa curiga dan bersengketa kerana yang mereka pentingkan ialah sikap hormat menghormati.

Kisah Chiam dan Awang ini satu contoh keunikan kehidupan harmoni pelbagai bangsa dalam Malaysia yang merdeka. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan