Hasilkan kertas daripada serat batang pisang

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

APABILA penggunaan plastik disaran supaya dikurangkan, usahawan tempatan Sulaiman Ramli mendapat idea untuk menghasilkan kertas dan mempelbagaikannya.

Hari ini, syarikatnya Pisang Kraf, menghasilkan kertas daripada serat batang pisang untuk dijadikan beg, lampu hiasan, kad ucapan dan kotak hadiah yang mendapat sambutan hingga ke Australia.

Semasa program lawatan ke Pisang Kraf anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini, Sulaiman, 42, menceritakan bahawa idea untuk menghasilkan kertas daripada serat batang pisang itu ialah daripada anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Farid Saad.

"Ketika lawatan Mohd Farid ke Chiang Mai melalui program `Satu Desa Satu Industri', beliau berkunjung ke satu kampung dan melihat penduduknya mengusahakan kertas ini.

"Ketika itu Mohd Farid tertarik dan memikirkan jika ia dilakukan di Malaysia, amat menarik sekali, dan mencadangkannya kepada saya," kata Sulaiman.

BANTUAN FARID

"Memandangkan saya memang ingin membuka perniagaan sendiri, dan saya pula menginginkan produk yang belum ada di pasaran, berlainan, serta ada unsur kraf, saya sangat berazam untuk mengusahakan sesuatu," katanya.

Sulaiman berkata buat permulaan Mohd Farid memberikan modal kepadanya sebanyak RM23,000 serta ditambah dengan perbelanjaan sendiri sebanyak RM5,000.

"Selepas berbincang dengan Mohd Farid saya pergi melihat pameran di Pusat Seni Universiti Sains Malaysia dan melihat penghasilan kertas melalui serat batang pisang ini, dan dari situ saya sudah tanam hasrat untuk menjalankan perniagaan ini dan mendalami ilmu tersebut di USM," katanya.

Sulaiman berkata USM turut melabur RM1 juta bagi membantunya membeli peralatan di samping bimbingan yang diberikan oleh dua tenaga pengajar.

"Saya belajar membuat kertas daripada serat batang pisang ini hampir setahun," katanya.

KERTAS SERAT BATANG PISANG

Sejak mula lagi Sulaiman mempercayai bahawa produk yang diusahakannya itu mempunyai keistimewaan dan kraf memiliki potensi besar di pasaran.

"Saya merupakan pelopor pertama di sini yang mengusahakan kertas daripada serat batang pisang dan bagi memulakan usaha ini, lebih 40 hektar tanah digunakan untuk menanam pokok pisang," katanya.

Sulaiman berkata bagi menghasilkan kepingan kertas, batang pisang yang ditebang perlu direndam terlebih dahulu selama dua bulan bagi mendapatkan seratnya.

"Seeloknya gunakan pisang rawak kerana serat batang jenis pisang ini sangat baik berbanding pokok pisang yang lain.

"Kita akan dapat lihat serat yang terkeluar dari batang pisang yang kehitam-hitaman selepas direndam, yang kemudian bertukar kepada warna putih jernih," katanya yang mengusahakan perniagaan ini bersama seorang rakan kongsi sejak 2006 dan kini beliau dibantu tiga pekerja.

Proses seterusnya ialah serat batang pisang itu direbus selama satu jam sebelum di mesin.

"Serat batang pisang yang sudah dimesin akan ditekan menggunakan mesin hidrolik khas bagi membuang airnya, dan setelah menjadi kertas, ia akan dilekatkan ke dinding selama tiga hari, dan jika menginginkan kertas pelbagai warna, ia boleh diwarnakan ketika kertas masih basah," katanya.

POTENSI BESAR

Katanya sekeping kertas bersaiz A3 dijual dengan harga RM5. Dalam sehari beliau mampu mengeluarkan sebanyak 60 keping kertas yang melibatkan lima atau enam batang pisang.

Daripada kertas itu, Sulaiman memvariasikan penggunaannya dengan membuat lampu hiasan, kotak, beg kertas, kad ucapan dan bingkai gambar.

Menjadi adat, barang baru harus giat diperkenal dan Sulaiman gembira kerana Kraftangan Malaysia membantu membawanya mempromosi produk itu dengan menjelajah seluruh Malaysia.

"Setiap bulan saya akan mengikuti rombongan Kraftangan, dan syukur kini, produk ini mula mendapat perhatian," katanya.

MENGINTAI PELUANG DI HOTEL

Sulaiman berkata beliau mengorak langkah untuk menembusi pasaran bagi produk ini di beberapa hotel terkemuka di Pulau Pinang serta butik perkahwinan.

"Kini, kebanyakan hasil barangan saya mendapat tempahan Koperasi Keusahawanan Kampung di Balik Pulau, dan saya kini mula memasarkan produk ini di hotel dan butik di negeri ini," ujarnya.

Di butik perkahwinan, Sulaiman mempromosi lampu hiasan yang boleh digunakan pemilik butik bagi membuat hiasan pelamin buat bakal Raja Sehari.

"Ini satu idea baru dan saya harap lampu hiasan ini dapat didekorasikan di pelamin-pelamin, dan saya akan mengusahakan promosi penggunaan lampu ini di luar negeri," katanya yang meraih pendapatan dalam lingkungan RM3,000 hingga 5,000 sebulan.

TEMBUSI PASARAN LUAR

Sulaiman kini menjadi pengeluar dan pembekal kertas batang pisang terkenal, memandangkan produknya telah pun menembusi pasaran luar negara - Indonesia dan Australia.

"Di Malaysia permintaan kebanyakannya dari Alor Star, Kuala Lumpur dan Sabah, dan kini saya menerima tempahan dari Australia, kebanyakannya untuk lampu hiasan," katanya

"Harapan saya agar produk ini mendapat permintaan daripada banyak syarikat dan ingin mengeluarkan lebih banyak kertas berbanding sebelum ini iaitu dalam sebulan, 800 keping," katanya.

Sulaiman tidak menafikan pendapatannya kini jauh meningkat berbanding menjadi pemandu dahulu. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan