Gawai Dayak meriahkan semula kehidupan di desa

Diterbitkan: Isnin, 1 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGI perantau ini, menempah tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu sejak awal-awal lagi dan mengatur perjalanan darat untuk sampai ke desa kelahirannya di sebuah rumah panjang di Saratok, merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan setiap tahun.

Sejak beberapa tahun lepas, pada minggu terakhir Mei, Sat Ranggau akan meninggalkan tempat kerjanya di Klang untuk pulang kampung halamannya di Roban, kira-kira 400km dari Kuching, bagi menyambut Gawai Dayak pada 1 Jun.

Bagi usahawan berusia 35 tahun ini, lebih mudah dan cepat untuknya sampai ke Roban dari Sibu, daripada membuat perjalanan dari Kuching. Dari Sibu, dia hanya mengambil masa sejam untuk sampai di Rumah Ranggau Lichok untuk menemui keluarga dan sanak saudara yang dirindui.

Seperti kebanyakan rumah panjang Iban lain di Sarawak, suasana di Rumah Ranggau Lichok juga, kini tidak semeriah dulu. Paling ketara ialah tiadanya kelibat anak-anak muda kerana kebanyakan remajanya tinggal di sekolah berasrama, manakala mereka yang mencapai usia bekerja pula, berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki.

Bagaimanapun, suasana suram ini akan bertukar meriah apabila mereka yang pergi merantau atau "berjalai", pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Gawai Dayak. Gawai adalah perayaan utama masyarakat Iban. Jika digabungkan sambutan Krismas dan Tahun Baru, kemeriahannya tetap tidak dapat menandingi kemeriahan sambutan Gawai Dayak.

Pada musim sambutan Gawai Dayak jugalah, anggota masyarakat Iban berpeluang untuk kembali bersua muka dengan orang yang dikasihi, sanak saudara, sahabat handai dan jiran yang telah lama tidak ditemui.

Ini kerana, seperti Sat, kebanyakan mereka juga merantau ke tempat lain bagi mencari rezeki atau bagi menunaikan tuntutan tugas.

Kepulangan Sat pada tahun ini amat dinanti-nantikan oleh ibu bapanya kerana perantau ini tidak pulang ke kampungnya Krismas lepas. Kata Sat, dia tidak dapat pulang menjengah ibu bapanya pada tahun lepas kerana terpaksa melangsaikan tugas yang tidak boleh ditangguh.

Tradisi berjalai

"Berjalai" sudah menjadi amalan tradisi masyarakat Iban sejak zaman berzaman. Dalam amalan ini, anak muda "dihalau" dari rumah panjang mereka untuk hidup secara berdikari bagi tempoh tertentu bagi menguji semangat dan kebolehan mereka sebagai lelaki, sebelum dibenarkan kembali semula ke pangkuan keluarga.

Bagaimanapun, kaedah ujian itu berbeza pada zaman sekarang apabila anak muda Iban, dengan kerelaan sendiri, berhijrah untuk mencari pekerjaan bagi memperbaiki kehidupan masing-masing.

Kini, Sat serta rakan dan jirannya yang berhijrah untuk bekerja di daerah lain di Sarawak, semenanjung Malaysia, Sabah dan sesetengahnya hingga ke Thailand, Indonesia dan India, pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut Gawai bersama keluarga masing-masing.

"Di rumah panjang, Gawai merupakan waktu untuk kembali berhimpun, yang tidak terdapat dalam masyarakat lain. Ia bukan saja waktu untuk bertemu semula dengan kaum keluarga, tetapi juga merupakan pertemuan semula antara anggota masyarakat.

Oleh kerana penghuni rumah panjang lazimnya mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain, maka sambutan Gawai merupakan upacara pertemuan antara anggota keluarga secara besar-besaran. Bayangkanlah betapa meriah dan besarnya pertemuan semula ini jika sesuatu rumah panjang itu mempunyai 100 pintu.

"Suasana yang sungguh meriah dapat dirasai di kampung ini, yang penduduknya begitu rapat antara satu sama lain," kata Sat kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Persiapan menyambut Gawai bermula sejak awal lagi pada setiap tahun, terutama bagi menyediakan tuak.

Apabila hari menyambutnya semakin hampir, maka bermulalah pula persiapan untuk menyediakan masakan tradisional seperti "penganan" (yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan), Kuih Sepit dan Kuih Jala.

Sehari dua menjelang kedatangan hari istimewa itu, penghuni rumah panjang selalunya akan sibuk 'ngelulun nasi pulut' (memasak pulut di dalam buluh) dan 'ayam pansuh' (ayam yang dimasak di dalam buluh) -- yang boleh dianggap sebagai masakan wajib bagi menyambut Gawai.

Kaum lelaki akan menyembelih babi dan ayam, manakala kaum wanita pula membersih dan memasaknya.

Seperti dalam masyarakat lain, malam menjelang kedatangan Gawai, merupakan waktu untuk seluruh anggota keluarga berhimpun bagi menikmati hidangan istimewa. Selepas itu, bermulalah perayaan ini apabila penduduk rumah panjang berkumpul di ruai utama (serambi, yang menjadi pusat acara sambutan).

Sementara menunggu kedatangan detik tengah malam, mereka bergurau dan 'berandau' (bersembang), sambil menikmati tuak, kuih-muih dan beraneka jenis makanan yang disajikan.

Gawai juga merupakan masa bagi penghuni rumah panjang untuk memperagakan pakaian tradisional paling istimewa masing-masing. Kaum wanita, tidak kira tua atau muda, akan memakai 'ngepan indu', manakala kaum lelaki pula, walaupun kebanyakannya memakai selempang tradisional, ada juga berasa bangga apabila memakai 'sirat' (cawat).

Apabila pengaruh tuak sudah menguasai diri, hadirin akan mara ke ruang tarian untuk 'berngajat' dan beberapa minit menjelang tengah malam, mereka akan berhenti menari untuk seketika bagi memberi ruang kepada 'tuai rumah' (penghulu rumah panjang) menyampaikan ucapan.

Tepat tengah malam, gong akan dipalu dan tembakan senapang dilepaskan bagi menyambut kedatangan Gawai. Ia juga menjadi isyarat bermulanya masa untuk berpesta. Bagaiamanapun, sebelum itu, ada beberapa tradisi peninggalan nenek moyang, yang perlu mereka laksanakan.

Tuai rumah akan mengetuai upacara meminum 'ai pengayu' (meminum tuak bagi memohon panjang umur) dan saling mengucapkan 'gayu guyu gerai nyamai' (semoga panjang usia, sihat dan makmur) antara satu sama lain.

Selepas itu, mereka akan menyambung semula 'ngajat', nyanyian, makan-minum, bergurau dan bersembang, hinggalah menjelang subuh.

Apabila pagi menjelma, mereka melakukan 'ngabang' (lawatan) Gawai. Antara amalan tradisi yang terus menjadi amalan di rumah panjang ialah 'masu pengabang', di mana penghuninya menyajikan tuak kepada tetamu dari luar rumah panjang mereka, sebelum tetamu itu dibenarkan masuk ke rumah mereka.

Bagaimanapun, kata Sat, sambutan Gawai mengalami perubahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan pengaruh agama, termasuk tiada lagi beberapa ritual berkaitan kepercayaan kuno.

Katanya antara ritual yang sudah ditinggalkan ialah Muai Antu Rua (upacara menghalau semangat tamak), miring (upacara menghidangkan persembahan)dan ngalu petara (memanggil semangat).

"Saya terkenangkan sambutan Gawai Dayak zaman dulu-dulu, yang lebih mementingkan tradisi'aki-inik' (nenek moyang) kami," katanya.

Namun demikian, Gawai tetap merupakan acara sosial yang amat penting bagi masyarakat Dayak.

Sambutan kemasyarakatan

Sementara itu, suri rumah Midon Moting, 56, dari Kampung Benuk, sebuah perkampungan masyarakat Bidayuh di Jalan Puncak Borneo di Penrissen, kira-kira 30km dari Kuching, kelihatan tidak sabar menunggu kepulangan enam anak dan lima cucunya bagi memeriahkan lagi sambutan Gawai kali ini.

Midon sudah menyediakan 'angkau' (tuak yang amat istimewa) dan masakan tradisional lain, termasuk pekasam ikan dan pansuh ikan untuk mereka.

"Kami menyambut Gawai Dayak secara sederhana. Namun demikian, ia tetap meriah kerana setiap anggota keluarga yang bekerja di luar Kuching, akan pulang ke kampung," katanya.

Pada 1 Jun setiap tahun, masyarakat Dayak di negeri ini, yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan beberapa suku kaum lain, menyambut Gawai Dayak, iaitu hari kesyukuran bagi meraikan hasil tuaian yang lumayan dan hari untuk membuat perancangan bagi menghadapi musim baru untuk bercucuk tanam.

Bagi yang masih berpegang pada kepercayaan nenek moyang masing-masing, Gawai Dayak merupakan satu sambutan keagamaan, manakala bagi majoriti masyarakat Dayak yang menganut Kristian pula, ia merupakan satu acara sambutan kemasyarakatan yang amat istimewa.

Gawai Dayak pertama kali disambut pada 1 Jun 1965, selepas diwartakan sebagai cuti umum bagi menggantikan Hari Sarawak, pada 25 Sept 1964. Perayaan ini menjadi simbol perpaduan dan menyimpulkan hasrat serta harapan masyarakat Dayak untuk menikmati kehidupan yang lebih bahagia. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan