Jangan biar isu anak jalanan menjadi barah

Diterbitkan: Selasa, 21 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KETIKA kebanyakan anak yang sebaya ceria menghayun langkah ke sekolah, dia pula hanya menghabiskan usia mudanya menerjah debu di lorong belakang yang menyimpan seribu macam kerenah pahitgetir kehidupan.

Gedung ilmu baginya hanya lorong belakang dan medan letak kereta sementara lingkungan kawankawannya pula terdiri daripada anakanak jalanan atau penagih dadah dan bapa ayam.

Kurang perhatian ibu bapa yang sibuk dengan kerja menjadikan Hisyam (bukan nama sebenar) anak jalanan, terbiar dan tercicir daripada persekolahan. Dalam usia hanya 13 tahun, dia juga sudah terjebak dengan ketagihan menghidu gam.

'Anak jalanan' ini yang mencari wang dengan menjadi atendan letak kereta ditemui sukarelawan Arfidah Ab Latif, ketika membuat kerja mendekati masyarakat di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini barubaru ini.

Beliau turut meninjau pondok papan yang serbaserbi usang dengan dinding yang sudah dimakan anaianai menjadi tempat anak jalanan ini melepaskan lelah bersama rakanrakan senasib dengannya.

Di kawasan yang sama, Arfidah bertemu seorang remaja perempuan berusia kirakira 16 tahun yang berpakaian seksi.

Meskipun jarum jam melepasi pukul 1 pagi, remaja ini masih berkeliaran bersama teman lelakinya dan beberapa remaja lelaki yang lain.

Beliau juga mendapat tahu remaja itu juga pernah tidak pulang ke rumah dan bermalam di rumah kawannya.

Remaja perempuan ini juga, menurut Arfidah ketagih menghidu gam.

Sebagai sukarelawan yang sudah masak dengan kerenah anakanak jalanan ini, hatinya bagai ditusuk sembilu melihatkan anakanak jalanan ini dengan kehidupan yang terumbang-ambing dan bergelumang dengan cara kehidupan yang songsang.

Acap kali juga dia mengesat air matanya yang berjurai mengenangkan nasib anak-anak jalanan ini, seketika terkenang tiga orang anaknya yang disifatkan lebih bernasib baik kerana dijaga keluarganya di kampung.

BAGAI CENDAWAN

Bagi Arfidah, isu anak jalanan ini yang berkeliaran di sekitar Jalan Bukit Bintang, Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, bagaikan 'cendawan, yang dipetik selepas kembang dan kemudian tumbuh balik.'

"Lazimnya cendawan apabila sudah kembang, orang akan petik untuk dimakan atau dijual. Lepas dipetik, cendawan itu akan tumbuh lagi. Macamlah juga anak-anak jalanan ini, kita pantau mereka dan kemudian demi masa depan mereka, kita ambil dari tepi jalan, beri terapi dan serahkan ke pusat-pusat penjagaan.

"Kami ingat bila sudah ditolong, bilangan anakanak jalanan ini akan berkurangan tapi keadaan sebaliknya berlaku. Bilangan mereka terus bertambah. Saya percaya anakanak itu datang dari luar kawasan sini," jelas Arfidah dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Anak-anak jalanan itu, katanya, mengisi masa dengan menyelongkar 'harta karun' (apa sahaja barang yang boleh dijual) di tong-tong sampah untuk mencari wang.

"Yang paling sedih ada anakanak jalanan seawal usia 13 tahun di sekitar Jalan Bukit Bintang sudah menjadi macai iaitu budak suruhan kepada bapa ayam atau pengedar dadah. Ada juga remaja perempuan yang menjadi macai.

"Macai ini juga akan menjadi mangsa buli Otai iaitu mereka yang sudah duduk lama di kawasan berkenaan dan kemudian menjadi pengedar dadah atau bapa ayam. Otai ini bermula sebagai Macai dan kebanyakannya orang Melayu. Ada juga yang berasal dari Sabah dan Sarawak," jelas Arfidah.

Beliau berkata ada anak jalanan (lelaki) yang menjadi 'anak ikan' iaitu anak didik pondan atau 'mak nyah' dan mereka ialah anak pekerja seks yang terbiar dan menjadi rapat dengan pondan yang tinggal berhampiran.

"Pondan yang sudah tua akan mengumpan anak ikan ini yang biasanya mempunyai wajah yang tampan dengan wang ringgit. Kemudian, budak ini akan disolek menjadi perempuan dan disuruh melacur. Pondan tadi akan mengambil sebahagian wang anak ikannya untuk membayar sewa bilik dan untuk perbelanjaan lain," kata Arfidah.

SIAPA ANAK JALANAN

Bercakap lebih lanjut tentang anakanak jalanan ini, Arfidah berkata kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang berkrisis.

Ibu anak-anak jalanan itu mencari nafkah dengan bekerja di kilang, kedai, hotel (sebagai pencuci) dan pegawai perhubungan pelanggan (GRO). Ada juga yang menagih dadah dan menjadi pekerja seks, katanya.

Mengenai bapa mereka, Arfidah memberitahu bahawa kebanyakannya penagih dadah dan ada juga yang sedang menjalani tahanan dan pemulihan di pusat-pusat serenti.

"Mereka datang ke kawasan ini untuk mencari kehidupan baru tetapi malangnya kehidupan yang ditemui tidak seindah yang mereka impikan. Anakanak yang terbiar ini, ada yang tidak bersekolah, dan ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran. Ramai juga anak yang dilahirkan di luar nikah.

"Mereka memilih tinggal di kawasan ini (sekitar Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman) kerana sewa bilik murah, sekitar RM10 sehari, tak perlu bayar deposit air dan elektrik.

"Bilik yang disewa cuma untuk tempat tidur. Kalau nak makan, beli sahaja di gerai dan kalau nak dapat duit, cari harta karun (barangbarang yang boleh dikitar semula) di tong sampah. Yang banyak buat kerja ini ialah penagih dadah," jelas Arfidah.

Beliau berkata ada juga anak jalanan yang menjadi penagih dadah kerana ibunya sendiri penagih dadah.

"Perkara ini berlaku di depan mata saya. Perempuan ini menjual dadah sambil mengkelek anaknya yang berumur tiga tahun. Bila kanakkanak ini besar, dia menjadi penagih dadah. Budak ini pernah dimasukkan ke sekolah pemulihan tetapi bila dia keluar, perangainya menjadi lebih teruk.

"Nak salahkan siapa? Dari kecil dia dah ikut emak dia dari lorong ke lorong menjual dadah, akhirnya bila remaja, budak ini sendiri terlibat dengan dadah!" cerita Arfidah.

Menurut beliau, ada juga anak kecil yang dijadikan umpan untuk mengemis oleh siibu sehingga pukul 3 pagi untuk mencari wang mudah bagi membeli dadah. "Nak menjual tubuh, saham sudah turun, jadi mengemis jalan mudah untuk mendapatkan wang. Mengemis selepas tengah malam juga lebih selamat kerana tidak ada operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pihak berkuasa lain," ujarnya.

ATAS KESEDARAN

Arfidah, bekas penagih dadah tegar, pada mulanya melakukan kerja sukarelawan bermula pada tahun 1999 untuk membantu penagih dadah khususnya di sekitar kawasan Chow Kit sebagai, katanya, untuk 'menebus dosa'.

"Apabila pulih dari dadah, saya mahu menyibukkan diri saya dan mengisi ruang kosong dengan melakukan kerja sukarelawan atas kesedaran saya sendiri. Ketika itu saya tidak menyertai mana-mana pertubuhan

"Bila saya turun padang, pergi ke lorong-lorong di Chow Kit, saya terpandang kanak-kanak yang terbiar di kawasan itu. Timbul perasaan sedih dan kasihan. Saya berfikir bagaimana saya boleh membantu anak-anak yang berkeliaran di kawasan berisiko tinggi ini?

"Anak-anak berkenaan, ada yang tidak pergi ke sekolah, ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran. Ini semua sebab kelalaian ibu mereka, ada yang ditinggal suami, ramai juga anak di luar nikah," cerita Arfidah.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya berjaya membantu lebih 20 orang kanakkanak mendapatkan sijil kelahiran.

Beliau menjelaskan di peringkat awal banyak halangan yang terpaksa dilalui untuk mendapatkan sijil itu.

"Ada yang menyoal saya ini siapa, dari pertubuhan mana? Ada juga yang berkata mengapa saya yang sibuksibuk mahu menguruskan perkara sijil kelahiran itu.

"Tapi saya ini jenis wanita yang degil. Ini semua tidak mematahkan semangat saya untuk membantu anakanak yang tidak berdosa ini," cerita Arfidah sambil menjelaskan bahawa beliau mula memberi penekanan kepada anak-anak jalanan pada tahun 2000 apabila dia bekerja sebagai sukarelawan sepenuh masa dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Semasa menjadi sukarelawan sepenuh masa itu, beliau berpeluang mengikuti kursus undangundang yang antaranya caracara membantu ibu tunggal dan mendapatkan hak penjagaan anak serta urusan dengan mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

"Ilmu serta pengalaman yang saya perolehi banyak membantu saya dalam kerja sukarelawan yang saya lakukan. Setakat ini saya telah dapat membantu wanita penagih dadah (hampir 150 orang) dan anak-anak jalanan sekitar Chow Kit, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Laut dan Kampung Baru (kira-kira 500 orang).

"Saya sudah buat kerja ini hampir 10 tahun. Umur saya kini sudah memasuki 55 tahun. Selagi saya masih berdaya untuk berjalan, saya akan terus menyusuri lorong-lorong hitam ini, membantu mereka yang terpinggir ini.

"Kalaulah masyarakat di luar sana dapat melihat di mana anakanak jalanan ini dan ibu mereka tinggal... terharu betul," kata Arfidah, air mata jernih sekali lagi bergenang lalu menitis membasahi pipinya.

RASA BANGGA

Bagi Arfidah yang juga dikenali sebagai 'Mak Andak' dalam kalangan anak-anak jalanan, tiada yang lebih membanggakan apabila anak-anak yang pernah dibantunya masih mengingatinya.

"Bila saya pergi ke lorong-lorong, saya dengar suara memanggil Mak Andak. Hati saya menjadi sayu kerana dia masih ingat pada saya sedangkan masa saya membantunya, usianya baru 7 tahun dan sekarang dia sudah 18 tahun. Walaupun dia seorang yang degil tetapi dia masih ingat pada saya.

"Ada juga anakanak yang bila mereka tahu saya berada di kawasan ini, mereka akan datang mendapatkan saya. Mereka masih hormat dengan saya. Apa yang saya lakukan hanyalah sekadar menghulurkan tangan, memberi nasihat semasa mereka kecil," kata Arfidah dengan suara yang bergetar menahan kesedihan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan