suria

Sanggul lintang, tatarias unik pengantin

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (tengah) bergambar bersama pengantin-pengantin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia sempena Promosi Kerja Kahwin 2009 di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu. -foto BERNAMA
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (tengah) bergambar bersama pengantin-pengantin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia sempena Promosi Kerja Kahwin 2009 di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu. -foto BERNAMA
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (tengah) bergambar bersama pengantin-pengantin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia sempena Promosi Kerja Kahwin 2009 di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu. -foto BERNAMA

SEMUA pengantin sudah tentu mahukan penampilan yang sempurna pada hari bersejarah mereka.

Daripada rambut hinggalah ke hujung kaki, seboleh mungkin tidak mahu ada cacat celanya.

Bagi mempelai perempuan, pastinya hiasan atau dandanan rambut diberikan perhatian.

Dandanan sanggul khususnya pemakaian Sanggul Lintang boleh dijadikan satu daripada pilihan buat pengantin perempuan untuk menatarias rambut mereka.

Berkesempatan melihat lebih dekat keunikan dan keistimewaan Sanggul Lintang, Juru demo bagi Pameran Hiasan Kepala di Promosi Kerja Kahwin 2009, Jamilah Hashim, 64, baru-baru ini berkongsi cerita mengenainya.

ASAL USUL

Sanggul Lintang yang dipercayai berasal dari negeri Melaka, sebenarnya merupakan hiasan kepala yang digunakan oleh golongan masyarakat Baba dan Nyonya di negeri itu.

Menurut Jamilah, Sanggul Lintang yang diperbuat daripada gabungan tembaga, emas dan suasa ini memang menjadi lambang kemegahan adat resam orang Melayu khususnya ketika istiadat persandingan masyarakat Melayu Melaka zaman dahulu kala.

Beliau berkata terdapat juga kepercayaan yang menyatakan cucuk sanggul yang dipakaikan secara bertingkat di kepala ini sebenarnya melambangkan betapa besar tanggungjawab yang bakal dipikul oleh mempelai perempuan atau si isteri kelak.

Jamilah menambahkata: "Pada zaman dahulu, pemakaian sanggul sering dikaitkan dengan keperibadian wanita. Di sinilah letaknya keistimewaan sanggul untuk dandanan rambut di majlis perkahwinan pada zaman dahulu."

CORAK BUNGA DAN TINGKAT SANGGUL

Di samping itu, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa terdapat lebih 10 motif corak bunga yang dijadikan hiasan cucuk sanggul.

Antaranya motif corak bunga Senayan, bunga Sundah Belum, bunga Kekwa, bunga Putih Pendek dan bunga Paku Putih Panjang.

Kesemua motif corak ini berdasarkan kepada tumbuh-tumbuhan semulajadi yang tumbuh meliar di dalam hutan.

Selain itu, deretan kuntuman bunga-bunga hidup atau dipanggil bunga Sisih turut diselitkan di antara tingkat-tingkat sanggul yang terlebih dahulu, telah dicucuk dengan hiasan cucuk sanggul bermotif bunga.

Apabila diajukan pertanyaan bagaimana Sanggul Lintang ini dapat 'berdiri' utuh, Jamilah menjelaskan bahawa beberapa helai daun pisang atau daun pandan yang diikat kemas dan dibentuk, akan diletakkan secara melintang pada rambut.

"Sebahagian rambut akan diikat pada ikatan daun pisang atau daun pandan tersebut dan ia dijadikan tempat untuk dipakaikan pencucuk," jelas Jamilah.

Percaya atau tidak, hampir 70 pencucuk sanggul akan digunakan untuk dicucuk pada sanggul dan lazimnya kesemua pencucuk akan memenuhi setiap tujuh hingga sembilan tingkat Sanggul Lintang.

Jamilah yang kini mengusahakan perniagaan mengandam pengantin dan menghias Sanggul Lintang bersama anak dan menantunya, mengakui kerja menyiapkan Sanggul Lintang di kepala memerlukan masa dan kepakaran tertentu mak andam.

"Masa yang diperlukan untuk memakaikan Sanggul Lintang sahaja mengambil masa lebih kurang satu hingga dua jam.

"Selain itu, kemahiran juga diperlukan agar Sanggul Lintang yang terbentuk adalah kemas dan teratur, selain dapat menahan beban berat sanggul yang adakalanya kira-kira dua kilogram," kata Jamilah.

BEBAS DIGAYAKAN

Menariknya, pemakaian sanggul dewasa ini lebih berciri bebas mengikut tema perkahwinan, bentuk badan, rupa paras mahupun bagi golongan Hawa yang bertudung.

"Sekarang, tiada masalah untuk pengantin perempuan yang bertudung mengenakan Sanggul Lintang ketika upacara bersanding.

Sanggul ini boleh diubahsuai mengikut cita rasa pengantin yang mahukan keseluruhan rambut ditutup.

Selalunya, bahagian belakang rambut akan diselitkan dengan lebih banyak bunga Sisih dan untaian bungabunga yang diikat kemas," jelas Jamilah yang sudah hampir 38 tahun menjalankan perniagaan andaman pengantin.

Menurut Jamilah, mempelai perempuan juga tidak perlu risau akan panjang rambut, bentuk muka dan soal gemuk atau kurus kerana sanggul kini dapat disesuaikan dengan teknik solekan dan penggunaan rambut palsu.

Pendek kata, pemakaian Sanggul Lintang sememangnya berupaya memaparkan keseniannya yang tersendiri. Kekemasan dan kesungguhan dalam membentuk helaian demi helaian rambut menjadi sanggul berserta keunikan pelbagai motif corak hiasan pencucuk, sudah cukup dapat menaikkan seri wajah pengantin perempuan.

Walaupun sanggul moden kini mula meraih minat bakal pengantin, namun dandanan sanggul tradisional, Sanggul Lintang, tetap menjadi pilihan penggemarnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain