suria

Gawai, padi dan 1Malaysia simbol keserasian

KUCHING: Tanggal 1 Jun setiap tahun merupakan satu tarikh penting kepada masyarakat Dayak kerana pada hari itulah mereka menyambut perayaan Gawai Dayak tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, tradisi sambutan Gawai Dayak yang menandakan berakhirnya musim menuai padi, disambut sederhana tetapi tetap dengan penuh kemeriahan di setiap pelusuk Sarawak ini khasnya di rumah panjang dan perkampungan masyarakat Dayak yang merangkumi suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Pemilihan Jun sebagai bulan sambutan Gawai Dayak dalam kalender masyarakat Dayak bertepatan dengan berakhirnya musim menuai padi di Bumi Kenyalang.

Sarawak mempunyai 2.4 juta penduduk majoritinya terdiri daripada kaum Dayak yang banyak menanam padi sebagai sumber pendapatan utama sejak turuntemurun selain bekerja dalam bidang lain.

Gawai Dayak adalah adat dan tradisi rumah panjang sebagai lambang rasa syukur terhadap hasil padi yang diperoleh selain mendoakan agar hasil padi pada masamasa akan datang menjadi lebih banyak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata Sarawak pernah mengeluarkan 165,240 tan metrik padi sawah dan 42,334 tan metrik padi bukit pada tahun 2007.

"Krisis makanan yang pernah melanda negara dan dunia sebelum ini harus menjadi satu pengajaran kepada negara untuk mempersiapkan diri dengan meningkatkan jumlah pengeluaran makanan khasnya padi," katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Rohani, kerajaan mempunyai beberapa rancangan untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah jelapang padi kerana ketika ini Sarawak mengimport sekitar 111,214 tan metrik padi dengan nilai RM138.8 juta dari luar negara.

Beliau berkata antara kawasan yang telah dikenal pasti sesuai untuk pengeluaran padi di Sarawak adalah Stumbin/Bijat dekat Batang Lupar yang pernah menjadi kawasan pengeluaran utama padi suatu ketika dahulu, selain kawasan seperti Lingga/Banting, Daro, Nanga Merit, Pulau Baruit dan kawasan baru seperti Paloh, Sungai Sebiak dan Limbang.

Rohani berkata kementerian sedang giat melakukan ujian dan kajian dalam penggunan teknologi dan kaedah pertanian moden di Stumbin Bijat yang melibatkan kawasan seluas 2,900 hektar selain penggunan benih padi yang lebih berkualiti dan komersial seperti benih jenis MR219.

Selain padi, kerajaan turut membantu golongan penanam padi bukit di Sarawak melalui pemberian subsidi racun serangga, baja dan peralatan menanam yang turut menyumbangkan kepada pendapatan utama masyarakat luar bandar khasnya di pedalaman Sarawak.

Rohani berkata pembangunan sektor pertanian merupakan satu elemen yang paling sesuai untuk membawa matlamat "1Malaysia" menjadi realiti kerana ia melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Apabila kita sebut pertanian, semua pihak terlibat, semua kaum ada bercucuk tanam, menjadi nelayan menjadi usahawan tani tanpa mengira asal kaum dan agama mereka," katanya.

Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, Datuk William Mawan berkata Gawai Dayak tahun ini yang bertemakan "Satu Malaysia Segulai Sejalai" bukan setakat satu perayaan malah merupakan satu forum penting kepada masyarakat Dayak untuk berinteraksi.

"Dayak merupakan satu contoh yang baik kepada konsep 1Malaysia dan kita berharap budaya dan tradisi Gawai Dayak ini dapat diteruskan melalui acaraacara seperti rumah terbuka," katanya.

Mawan berkata Gawai Dayak merupakan peluang terbaik kepada golongan profesional dan intelek Dayak sama ada di bandar mahupun luar bandar merapatkan lagi hubungan dengan rakyat di peringkat bawahan.

"Kita mahu golongan profesional dan intelek Dayak ini samasama membantu kerajaan untuk melaksanakan pembangunan di kalangan masyarakat Dayak khasnya di kawasan luar bandar," katanya.

Terdapat beberapa kategori perayaan Gawai yang masih lagi diwarisi sejak turun temurun sejajar dengan kepercayaan nenek moyang seperti Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Padi, Gawai Antu, Gawai Pankong Tiang,Gawai Sakit, Gawai Umai, Gawai Tajau dan Gawai Pengap.

Dalam upacara Gawai biasanya majlis bermula dengan acara miring iaitu merenjiskan darah ayam jantan dan ketika Gawai berlangsung, seluruh penghuni rumah panjang akan berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke ruai di rumah panjang sambil bersukaria dengan hidangan air tuak.

Biasanya Gawai disambut selama 14 hari dan majlis penutupan Gawai dikenali sebagai "ngiling bidai".

Pada Sabtu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2009 di Stadium Perpaduan di sini.

Mulai tahun depan sambutan rumah terbuka Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun di Sarawak, akan diadakan di Semenanjung bagi memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat budaya itu. BERNAMA

Artikel Lain