suria

Wiraku Ahli Bomba

DARIPADA sederetan lukisan pemenang pertandingan melukis "Wiraku" yang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara baru-baru ini, memang boleh dijangkakan siapa wira di hati kebanyakan kanak-kanak yang mengambil bahagian.

Wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa perdana menteri terdahulu menjadi pilihan ramai dan ada juga yang melukis wajah bapa mereka sendiri.

Tetapi dalam banyak-banyak lukisan itu, ada karya yang menarik perhatian, tentang ahli bomba yang sedang memadam kebakaran.

"Itulah wira saya," kata Leong Fang Yu, murid Tahun 5, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Sentul.

Bila ditanya kenapa ahli bomba yang dipilih, dia menjawab perlahan: "sebab saya pernah tengok ahli bomba selamatkan orang dan tolong orang susah.

"Mereka hero saya sebab bila rumah terbakar mereka sampai dulu, tak kira rumah itu rumah orang Cina atau orang Melayu," katanya.

Mudah, jawapan Leong dan lukisan dari sudut pandangan kanak-kanak berusia 11 tahun ini, memikat hati hakim-hakim yang mengadili pertandingan melukis bertemakan "Wiraku, Patriotisme: Ke arah Satu Malaysia" itu.

TERJEMAHAN 1MALAYSIA 600 MURID

Pertandingan itu dibuka kepada 195 buah sekolah melibatkan 600 murid-murid Tahun 3, 4 dan 5 sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di Kuala Lumpur.

Tujuannya untuk melihat murid-murid ini menterjemah konsep 1Malaysia melalui daya imaginasi mereka, sama ada melalui satu Wira atau beberapa orang Wira seperti yang dilukis Leong.

Ada juga murid yang melukis figura manusia Melayu, Cina dan India berdiri bergandingan dan bagi kanak-kanak ini, mereka itulah wiranya.

Pertandingan lukisan itu ialah cetusan idea Mubarak - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia - sempena sambutan Hari Pahlawan bulan ini dan menerima tajaan Affin Islamic Bank Berhad.

"Murid-murid ini, seperti juga anak-anak muda hari ini, lebih berpengetahuan dan terdedah dengan kemudahan capaian media cetak dan elektronik di depan mata, maka wira mereka akan lahir dalam pelbagai rupa, berlatar belakangkan kemakmuran, pembangunan dan kemajuan yang dinikmati mereka," kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie pada majlis perasmian pertandingan itu.

Bagi beliau, seni lukis berupaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum kerana pada kebiasaannya sesebuah lukisan itu mengandungi elemen ideal dan harmonis seperti peniruan alam, landskap, budaya dan kehidupan seharian manusia.

Ia sering ditampilkan dalam keadaan bermakna, cantik dan halus dan murid-murid ini menunjukkan apresiasi seni mereka tanpa mengira latar belakang , fahaman dan anutan agama sesuai dengan semangat perpaduan 1Malaysia, katanya.

PUPUK SEMANGAT PERPADUAN

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor semasa merasmikan pertandingan itu setuju bahawa satu daripada usaha positif ke arah perpaduan dan penyatuan masyarakat ialah melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Pertandingan melukis "Wiraku" ini ialah antara aktiviti yang membantu memupuk semangat sedemikian, katanya.

Daripada usaha mencungkil bakat dan menitip kanak-kanak untuk menzahirkan pandangan mereka mengenai wira masing-masing dari sudut patriotisme dan 1Malaysia, beberapa hari kemudian, BSLN mempamerkan pula koleksi lukisan Zhang Zhou, pelukis dari wilayah Lioning, Timur Laut China.

MOZEK MALAYSIA

"Mosaics of Malaysia" menonjolkan sudut pandangan dan penelitian seorang asing mengenai kehidupan satu Malaysia - budayanya, kepercayaan agama, perayaan, destinasi pelancongan, landskap dan mercu tanda indah - di pelbagai negeri.

Pameran ini ialah di bawah siri pameran "Koleksi Saya" BSLN. Kali ini yang dipamerkan merupakan himpunan koleksi Tai Keik Hock, pemilik galeri seni lukis Moden Dai Ichi, Sungai Petani.

Tai mahu mempamerkan hasil karya Zhang sebanyak 100 buah, sempena menyambut 35 tahun hubungan Malaysia-China dan BSLN membuka pameran ini untuk dikunjungi orang ramai sehingga 30 Ogos.

Zhang berjaya menterjemah keindahan dan kekayaan budaya Malaysia, dalam setiap lukisan catan minyaknya, merakamkan sesuatu perisitiwa dan aktiviti harian serta struktur menarik negara dengan begitu hidup dan penuh warna warni.

Kita boleh merasakan kesibukan di Pasar Siti Khadijah, Kelantan, keindahan Kuala Lumpur waktu malam berlatar belakangkan Menara Kembar Petronas dan kemeriahan perayaan pelbagai agama dan suku kaum.

Bagi seorang warga asing, Zhang, 53, sanggup berulang alik ke Malaysia selama lima tahun semata-mata untuk menghayati segala pemandangan ini dan menterjemahnya ke dalam warna-warna Malaysia yang meninggalkan kesan menyegarkan dan mendamaikan kepada yang melihatnnya.

Semua lukisan Zhang ini dihasilkan di atas kanvas yang besar.

Satu daripadanya, yang dipamerkan BSLN di hadapan tangga galeri ialah lukisan "Kerana Mu Malaysia" -- begitu hidup, meriah dan penuh warna - lambang satu Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain