suria

Merangsang minat dalam sains dan hargai seni

PETRONAS amat komited terhadap budaya dan amalan pembelajaran sepanjang hayat dan mengiktiraf bahawa proses pembelajaran ini boleh dipermudah dengan lebih berkesan dalam situasi tidak formal dan mesra masyarakat.

Dalam menggunakan pendekatan holistik terhadap pendidikan, selain daripada institusi pendidikan dan latihan seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Bandar Seri Iskandar, Perak, Petronas Management Training Centre (Permata) di Bangi, Selangor and Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) di Batu Rakit, Terengganu; Petronas juga menubuhkan Petrosains Discovery Centre dan Galeri Petronas untuk merangsang minat dalam sains dan menanam semangat menghargai seni tanpa mengira umur dan status.

Petrosains, yang merupakan pusat penemuan sains interaktif pertama Malaysia, memberi tumpuan kepada mengkisahkan cerita di sebalik industri minyak dalam suasana ceria dan memberangsangkan.

Melalui pameran interaktif dan menghiburkan ini, Petrosains berharap dapat menggalakkan kemunculan saintis harapan dalam kalangan kanak-kanak hari ini dengan merangsang keinginan tahu mereka mengenai muslihat dalam sains.

Galeri Petronas dari satu segi pula menyediakan tempat bertaraf dunia bagi pelukis Malaysia dan antarabangsa mempamerkan karya mereka kepada orang ramai, dan membantu memupuk minat terhadap seni dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai golongan.

Bekerjasama dengan institusi antarabangsa, Galeri Petronas mempromosi karya seni Malaysia di luar negara dan pada masa yang sama mengeratkan pertukaran budaya dan peluang pembelajaran; menyumbang kepada amalan dan kesedaran seni Malaysia seiring dengan trend antarabangsa.

Kedua-dua institusi ini, walaupun beroperasi dalam lingkungan pengaruh yang berbeza, mempermudah dan melengkapi satu sama lain dalam memberikan gambaran jelas tentang dua aspek kehidupan seharian kita yang berlainan, tetapi sama pentingnya.

Sementara Petrosains mewujudkan suasana ceria dan memberangsangkan bagi orang ramai belajar mengenai sains dan teknologi, Galeri Petronas mendekatkan seni lukis kepada orang ramai dalam cara yang menawan hati dan menyeronokkan, yang membolehkan masyarakat menghargai kekayaan dan pengalaman budaya yang berkaitan.

Merangsang minda bertanya dan ingin tahu

Sejak dibuka pada 25 Mac 1999, Petrosains Discovery Centre tidak henti-henti mencetuskan keinginan tahu dan mendekatkan sains dan teknologi dengan kehidupan harian melalui pameran dan aktivitinya yang menyeronokkan, kepada lebih tiga juta pelawat pelbagai peringkat umur yang mengunjungi pusat ini.

Dengan menggunakan kaedah persembahan yang inovatif, lebih 500 bahan pameran interaktif yang mengisi ruang pameran 70,000 kaki persegi di tingkat 4 dan 5 Menara Kembar Petronas, ilmu sains dipermudah dan diserlahkan keindahannya, ditunjukkan keperluannya dan memastikan pemahaman terhadap sains mudah diterima masyarakat umum.

Fakta dan butiran sains dipersembah dalam cara yang mencetuskan keterujaan, digabungkan dengan emosi dan tenaga; memberikan suasana memberangsangkan bagi orang ramai untuk belajar dan menghargai sains dan teknologi di sebalik industri petroleum serta prinsip asas sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Dalam tempoh dua hingga tiga jam yang mereka habiskan di sini, kami cuba 'menyentuh' kanak-kanak dan pelawat dewasa dengan menyedarkan mereka bahawa sains berada di mana-mana dan meliputi semua aspek kehidupan manusia.

"Kami mahu mereka keluar dengan perasaan teruja tentang sains, membangkitkan banyak soalan dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Edisi terbaharu di pusat ini, pameran interaktif Petrosains DinoTrek 2 dan maklumat lain mengenai era prasejarah yang dilancarkan pada 11 Mac 2009 sempena ulangtahun Petrosains yang ke10, kini menjadi tarikan utama pengunjung.

DinoTrek 2 mempersembah pameran teknologi tinggi interaktif, termasuk beberapa animatronics dalam bentuk robot dinasur dengan ciri-ciri interaktif yang menggalakkan pengalaman belajar melalui kaedah yang menarik dan menghiburkan.

"DinoTrek 2, yang menggunakan amalan terbaik serta penyelidikan terbaharu pusat sains ini mengenai pendekatan pembelajaran efektif, dikonsepsikan sepenuhnya, direka bentuk dan dibangunkan oleh pasukan dalaman Petrosains sendiri," kata Tengku Nasariah.

Begitu juga dengan program sekolah dan program mendekati masyarakat Petrosains, yang telah berupaya memperkaya kehidupan pelbagai peringkat masyarakat.

Program sekolah

Petrosains membangunkan pelbagai program dalaman dan program mendekati masyarakat untuk pelajar sekolah and guru-guru, bertujuan bagi memupuk dan memelihara minat dalam bidang sains dan teknologi.

"Pasukan Tindakan Sains dan Sains Kreatif Bagi Sekolah-sekolah, dirangka untuk menanam budaya belajar menggunakan pendekatan banyak bertanya, sementara Fellowship Guru dan Bengkel Guru-guru Petrosains membantu guru-guru untuk bersedia menjawab soalan dan menggunakan kaedah inovatif dan interaktif dalam proses pembelajaran di bilik darjah," kata Tengku Nasariah.

Program sekolah Petrosains ini memberi sumbangan besar kepada Petronas memenangi anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Perdana Menteri untuk Pendidikan 2007. Skim Sukarela

Diperkenal pada 1999, Skim Sukarelawan Petrosains, terbuka kepada mereka yang berusia 17 hingga 65 tahun, bertujuan menggalakkan semangat sukarelawan dalam memupuk minat ke arah sains dan teknologi.

Sukarelawan diberikan latihan asas dalam sains, kerja berpasukan dan kemahiran komunikasi untuk meningkatkan keyakinan diri.

"Mereka boleh menjadi duta Petrosains dan menimba pengalaman positif yang akan menjadi bekalan mereka manakala kami pula mendapat bantuan tenaga mereka," kata Tengku Nasariah.

"Kami juga gembira kerana dua orang pesara turut menyertai skim ini, dan mereka begitu berdedikasi dan cekap dalam menjalankan tugas mereka sebagai sukarelawan," katanya.

Skim Sukarelawan Petrosains ini telah memenangi Anugerah Petroleum Economist for the Best Youth Education Programme (Program Pendidikan Belia Terbaik) 2008.

The Petroleum Economist ialah majalah antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan mereka yang memberi sumbangan penting kepada industri tenaga.

Program mendekati masyarakat

Pada Kongres Sedunia Pusat Sains yang kelima di Toronto pada 19 Jun 2008, para pengusaha pusat sains bersetuju bahawa aktiviti mereka patut diperluas ke tempat dan komuniti yang tidak mempunyai kemudahan seumpama itu.

Dinamakan Toronto Declaration, deklarasi ini ditandatangani oleh Tengku Nasariah sebagai Presiden Pusat Rangkaian Sains dan Teknologi Asia Pasifik (ASPAC).

Malah, Petrosains mempunyai banyak program mendekati masyarakat yang antara lain ialah Petronas StreetSmart Travelling Exhibition, Petrosains PlaySmart dan Sahabat Petrosains.

Petrosains StreetSmart, yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan, dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya, merupakan pameran jelajah interaktif yang mempromosi kempen keselamatan jalan raya.

Sejak pelaksanaannya pada 2001, ia memberi impak kepada lebih 900,000 kanak-kanak dan ibu bapa dari 300 sekolah di seluruh Malaysia.

"Jika kita mahu mendidik rakyat Malaysia mengenai langkah keselamatan jalan raya, kita patut memulakannya semasa mereka muda. Kami mahu mereka memahami konsep sains di sebalik keselamatan jalan raya. Dan sudah tentu sasaran kami ialah ibu bapa mereka juga," kata Tengku Nasariah.

Dalam PlaySmart, fasilitator sains mengunjungi sekolah-sekolah (dari prasekolah hingga ke peringkat menengah) untuk menganjurkan program keselamatan jalan raya berasaskan sains yang termasuk pertunjukan sains, aktiviti dan kuiz.

Sebagai pilihan, sekolah-sekolah boleh menganjurkan lawatan sambil belajar ke pusat PlaySmart di Langkawi, Johor Baharu dan Pulau Pinang; di mana pelajar boleh mencuba bermacam-macam pameran interaktif dan menyertai aktiviti berasaskan pendidikan sains yang menyeronokkkan.

Sahabat Petrosains pula dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Kementerian Pelajaran untuk mengisi keperluan pendidikan bagi kanak-kanak Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.

"Kami mahu membuka pemikiran mereka kepada persekitaran sains yang mempesonakan dalam kehidupan harian mereka terutama keadaan semulajadi yang ada," kata Tengku Nasariah.

"Program ini dijalankan dalam dua fasa. Pertama, kami mengunjungi komuniti itu dan mengadakan aktiviti di premis mereka, selepas itu kami membawa kanak-kanak ini ke sini, berkhemah selama dua malam yang menyeronokkan di Petrosains," kata Tengku Nasariah.

"Daripada maklum balas yang kami terima, pengalaman itu telah membuatkan kanak-kanak suka menghadiri sekolah dan teruja untuk belajar lebih banyak tentang sains," kata Tengku Nasariah.

Didik hargai seni

Dalam suasana masyarakat yang bergerak pantas dan tertekan dengan masa, di mana teknologi dan sains dilihat sentiasa diutamakan, mungkin ada yang terfikir di mana letaknya seni dalam masyarakat.

Seorang pelukis yang baik, melalui medium pilihannya, bagaimanapun akan mampu memilih subjek, warna dan tekstur yang boleh membangkitkan dan menyerlahkan perasaan yang sesetengahnya tidak pernah pun disedari. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Wiraku Ahli Bomba

Artikel Lain