suria

Pesta Kaamatan wadah perpaduan

TUARAN: Cuaca begitu cerah pada pagi 31 Mei lepas, tarikh keramat yang amat bermakna bagi masyarakat Kadazandusun merayakan Pesta Kaamatan atau pesat menuai mereka di Sabah.

Seorang wanita warga emas, Mundahoi Sompong, duduk melamun di tangga rumah papannya di Kampung Mantob, Kiulu, dekat sini sambil mendengar lagu "Tadau Kaamatan" yang berkumandang di radio Vfm Kota Kinabalu.

Wanita yang kini menjangkau usia 83 tahun itu berada jauh dari Bangunan KDCA di Penampang yang menjadi pentas perayaan Pesta Kaamatan tahun ini.

Sejak lebih dua dekad yang lampau, beliau tidak lagi berkesempatan untuk menyaksikan sendiri pelbagai acara tradisi perayaan Pesta Kaamatan termasuk acara kemuncak pertandingan Unduk Ngadau (Ratu Cantik) kerana faktor usia.

"Saya teringin sangat nak lihat acara tradisi Pesta Kaamatan (di KDCA) tapi apakan daya saya tak larat lagi berjalan jauh dan lagi pun Pesta Kaamatan sudah selesai," katanya kepada Bernama di sini.

Wajah muramnya menunjukkan riak terkejut apabila diberitahu bahawa ada lagi sambutan Pesta Kaamatan, kali ini lebih besar di peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada Ahad 7 Jun.

"Atukoi haro po di kagu karamaian tagayo" (Ada lagi Pesta Kaamatan besarbesaran kah?), tanya Mundahoi dalam loghat Kadazandusun.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual merasmikan Pesta Kaamatan peringkat kebangsaan itu, yang juga dikenali sebagai Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2009.

Majlis itu, anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan kerajaan Sabah, akan diadakan di Padang Merdeka.

"Tidak terlintas dalam fikiran saya akan ada perayaan Pesta Kaamatan peringkat kebangsaan pula. Sejak dulu perayaan besar begini ini tidak pernah ada," kata wanita itu yang sekali sekala masih keluar menuai padi meskipun sudah lanjut usia.

Mundahoi yang hidup sebatang kara selepas pemergian suami tercintanya sekitar 30 tahun yang lepas berkata penduduk Sabah patut bangga dengan perkembangan ini, kerana ia satu pengiktirafan yang tinggi.

"Puji Tuhan kerana pemimpin kita tidak ketepikan kami," kata Mundahoi yang menganut fahaman SeventhDay Adventist (SDA).

SABAH CONTOH KEJAYAAN SATU MALAYSIA

Sesungguhnya pesta ini meletakkan agenda perpaduan dan pembangunan sebagai keutamaan.

Tadau Kaamatan Malaysia tahun ini cukup menarik jika dikaitkan dengan konsep 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" kerana Sabah mempunyai lebih 30 suku kaum yang selama ini hidup bersatu dan menjadi satu daripada contoh kejayaan 1Malaysia.

Di Sabah, semangat toleransi dan hormat menghormati antara penduduk pelbagai kaum begitu terserlah dan dikagumi pelancong asing dan tempatan.

Mundahoi, yang pernah menjejaki bumi Amerika Syarikat untuk lawatan muhibbah pada awal 70an, tidak keseorangan menyokong penganjuran Pesta Kaamatan peringkat kebangsaan ini kerana ratarata rakyat Sabah menyambut baik sambutan perayaan ini.

Bagi mereka, Rumah Terbuka Tadau Kaamatan ini satu manifestasi kesungguhan kerajaan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Walaupun Pesta Kaamatan disambut dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu namun jangan dianggap kita boros berbelanja tetapi yang lebih dipentingkan ialah matlamatnya untuk mengeratkan hubungan kaum," kata wartawan bebas, Sunar Tumiran.

Selain memantapkan perpaduan nasional, Pesta Kaamatan ini boleh digunakan untuk mempromosi produk pertanian dan hasil kraftangan tempatan, katanya.

"Jadi marilah kita bersatu untuk menjadikan Perayaan Pesta Kaamatan ini sebagai satu daripada resepi dalam aduan dan ramuan konsep 1Malaysia," kata Sunar.

Warga bandar raya Kota Kinabalu Chong Ken Yin yang turut mengalualukan pesta itu berkata perpaduan merupakan kunci kejayaan.

"Pesta Kaamatan yang menitik beratkan perpaduan nasional wajar disokong oleh semua pihak. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran untuk melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama.

"Jelas sekali tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi pelrbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa," katanya.

PESTA KAAMATAN JANA EKONOMI

Chong berkata Pesta Kaamatan ini juga mampu menjana aktiviti ekonomi sampingan termasuk memberi peluang kepada penjaja kecilkecilan berniaga dan merancakkan pembangunan industri pelancongan.

"Tentu sekali ada pengunjung Pesta Kaamatan yang datang dari luar negara, Semenanjung, Sarawak atau dari daerah lain di Sabah seperti Tawau, Sandakan dan Keningau yang menginap di hotel. Ini baik untuk industri perhotelan," katanya.

Melihat perkembangan yang baik ini, Naib presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Cyril Yansalang mencadangkan agar perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri dan kebangsaan diadakan serentak tahun depan.

Mengikut sejarah, katanya, pesta itu mula disambut pada peringkat negeri pada tahun 1960 selepas kerajaan British Borneo Utara ketika itu mewartakannya sebagai satu daripada perayaan rakyat dan sekaligus sebagai hari cuti umum.

"Oleh kerana pesta Kaamatan ini dirayakan pada bulan Mei iaitu 30 dan 31 Mei, maka amat cantik dan sesuai kalau pesta Kaamatan ini diadakan serentak.

"Saya percaya dengan adanya perayaan yang serentak, banyak masa, tenaga dan kewangan dapat dijimatkan," katanya.

Selain itu, Cyril berkata ia juga memudahkan pelancong dalam dan luar negara mengatur program lawatan mereka ke negeri ini.

"Sekiranya ia diadakan serentak, kami berharap Pelancongan Malaysia dapat membantu mempromosi perayaan Pesta Kaamatan di luar negara dengan lebih agresif," katanya. LEGENDA PESTA KAAMATAN DI SABAH

Pesta Kaamatan penuh dengan cerita legenda, dan menurut Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, maksud sambutan perayaan Pesta Kaamatan membawa pengertian yang cukup besar dan mendalam kepada masyarakat Kadazandusun Murut.

"Masyarakat Kadazandusun Murut adalah kaum yang cukup sinonim sebagai petani yang mana kegiatan ekonomi utama mereka adalah bercucuk tanam, selain turut menjalankan kegiatan seperti menternak dan memburu binatang," katanya.

Tanaman utama yang menjadi makanan ruji bagi masyarakat Kadazandusun Murut ialah padi dan jenis padi yang ditanam ialah padi huma atau lebih dikenali masyarakat setempat sebagai 'padi bukit' dan padi yang ditanam di sawah.

Menurut legenda Huminodun yang diceritakan secara lisan turun temurun oleh nenek moyang masayarakat ini, terjadi suatu bencana alam yang cukup hebat iaitu berlaku kemarau yang teruk sehingga menyebabkan tiada lagi tumbuhan yang yang menjadi makanan manusia pada masa itu.

Menyedari hal ini, 'Kinoingan' kasihan melihat keturunan Kadazandusun Murut yang menderita akibat ketiadaan makanan, katanya

Lantas, bagi mengatasi masalah ini, Kinoingan mengambil keputusan untuk mengorbankan anak perempuannya yang bernama Huminodun dan melalui tubuh yang dikorbankan itu tumbuh pelbagai tumbuhan yang menjadi makanan seperti padi, jagung dan sebagainya.

Justeru, Pesta Kaamatan yang disambut selepas selesai menuai padi ini adalah tanda ucapan syukur kepada Kinoingan dan Huminodun yang menjadi semangat padi yang dikenali sebagai 'bambarayon'.

Pairin berkata antara pengisian dalam perayaan Pesta Kaamatan ialah mengadakan upacara 'Magavau' untuk memuja semangat padi dan turut diadakan pemilihan Unduk Ngadau Kaamatan (Ratu Cantik Kaamatan) sebagai memperingati pengorbanan dan nilainilai murni yang diteladani melalui legenda Huminodun.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail berkata pemilihan tema "1Malaysia" sempena Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan tahun ini bertepatan kerana ia selaras dengan semangat yang ada dalam perayaan itu.

"Tadau Kaamatan bukan sekadar acara kebudayaan dan hiburan tetapi ia mempunyai mesej tersirat lagi penting bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia dan Sabah khususnya.

"Semangat yang wujud menerusi sambutan perayaan ini wajar difahami dengan teliti kerana ia mempunyai nilai positif yang boleh menyumbang ke arah perpaduan dan pembangunan negara secara keseluruhannya," katanya.

Abdul Rahim berkata tanpa wujudnya integrasi kaum yang padu dan jitu, suasana kehidupan rakyat "tidak akan aman dan sedamai yang kita kecapi hari ini". BERNAMA

Artikel Lain