suria

Rumah transit. Kurangkan masalah pembantu rumah?

"SEBELUM ke tempat kerja, saya akan hantar anak-anak saya ke sekolah. Lepas sekolah, van akan membawa mereka ke sebuah rumah di mana mereka boleh makan, rehat dan mandi sebelum pergi ke Kelas Kafa (Alquran dan Fardu Ain).

"Van yang sama akan menjemput mereka dari Kelas Kafa dan pulang ke rumah itu sebelum saya ambil mereka balik selepas habis kerja," eksekutif bank Tajuri Hamzah, 40, menceritakan rutin hariannya kepada penulis baru-baru ini.

Tajuri dan isteri, seorang penjawat awam, bekerja di kota raya ini dan mempunyai dua orang anak lelaki, berumur tujuh dan lapan tahun. Kediaman mereka ialah di Bandar Tasik Puteri, 60 km dari sini.

"Kami pernah ada pembantu rumah warga asing. Tapi bila anak-anak saya mula bersekolah, kami membuat keputusan untuk tidak lagi mengambil khidmat pembantu rumah.

"(Dahulu) Saya bayar RM450 sebulan untuk pembantu tidak termasuk kos lain. Bagi rumah yang menjaga anakanak kami sekarang, saya bayar RM300 sebulan termasuk makan dan khidmat van.

"Kini saya tidak lagi perlu bimbang tentang apa yang jadi di rumah masa semasa saya bekerja. Dahulu pembantu rumah banyak buat saya pening kepala," kata Tajuri.

Tajuri ialah antara ibu bapa bekerja yang tidak mahu mengambil khidmat pembantu rumah dan menghantar anak mereka yang bersekolah ke rumah jagaan harian yang juga dikenali sebagai 'rumah transit'.

BUKAN SESUATU YANG BARU

"Rumah transit bukanlah satu konsep yang baru tetapi masih tidak begitu meluas di negara ini," menurut Salim Hadi yang mengusahakan sebuah rumah transit bagi anakanak yang bersekolah di Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini.

"Saya kenakan bayaran RM120 sebulan untuk seorang anak. Kami menyediakan satu tempat yang selamat bagi mereka untuk tinggal selepas sekolah dan semasa menunggu untuk pergi ke sekolah agama.

"Mereka diberi tempat yang selesa untuk mandi, makan dan buat kerja sekolah sambil menunggu ibu bapa mereka mengambil mereka pulang ke rumah masing-masing.

"Menjaga anakanak berumur tujuh hingga 12 tahun tak susah kerana mereka ini dah pandai bawa diri masing-masing. Ibu bapa mereka hanya perlu tempat yang selamat bagi anakanak mereka bagi waktu sebelum atau selepas sekolah,"kata Salim, sambil menjelaskan bahawarumah transit beliau tidak mengambil anakanak yang di bawah umur enam tahun.

"Menjaga anak kecil perlu ada penjaga yang terlatih. Kalau ada ibu bapa yang mahu menghantar anak kecil mereka ke sini, saya akan rujukkan kepada pusat jagaan harian untuk anakanak kecil di dalam kawasan perumahan yang sama," kata Salim.

Menurut beliau, mengusahakan rumah transit sebegini perlu ada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

BUKAN SATU JAwAPAN

Bagi sesetengah ibu bapa, rumah transit seperti yang diusahakan Salim bukanlah satu penyelesaian bagi mereka yang bekerja dan mempunyai anak kecil.

"Kami masih perlu pembantu rumah untuk menjaga anak kecil kami yang berumur dua tahun. Menghantar ke pusat jagaan harian merupakan satu pilihan, tapi kami rasa anak kami perlu dijaga dalam suasana yang selesa iaitu di rumah kami," menurut Kasmah Kartimim, seorang guru dari Kuang, Sungai Buloh dekat sini.

Menurut Kasmah, menghantar anak ke pusat jagaan harian juga boleh menimbulkan masalah.

"Ada pusat jagaan harian yang menetapkan bayaran mengikut jam. Kalau kita lambat ambil anak, bayaran akan naik. Kalau ada pembantu di rumah, kita boleh terus balik dari tempat kerja dan tak payah nak melencong ke tempat lain untuk ambil anak," kata beliau.

Bagi Kasmah, semuanya bergantung kepada satu perkara.

"Yang pentingnya keselesaan dan keselamatan anak. Selagi mereka selamat sama ada di rumah sendiri, rumah transit atau pusat jagaan harian, ibu bapa akan gembira dan puas hati". BERNAMA

Artikel Lain