Sejauh mana keberkesanan Kempen Budi Bahasa?

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAGU "Budi Bahasa Budaya Kita" nyanyian penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah lama menjadi siulan ramai, dan pencapaian program budi bahasa ini dilaporkan membanggakan, terutama di peringkat barisan depan perkhidmatan awam.

Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan pada 11 Jan 2005 merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Situasi di mana pemandu tidak bertimbang rasa di jalan raya, orang ramai membuang sampah sesuka hati, memotong barisan, tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan, bercakap kasar dengan pelanggan dan merokok di kawasan larangan merokok ialah antara situasi biasa yang masih dilihat.

Malah budi bahasa yang paling asas iaitu melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih masih sukar dilihat dalam masyarakat kini.

Beberapa pakar yang ditemui berkata kempen itu, yang kini dinamakan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni, baik tujuannya dan memang perlu diteruskan biarpun keberkesanannya belum meluas.

KEMPEN BELUM MELUAS

Pengarah pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata keberkesanan kempen itu dilihatnya masih terbatas.

"Kempen yang dijalankan ini bercorak dari atas ke peringkat bawah, akar umbi.Jadi program yang diadakan selalunya bercorak rasmi dan lebih kepada pegawai kerajaan dan tidak sampai ke peringkat sekolah mahupun disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO)," katanya kepada Bernama di sini.

Profesor Antropologi Sosial itu berkata program sedemikian seharusnya diperluas dengan lebih menyeluruh termasuk dalam kalangan pemimpin seperti anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri.

"Kempen ini ialah sesuatu yang baik dan perlu diteruskan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negara ini dan pastinya bagi mengeratkan lagi hubungan sesama kaum," katanya.

Pakar pembangunan polisi Prof Madya Dr Azahari Ismail pula berkata kesan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni terhadap masyarakat adalah sedikit dan masih belum menjadi sebahagian budaya masyarakat kini.

"Budi bahasa dalam masyarakat kita belum lagi mencukupi. Kempen ini bagus tetapi kita tidak boleh bergantung kepada kempen rasmi sahaja dan perlulah dimasukkan ke dalam sistem pendidikan di sekolah," katanya.

PENGARUH ASING

Beliau juga berkata kemasukan pekerja asing ke negara ini juga memburukkan lagi tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat.

Contohnya pekerja asing di kedai mamak, yang kebanyakannya jika mahu mengambil kerusi atau pun sudu daripada meja pelanggan, tidak akan meminta kebenaran terlebih dahulu, katanya.

"Kempen budi bahasa akan dilunturkan oleh pengaruh luar seperti pekerja asing ini. Kita kena ajar mereka, kerana pekerja asing ini tidak diajar dengan budaya dan budi bahasa tempatan, dan tidak ada pihak yang mahu mengambil tanggungjawab membimbing mereka," katanya.

Dr Azahari berkata budi bahasa sesebuah masyarakat juga berkait rapat dengan kemudahan infrastruktur.

Sebagai contoh, katanya, ruang di pasar raya negara ini yang terlalu sempit tidak menggalakkan seseorang itu untuk berbudi bahasa.

"Satu lagi contoh yang kita boleh lihat ialah mengapa di lobi hotel misalnya tidak ada sampah dibuang merata-rata berbanding tempat lain. Ini kerana banyak tong sampah disediakan dan menghormati barang juga tergolong dalam berbudi bahasa. Inilah yang saya maksudkan tentang kaitan infrastruktur dan budi bahasa," katanya.

Menerusi pengamatannya semasa ke luar negara, Azahari berkata Amerika Syarikat merupakan sebuah daripada negara yang mempunyai budi bahasa yang tinggi.

"Jika kita mempunyai barang yang banyak dan mahu membuka pintu kereta misalnya, akan ada orang yang membantu membuka pintu ataupun membantu mengangkat barang. Berbeza dengan keadaan di negara ini," katanya.

PEMIMPIN BELUM HAYATI KEMPEN

Sementara itu, pensyarah komunikasi ucapan di UPM, Prof Madya Dr Abdul Mua'ti@Zambri Ahmad berkata pemimpin secara umumnya masih belum menghayati program Budi Bahasa ini.

"Kempen ini sepatutnya ditumpukan kepada golongan pemimpin dalam masyarakat terdahulu yang mana semua tindakan pemimpin ini akan menjadi ikutan. Bila pemimpin sendiri sudah menghayati kempen ini maka mereka akan dijadikan contoh," katanya.

Dr Zambri yang telah menerbitkan pelbagai buku termasuk Panduan Pengucapan Awam dan Santun Komunikasi berkata pada setiap semester beliau membawa pelajarnya untuk melihat sendiri anggota Parlimen berdebat.

"Secara keseluruhannya, daripada 10 lawatan yang diadakan hanya satu kelas sahaja yang mengatakan mutu perdebatan anggota Parlimen baik dan selebihnya mengatakan perdebatan yang diadakan semasa kelas lebih baik mutunya berbanding di Parlimen," katanya.

Beliau berkata pemimpin perlu bercakap berdasarkan fakta dan dalam keadaan rasional bukan hanya bersandarkan emosi.

BAHAS BOLEH DILAKUKAN SECARA HARMONI

Katanya anggota Parlimen dan juga Adun seharusnya menyampaikan mutu perdebatan yang lebih berkualiti dan cara berbahas yang bersesuaian dengan institusi Parlimen ataupun DUN yang dianggap mulia itu.

"Cara berbahas ini banyak yang perlu ditekankan yang pertama sekali ialah mengenai bahasa. Bahasa haruslah menggunakan bahasa yang baik biarpun tidak menggunakan bahasa yang indah, janganlah mereka ini memaki hamun, memalukan atau menjatuhkan air muka orang lain kerana ia tidak sesuai," katanya.

Selain itu katanya nada penyampaian perlu bersesuaian dengan status pemimpin itu.

"Kini saya lihat ada anggota Parlimen yang terjerit-jerit semasa dalam perbahasan. Perbahasan sebenarnya boleh dilaksanakan secara harmoni dengan penggunaan bahasa yang baik sejajar program Budi Bahasa ini," katanya, umpama ungkapan pantun budi ini:

Tingkap papan kayu bersegi

Sampan sakat di Pulau Angsa

Indah tampan kerana budi

Tinggi darjat kerana bahasa

BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan