Wajarkah tindakan Affirmatif diteruskan

Diterbitkan: Jumaat, 19 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DASAR Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan di Malaysia antara tempoh 1970 hingga 1990. Oleh kerana dasar tersebut telah tamat sejak 19 tahun yang lalu, maka sebarang pertikaian mengenai DEB hanyalah bersifat retorik dan polemik semata-mata. Isu yang sebenarnya perlu dibincangkan bukanlah DEB, sebaliknya tindakan affirmatif (affirmative action). Apakah itu tindakan affirmatif? Affirmative action adalah satu bentuk diskriminasi positif dalam penggubalan polisi tertentu yang mengambilkira soal kaum, etnik, agama, jantina dan status kecacatan agar dapat mencapai peluang yang sama (equal apportunity) di dalam apa-apa bidang. Bidang yang biasanya dikaitkan dengan tindakan affirmatif adalah bidang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perniagaan (kontrak awam). Pelbagai negara di dunia ini melaksanakan tindakan affirmatif termasuklah negara-negara maju. Antaranya Amerika Syarikat, Jepun dan juga Britain. Namun kebiasaannya, tindakan affirmatif di negara-negara mereka hanya melibatkan golongan etnik minoriti yang kebiasaannya lemah dan tertindas. Di Malaysia, adakah orang Melayu lemah dan tertindas? Orang Melayu adalah separuh (50.6 peratus) daripada jumlah 26 juta orang penduduk Malaysia. Orang Cina pula 25 peratus dan orang India sekitar 7 peratus. Sebahagian besar tindakan affirmatif dilaksanakan terhadap orang Melayu. Sekali lagi, adakah orang Melayu lemah dan tertindas? Dan adakah kaum penduduk majoriti ini rela dianggap lemah dan tertindas? Tidak dinafikan bahawa ramai orang Melayu hari ini sudah berasa malu untuk mengakui bahawa mereka adalah dari golongan lemah dan tertindas. Seboleh mungkin mereka tidak mahu lagi sebarang tindakan affirmatif terhadap bangsa mereka. Kebanyakan daripada mereka itu sebenarnya adalah anak-anak Melayu yang sudah berjaya hasil tindakan affirmatif kerajaan pada masa lalu. Dulu, mereka juga adalah dari golongan orang Melayu yang lemah dan tertindas. Kita tidak perlu malu untuk mengakui bahawa bangsa Melayu pada hari ini sememangnya masih lemah dan tertindas. Mengapa harus malu pada hakikat ini sedangkan kita tahu bahawa tindakan affirmatif yang dilaksanakan dan DEB pada tahun 1970 hingga 1990 tidak berkesan sepenuhnya. Ada perubahan namun tidak mencapai sasaran. Kita tidak perlu malu dengan orang Cina kerana mereka lebih kompeten dalam banyak bidang. Mereka unggul dalam pendidikan dan mereka juga hebat dalam perniagaan. Hasilnya, mereka dapat menikmati sebahagian besar kek ekonomi negara. Kompetensi itu bukanlah sifat semula jadi mereka.

Berbanding dengan bangsa Jepun, mereka juga lebih lemah dan ketinggalan. Orang Cina di Malaysia adalah datang dari keturunan Cina Tanah Besar China. Nenek moyang mereka telah mewariskan intipati tamadun yang cukup berharga dalam aspek kehidupan. Tamadun Cina telah wujud jauh lebih lama daripada tamadun orang Melayu di Nusantara ini.

Ketamadunan yang lebih matang serta wujudnya masalah dan ancaman sewaktu di Tanah Besar China sebenarnya telah banyak mengajar mereka untuk menjadi bangsa lebih kuat demi survival hidup mereka.

Pengalaman dan ilmu yang diperolehi hasil pergolakan hidup yang berpanjangan itu telah diwarisi dari generasi ke generasi. Hasilnya, kaum Cina pada hari ini telah menjadi begitu teliti dan bijak dalam setiap aspek kehidupan yang mereka lalui. Berbeza dengan orang Melayu, ketamadunan kita masih baru. Semasa awal era Kesultanan Melayu Melaka, ancaman yang wujud adalah kecil dan sedikit. Antaranya adalah ancaman lanun-lanun di kawasan laut serta binatang buas di kawasan hutan. Tanah Melayu pada ketika itu tidak terdedah dengan ancaman letusan gunung berapi, ancaman cuaca melampau ataupun ancaman pergaduhan puak-puak secara besar-besaran.

Hasilnya, kaum Melayu menjadi begitu selesa. Mereka tidak perlu berfikir dan berkerja dengan kuat. Pepatah “Ulat dalam batu pun boleh hidup, ini kan pula manusia” paling tepat untuk menggambarkan situasi pada zaman itu.

Hari-hari yang mereka lalui begitu hambar, tiada inovasi dan penciptaan teknologi baru. Mereka hanya melalui hari-hari dengan rutin biasa sahaja. Hasilnya, tidak banyak yang mereka pelajari dalam kehidupan dan sudah tentu tidak banyak jugalah yang mereka boleh warisi kepada generasi yang terkemudian. Apabila Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511, orang Melayu tidak mampu memahami keadaan yang berlaku apatah lagi memikirkan cara untuk mengalahkan Portugis. Akal nenek moyang kita pada ketika itu tidak mampu memikirkan jalan untuk menewaskan Portugis kerana mereka terlalu jauh dari kemajuan pemikiran dan inovasi teknologi yang kaum Eropah itu telah miliki.

Mereka terkejut dan teruja dengan orang asing yang sedang menjajah mereka. Penjajahan demi penjajahan yang berlaku dalam tempoh yang panjang itu sedikitpun tidak mampu memaksa orang Melayu untuk berfikir dan berkerja dengan kuat. Walaupun ada, ia hanyalah penentangan-penentangan kecil yang lebih bersifat fizikal semata-mata. Seribu kali malang, tempoh yang lama dijajah itu turut menjadikan orang Melayu berasa begitu rendah diri dan tidak berkeyakinan. Kita tidak mewarisi banyak perkara yang boleh dibanggakan daripada nenek moyang kita. Adakah kita juga mahu melakukan sedemikian kepada anak-anak cucu kita? Dasar Ekonomi Baru adalah dasar yang baik dan telah diwujudkan tepat pada masanya. Diharapkan dengan dasar tersebut, taraf hidup orang Melayu akan meningkat. Kerajaan berpendapat apabila ramai usahawan melayu diwujudkan melalui monopoli kontrak awam dan peluang perniagaan kepada orang Melayu, maka taraf hidup orang Melayu secara keseluruhannya akan meningkat. Orang Melayu yang sudah berjaya itu dijangka akan turut membantu orang Melayu yang masih lemah untuk turut sama berjaya. Namun ternyata pendapat itu salah. Kelahiran tokoh-tokoh korporat dan ahli perniagaan Melayu tidak langsung membantu memperbaiki taraf hidup kaum Melayu secara keseluruhanya.

Apabila mereka (korporat dan ahli perniagaan) mendapat kekayaan hasil projek yang mereka perolehi, kekayaan itu tidak dikongsi ataupun sekurang-kurangnya digunakan untuk membantu membiayai pendidikan anak bangsa di pinggir desa yang miskin sebagaimana dilakukan oleh orang Cina dan orang India kepada anak bangsa mereka.

Sebaliknya kekayaan yang diperolehi itu digunakan untuk melobi projek baru bagi mendapat kekayaan yang lebih besar. Projek-projek negara wang diumumkan dalam segala jenis pakej rangsangan ekonomi hanya mampu membuncitkan perut segelintir golongan kaya-raya Melayu ini.

Hasilnya, lahirlah kelompok aristokrat Melayu kaya-raya yang hidup dalam dunia mereka sendiri. Lebih malang apabila Melayu-Melayu Kayangan itu tetap tegar bercakap tentang survival bangsa Melayu dan hak-hak orang Melayu yang tertindas. Hakikatnya, golongan Melayu itulah yang menindas Melayu. Mereka adalah pengkhianat Melayu yang sebenarnya! Dari hari ke hari orang Melayu sebenarnya semakin lemah. Walaupun kita masih punya kuasa politik, itu tidak diguna dan diuruskan kan dengan baik. Kuasa politik itu masih kita pegang kerana orang Melayu masih ramai di negara ini. Orang Melayu masih mencatatkan kadar fertiliti yang tinggi berbanding kaum-kaum lain. Kadar fertiliti yang tinggi itu bagus kerana ia akan terus membanyakkan orang Melayu dari sudut kuantiti. Namun belum tentu dari sudut kualiti. Anak yang ramai kebiasaannya sukar dijaga. Pada hari ini orang Melayu benar-benar berada dalam dilema. Dilema Melayu pada kali ini adalah lebih parah dan menyayat hati. Ia jauh lebih parah dan menyayat hati daripada yang telah disebutkan oleh Tun Mahathir dalam bukunya, Dilema Melayu. Hari ini, kita segan dan malu untuk terus dilayan dengan tindakan-tindakan affirmatif kerajaan seolah-olah kita terlalu lemah dan cacat. Namun untuk meninggalkan tindakan -tindakan affirmatif tersebut, kita mungkin terpaksa melihat anak-anak Melayu kita yang masih miskin dan lemah terpaksa berjuang sendirian – tanpa ada pertolongan dari orang Melayu kaya yang telah berjaya. MOHD HASBIE MUDA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan