suria

Coretan kenangan Bapa Kemerdekaan

TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj berusia 74 tahun ketika allahyarham menulis kata pengantar untuk "Looking Back", sebuah buku yang mengandungi koleksi tulisan beliau dalam akhbar The Star.

Buku itu, yang diterbitkan pada tahun 1977, kemudian diterjemah oleh Jabatan Penerangan sempena 50 tahun negara Merdeka pada 2007 dengan tajuk "Coretan Kenangan".

Di dalam buku berkenaan Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu berkata walaupun usia semakin meningkat beliau masih ingat dan menghargai gelaran "Bapa Malaya" dan kemudian "Bapa Malaysia" yang diberikan kepadanya sebagai menghormati peranan yang dimainkan beliau semasa kelahiran negara ini.

Tunku berharap buku itu menjadi khazanah yang berguna dan bahan rujukan generasi muda Malaysia mengenai data, fakta dan angka sejarah yang beliau ceritakan dan tulis sendiri.

Allahyarham juga merasakan bahawa ketika itu tiada usaha serius dilakukan untuk menceritakan semula perjalanan kemerdekaan Malaya (kemudiannya Malaysia) kepada generasi muda hari ini.

Tunku juga menarik perhatian mengenai seorang penulis akademik yang bukunya tentang kemerdekaan Tanah Melayu diedar ke sekolah-sekolah namun ia tidak langsung mengaitkan namanya dengan proses dan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara.

"Seolah-olah khidmat dan jasa saya tidak perlu dikenang," kata allahyarham, terasa nada kesal yang cuba diluahkan dalam komennya itu.

EPISOD KEMERDEKAAN

Meneliti beberapa episod mengenai kemerdekaan yang beliau coretkan, penulis tertarik dengan kata-kata bekas Perdana Menteri ini bahawa Rundingan Baling atau The Baling Talks (dengan Chin Peng) sebenarnya yang menyediakan perimudi negara ke arah kemerdekaan 1957.

Peristiwa ini diceritakan beliau di dalam artikel yang ditulisnya pada 1974 ketika perhatian seluruh negara berpusat ke arah tindakan pelajar institut pengajian tinggi berdemonstrasi kononnya memperjuang petani miskin yang tertindas, sedangkan kerajaan mengetahui siapa di sebalik ketegangan itu berlaku.

Mengikut Kertas Putih yang dikeluarkan kerajaan, Parti Komunis Malaya (PKM) telah menggunakan pelajar universiti atau pertubuhan yang mempunyai kaitan dengannya untuk menggerakkan propaganda bagi memenangi sokongan orang ramai terhadap matlamat revolusi mereka.

Demi kepentingan rakyat, kata Tunku, beliau perlu menjelaskan pendiriannya terhadap beberapa peristiwa penting yang berlaku untuk memberikan gambaran jelas kepada rakyat tentang matlamat, tujuan dan perjuangan PKM untuk mengambil alih pemerintahan di negara ini.

Justeru kaedah yang paling mudah ialah menceritakan mengenai pertemuan beliau dengan pemimpin komunis itu di sebuah sekolah yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Putera, Baling.

PERTEMUAN DI BALING

Tunku mencatatkan bahawa kali pertama beliau bertemu dengan setiausaha agung PKM itu ialah pada 19 Dis 1955 di Baling, Kedah.

Ketika itu Tunku ialah Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

"Saya masih menganggap bahawa rundingan itu menjadi suatu epik dalam sejarah negara ini," katanya, kerana pertemuan itu diadakan untuk mencuba satu pendekatan baru bagi menamatkan pelbagai kesengsaraan yang dilalui penduduk setelah melalui tujuh tahun tempoh Darurat 1948.

"Komunis sering mendakwa bahawa mereka berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Saya akan berjumpa dengan pemimpin mereka serta menegaskan kepadanya bahawa kehadiran saya ialah sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British - ringkasnya menangkis dakwaan PKM dan Chin Peng bahawa dialah yang cuba membebaskan Tanah Melayu," kata Tunku.

Tunku menceritakan bagaimana pada akhir rundingan selama dua hari itu, amat jelas motif dan sentimen serta kesetiaan PKM. Untuk julung kalinya PKM menyedari bahawa mereka bukan berurusan dengan seorang wakil imperialis, akan tetapi seorang pemimpin yang mendapat sokongan popular dari seluruh negara.

Apabila Chin Peng membuat keputusan yang pihaknya tidak akan meletak senjata, ia amat jelas kepada rakyat Tanah Melayu bahawa pemimpin PKM itu ingin meneruskan tindakan kejam dan ganasnya bagi mencapai cita-cita peribadinya tanpa mempedulikan kesengsaraan akibat perbuatan itu.

"Saya memberi jaminan kepada Chin Peng bahawa saya akan mendapatkan kemerdekaan untuk negara ini...(sebelum itu mengambil beberapa langkah penting urusan keselamatan dalam negeri, tentera dan kuasa pengampunan).

"Saya katakan kepadanya bahawa saya akan ke London untuk berbincang tentang langkah bagi mengambil alih tanggungjawab terhadap Keselamatan Dalam Negeri dan kuasa penuh terhadap darurat," katanya.

Tunku berkata sekiranya PKM juga mempunyai niat baik, sama seperti rakyat Tanah Melayu yang lain untuk memperjuang kemerderkaan negara, maka sudah tentulah Chin Peng tidak ada pilihan lain kecuali bersetuju untuk menghentikan penentangan bersenjatanya.

KEMERDEKAAN CARA TUNKU

Chin Peng diberi masa untuk memikirkan butir-butir perbicangan itu. Bagaimanapun keesokan harinya apabila rundingan disambung semula, pemimpin PKM itu dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak akan menerima pengampunan yang ditawarkan kerana ia bererti penyerahan diri.

Akibatnya peperangan diteruskan.

Perdana Menteri pertama ini menceritakan bahawa apa yang tidak banyak diketahui orang ramai ialah tentang betapa sukarnya beliau untuk mendapatkan persetujuan daripada (pihak berkuasa) British ketika itu bagi mengadakan perjumpaan dengan Chin Peng.

Turut serta semasa rundingan itu ialah David Marshall (Ketua Menteri Singapura) dan Datuk Seri Tan Cheng Lock (Presiden Malayan Chinese Association - MCA).

Beliau cuba meyakinkan mereka tentang betapa pentingnya mengadakan hubungan secara terus dengan PKM agar rakyat boleh mendapat gambaran lebih jelas tentang bentuk pemikiran Chin Peng serta motif sebenarnya melakukan keganasan di negara ini.

"Pertemuan saya dengan Chin Peng bolehlah dikatakan suatu anugerah Tuhan kerana melalui pertemuan itu dan laporan yang disiarkan tentangnya (banyak akhbar di dalam dan luar negara menyiarkan berita dan komentar mengenai pertemuan itu) kami berjaya menawan hati dan minda rakyat," kata Tunku.

Di dalam artikel seterusya, Tunku menekankan bahawa dalam mengatur pertemuan dengan Chin Peng, matlamat beliau ialah mahu membuktikan kepada dunia bahawa jika Chin Peng menggunakan peluru dan melakukan keganasan di seluruh negara dalam menegaskan prinsip perjuangannya, cara Tunku pula ialah mencapai kemerdekaan melalui Perlembagaan.

Beliau berkata hasil yang paling ketara daripada Rundingan Baling ialah pihak yang dipilih oleh rakyat berjaya mengatasi kuasa bertindak yang dimiliki PKM.

Jelas sekali bahawa kempen keganasan dan kemusnahan yang diamalkan komunis telah mencetuskan perasaan benci di hati kebanyakan orang.

NEGARA CONTOH

Tunku juga dalam artikel itu berkata kemerdekaan yang negara nikmati sejak 1957 menjadi contoh yang amat menyerlah kepada dunia.

"Kita telah memanfaatkan sepenuhnya kemerdekaan yang kita capai dengan tidak membazirkan kekayaan, sumber alam dan bakat yang kita miliki untuk bergaduh dan bertelagah tetapi untuk mempertahan bentuk kerajaan yang kita inginkan agar ia terus memberi manfaat kepada negara kita," katanya.

Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada 6 Dis 1990 dan jasanya sebagai Bapa Kemerdekaan sentiasa dikenang terutama setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan.

Allahyarham semasa hayatnya menyatakan bahawa tujuannya menulis di dalam akhbar The Star ialah bagi menjelaskan kepada generasi muda tentang peri pentingnya mereka mengetahui perisitiwa bersejarah yang berlaku sejak Perang Dunia Kedua yang merintis jalan ke arah kemerdekaan tanah air dan bangsa.

Apabila artikel-artikel ini dibukukan, ia menjadi bahan rujukan yang amat berharga. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain