suria

Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) JKM ringankan beban ibu bapa

SEBAGAI sebuah agensi sosial dengan fungsi terasnya ialah pencegahan, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) ternyata mempunyai peranan yang luas, bukan sahaja untuk kebajikan atau setakat menghulur bantuan kepada mangsa banjir, atau golongan fakir miskin. Sebagai contoh, JKM mempunyai banyak program komuniti khusus untuk membantu masyarakat serta meringankan beban ibu bapa yang mungkin berhadapan dengan kekangan kewangan.

Antara program komuniti yang giat dijalankan ialah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang ditubuhkan JKM sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut Pengarah Kanak-Kanak JKM, Nor Amni Yusoff, setakat ini pihaknya menubuhkan 139 PAKK di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan bilangan PAKK di satu-satu daerah bergantung kepada keperluan masyarakat setempat.

"Pada peringkat permulaan, kami buka PAKK di kawasan berisiko tinggi. Ini bermakna di kawasan itu terdapat ramai kanak-kanak terlibat dengan kegiatan jenayah dan kes penderaan kanak-kanak juga tinggi. "Ini berdasarkan perangkaan Jabatan dan apa yang kami lakukan ini menunjukkan JKM bukan sekadar mengumpul statistik. Kami pantau keadaan dan jika diperlukan, kami akan bertindak, seperti membuka Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ni," jelasnya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. AKTIVITI PAKK

PAKK yang dibuka bagi membanteras anak-anak daripada terjebak dengan kegiatan negatif, dikendalikan oleh seorang pemudahcara dengan dibantu seorang penyelia. Di sesetengah tempat, penyelia akan dibantu oleh seorang penolong penyelia.

Antara kegiatan yang dijalankan termasuk membuka kelas komputer, tuisyen dan kesenian termasuk kompang di samping program motivasi dan kelas fardu ain.

Di PAKK yang keahliannya dibuka untuk mereka yang berumur di bawah 18 tahun, juga disediakan pusat sumber dan permainan dalaman seperti karom.

"Semua kegiatan ini percuma dan jika dikenakan bayaran pun, contoh kelas tuisyen atau komputer, bayaran yang dikenakan adalah kecil, mungkin antara RM5 atau RM10. Kalau dikenakan bayaran, mereka akan lebih komited untuk menghadiri kelas," jelas Nor Amni.

Beliau berkata ada juga yang datang ke PAKK untuk berrhat disebabkan mereka mempunyai ramai adik beradik dan keadaan rumah juga sempit.

"Tambahan di PAKK mereka akan berjumpa dengan rakan sebaya untuk bermain atau belajar," kata beliau sambil berkata mereka yang datang ke PAKK perlu mendaftar diri untuk memudahkan ibu bapa mereka yang mungkin mencari di mana anak mereka berada pada satu-satu masa. Mengenai waktu perkhidmatan PAKK, beliau memberitahu bahawa ia bergantung kepada keperluan setempat di mana ia mungkin dibuka pada sebelah pagi, petang atau malam. PAKK juga, katanya, beroperasi tujuh hari seminggu bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

ERAT HUBUNGAN

Di samping kegiatan untuk kanak-kanak, PAKK juga menganjurkan program yang membabitkan ibu bapa seperti perkelahan yang boleh mengeratkan hubungan mereka dengan anak-anak.

"Ibu bapa juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling di PAKK sekiranya mereka dirujuk oleh JKM untuk berbuat demikian," tambahnya.

"Sebenarnya kegiatan PAKK bergantung kepada kreativiti jawatankuasa serta pemudah cara pusat berkenaan. Mereka boleh menjalankan pelbagai program untuk kepentingan komuniti mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan hanya memantau program yang dikendalikan di satusatu PAKK.

BUKA LEBIH BANYAK

Nor Amni menjelaskan bahawa JKM juga dalam proses untuk membuka sebuah lagi PAKK di kawasan berisiko tinggi di Johor Baharu.

"Asalnya bangunan itu ialah sebuah balai raya. Kami perlu buat banyak kerja naik taraf seperti membaiki bumbung sebelum ia dapat digunakan.

"Untuk PAKK ini, kami bekerjasama dengan tiga agensi iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), IRDA (Iskandar Regional Development Authority) dan Bahagian Dasar Sosial Negara," tambahnya.

Menurut beliau, pihaknya juga menerima banyak permohonan untuk membuka PAKK, bagaimanapun pembukaan PAKK baru bergantung kepada peruntukan memandangkan kos yang semakin meningkat.

"Sebelum ini kami hanya belanja sekitar RM64,000 untuk buka satu PAKK. Sekarang jumlah itu tidak mencukupi untuk membayar sewa premis, bil utiliti seperti elektrik dan air, pusat sumber, bilik kaunseling dan pelbagai lagi. Sekurang-kurangnya kos untuk satu PAKK sekarang ialah lebih RM100,000. "Kami juga perlu menggaji penyelia dan pemudah cara. Untuk jawatan itu, kami ambil siswazah supaya mereka boleh mengendalikan program dengan lebih cekap dan teratur," katanya.

TASKA KOMUNITI

Menurut Nor Amni, bagi sesetengah PAKK yang mempunyai ruang luas, pihak JKM memberi pengiktirafan untuk mereka membuka taska komuniti yang boleh menambah pendapatan kepada PAKK berkenaan.

Taska itu, katanya, khusus untuk mereka daripada golongan yang berpendapatan rendah.

"Bagi ibu bapa di bandar yang pendapatan mereka RM2,000 ke bawah, anak mereka akan diberi subsidi RM180 seorang. Mereka cuma perlu membayar perbezaan yuran sebenarnya sebulan," jelasnya.

Setakat ini, JKM memberi pengiktirafan untuk 36 buah Taska Komuniti.

Dalam masa yang sama, Nor Amni berkata pihaknya menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membuka Taska Komuniti ini.

"Kerajaan memberi geran penubuhan sebanyak RM55,000 untuk membayar deposit sewa dan membeli peralatan yang tidak perlu dibayar balik. Setiap tahun, kerajaan memberi geran operasi sebanyak RM64,000 bagi taska yang mempunyai 30 orang kanak-kanak," katanya.

JAGAAN HARIAN

Di samping itu, Nor Amni berkata ada juga PAKK yang menawarkan khidmat penjagaan harian untuk anak-anak yang memerlukan, kerana keduadua ibu bapa mereka bekerja.

"Khidmat penjagaan harian ini adalah untuk kanakkanak sebelum mereka pergi ke sekolah atau pun selepas balik dari sekolah. Tempat ini boleh dikatakan menjadi tempat persinggahan untuk mereka sementara menunggu ibu bapa balik daripada kerja," jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu anak-anak menjadi "latchkey kids" iaitu anak-anak yang membuka atau mengunci rumah.

"Kami akan memperluas dan memantapkan lagi perkhidmatan ini untuk meliputi lebih banyak PAKK. Pada pandangan saya, usaha ini boleh membantu meringankan beban ibu bapa serta mengatasi masalah keperluan orang gaji.

"Ia juga lebih selamat kerana di PAKK kami ada penyelia berbanding jika anak itu tinggal sendirian di rumah. Kalau hendak diikutkan, ramai kanak-kanak yang begini," katanya.

Mengenai bayaran, Nor Amni berkata ibu bapa hanya perlu membayar wang makan anak-anak, sekitar RM5 sehari, bergantung kepada lokasi PAKK itu.

MASALAH ORANG GAJI

Nor Amni berpendapat individu juga boleh menjadikan rumah mereka sebagai pusat jagaan harian bagi membantu mengurangkan bebanan keperluan orang gaji.

Beliau berkata pusat penjagaan harian yang menjaga kurang daripada sembilan kanakkanak tidak perlu memohon lesen atau mendapatkan kelulusan JKM.

Bagaimanapun, katanya, pusat berkenaan masih memerlukan kelulusan tiga agensi iaitu bomba, kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"JKM hanya perlu dimaklumkan supaya kami boleh memantau pusat jagaan ini. Dengan cara ini, bukan sahaja ia boleh mendatangkan pendapatan tetapi dapat mengatasi masalah orang gaji.

"Bagi sesetengah orang, mereka beranggapan orang gaji adalah penyelesai masalah. Kalau hendak diikutkan, ada banyak kemudahan yang mereka boleh gunakan selain bergantung kepada amah," katanya.

Menurut beliau, tenaga muda tempatan juga boleh dibangunkan untuk menjadi pembantu rumah yang berkemahiran dan hanya bekerja mengikut waktu pejabat. JANGAN ABAI

Di sebalik program kemasyarakatan yang dilakukan oleh JKM untuk meringankan beban ibu bapa, Nor Amni berpendapat golongan itu jangan hanya terlalu sibuk bekerja dan mencari wang.

"Ada ibu bapa, hujung minggu pun bekerja tetapi wang bukan segalagalanya. Kita jangan lupa anak-anak juga memerlukan kasih sayang, perlukan perhatian.

"Kalau kita jaga anak kita dengan baik, insyaAllah mereka akan jaga kita balik," kata Nor Amni.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain