suria

Imej Islam dalam media perdana antarabangsa

MEDIA bertanggungjawab melaporkan berita secara adil dan benar tanpa berat sebelah atau dipengaruhi oleh persepsi peribadi pelapor sendiri sehingga berlaku ketidakadilan kepada berita atau personaliti, komuniti, masyarakat, dan kelompok manusia yang tertentu.

Berita yang dilaporkan seharusnya mempunyai ciri-ciri maklumat yang tepat, mengandungi sesuatu yang mampu mendidik masyarakat pembaca agar dapat memahami berita yang dilaporkan itu secara rasional dan objektif.

Islam bukan sahaja dilihat daripada perspektif agama malah turut dinilai daripada tasawwur ketamadunan, kebudayaan, ekonomi, sosial dan politik yang turut membentuk persepsi dan pandang-alam (worldview) masyarakat antarabangsa dan setempat terhadap agama samawi ini.

Media Barat nampaknya lebih ghairah dan berani untuk menyiarkan paparan-paparan mengenai Islam yang agresif dan ganas berbanding penonjolan imej Islam yang hikmah dan penuh toleransi. Pada November 1993, sebuah dokumentari bertajuk 'Jihad in America' yang memaparkan kegiatan pengganas-pengganas Islam di Amerika telah disiarkan oleh Public Television of America.

Dokumentari ini antara lain mengaitkan perjuangan mujahidin di Afghanistan dengan kegiatan perkaderan pengganas-pengganas Islam yang bergiat di merata dunia termasuk di bumi Amerika.

Peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York telah dijadikan bahan utama propaganda media ini terhadap imej Islam sebagai agama terrorisme yang berbahaya terhadap keamanan sejagat.

Paparan tentang keganasan Islam juga telah dijadikan suatu alasan untuk mewajarkan tindakan-tindakan mereka yang melindungi penduduk Yahudi di Palestin dan menghalalkan segala penindasan yang dilakukan terhadap umat Islam di sana.

Islam merupakan agama yang paling pesat membangun di Barat, tetapi di dalam masa yang sama Islam merupakan agama yang paling sukar difahami di sana dan banyak sekali menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya.

Barat mempunyai gambaran stereotaip dan prasangka terhadap Islam, yang di antara sebabnya ialah kerana laporan media mereka yang sering menonjolkan Islam sebagai agama 'extremist, fundamentalist, terrorist dan kepelbagaian label negatif lainnya'.

Apabila Islam ditonjolkan di dalam imej dan gambaran yanng demikian, maka orang barat membenci Islam dan umatnya malah lebih daripada itu, tidak ingin memahami dan mendapatkan pengetahuan tentang ajaran Islam yang sebenarnya.

"Islam is the terrorist...Muslims are the victim"...we pray that the weapon of mass destruction, Islam, be torn down. Lord declare that your blood is enough to forgive every single Muslim. It is enough" petikan dari majalah TIME, muka surat 50-58, bertarikh June 30, 2003.

Ini antara ayat yang dipetik dari majalah TIME yang memaparkan betapa negatifnya Islam di mata dunia. Malah majalah ini juga antara majalah yang dijual meluas di serata dunia.

Islam dan masyarakatnya dilabel sebagai agama keganasan, kekejaman dan kezaliman. Kebangkitan Islam di beberapa buah negara yang sebelum ini dikuasai oleh kelompok sekularis seperti Turki dan Algeria telah digembar-gemburkan secara negatif bagi menimbulkan ketakutan dunia terhadap Islam.

Malah Samuel P. Huntington, seorang profesor dalam hubungan antarabangsa di Universiti Harvard telah mencetuskan suatu perdebatan baru tentang pertembungan peradaban yang mengasak pertentangan antara tamadun Islam dan Konfusionisme di satu pihak dengan tamadun Barat di satu pihak yang lain.

Teori 'Huntingtonion' ini yang mula diwarwarkan melalui tulisannya The Clash of Civilization? yang disiarkan dalam majalah Foreign Affairs keluaran musim panas tahun 1993 telah menerima reaksi yang pelbagai.

Bukunya yang bertajuk 'The Clash of Civilizations' and 'The Remaking of World Order' yang diterbitkan pada tahun 1996 membawa penegasan terhadap teori-teorinya yang dikemukakan dalam tulisan tersebut. Huntington melihat Islam sebagai suatu ancaman baru kepada dunia, khususnya Barat, dalam abad mendatang.

Tetapi apa yang merasakan ketidakadilan dalam paparan media antarabangsa ini, pada laporan Reuters pada 11 Jun 2009, berita pembunuhan besar-besaran seorang lelaki Buddha di Yala sebagai perbuatan kejam Muslim yang mempunyai hubungan dengan "jihad" Islam sedangkan pembunuhan 10 orang Islam yang sedang bersembahyang di masjid pada hari sebelumnya tidak ditonjolkan.

Tajuk berita itu berbunyi "Thailand: Jihad against Buddhist construction workers" Berita itu seterusnya menyatakan "A note left at the scene said "You kill our innocents, so we kill your people." Inilah ketidakadilan laporan media antarabangsa yang sememangnya mempunyai agenda tersembunyi dalam mencemarkan imej Islam di mata dunia.

Namun kebenarannya, segala permasalahan yang timbul ini juga berpunca dari umat Islam sendiri sering mempunyai persepsi yang salah tentang ajaran agamanya, undang-undangnya, sistem sosial dan ekonominya dan hal-hal kehidupan moden lainnya yang menyumbang kepada gambaran negatif terhadap Islam.

Kecenderungan para pemimpin Islam yang mengambil kuasa Barat sebagai kroninya dengan motif menjaga takhta dan kekayaan serta kuasa masing-masing meletakkan pemerintahan Islam di bawah kawalan dan telunjuk Barat seterusnya tidak menyumbang kepada peningkatan maruah dan prestasi umat Islam sendiri dan hal ini membantu penindasan Barat terhadap umat Islam termasuk medianya yang berusaha seiringan kuasa Barat untuk melemahkan umat Islam dan agama Islam itu sendiri.

Artikel Berikut

Artikel Lain