suria

Ulat rawat ulser kronik

"MUNGKIN ulat-ulat ini dapat menyelamatkan kaki mak cik daripada dipotong", itulah kata-kata semangat seorang perawat kepada seorang penghidap kudis kronik di kaki akibat diabetis yang teruk.

"Jangan bimbang mak cik, ulat-ulat ini cuma makan luka dan kulit yang mati sahaja, yang elok langsung dia tak usik", kata perawat itu lagi.

Itulah kata-kata seorang perawat yang mengamalkan 'Maggot Debridement Therapy' bagi pesakit diabetis yang mempunyai luka atau kudis yang kronik dan sukar untuk sembuh.

Menurut pengurus Edaran Arif Medik Sdn Bhd, Mohd Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy, penggunaan 'ulat lalat' di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

"Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)", kata beliau kepada Bernama di sini baru-baru ini.

DUA SPESIES

Menurut Mohd Ashraf, spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia Cuprina iaitu lalat tempatan manakala di negaranegara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia Sericata.

Keduadua spesies ini telah dikenalpasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

"IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ianya dikenali sebagai Lucilia Cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka", kata beliau lagi.

Mohd Ashraf berkata syarikat Medical Biotheraphy Sdn, anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di Malaysia. Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

RAWATAN

Beliau berkata, ulat lalat ini mampu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Menurut Mohd Ashraf, ulat lalat ini merawat kulit yang ada luka terlalu kronik, contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

"Kesukaran pesakit diabetes sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku".

Menurut beliau, ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulatulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Katanya lagi, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami.

"Kalau luka di peringkat awal, tapi ada tisu mati, kita letak lava (ulat) ini dalam 48 jam, sekali aplikasi. Maksudnya jika kita letak ulat tu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan ini akan sembuh sepenuhnya daripada luka tersebut, namun katanya jika luka itu terlalu teruk ianya tidak boleh pulih hanya dengan sekali rawatan sahaja.

PENYUCIAN LUKA

Mohd Ashraf berkata, penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu.

"Ulat ni tak makan macam kita (manusia) makan, ulat ni bila dia nak makan dia akan rembeskan enzim dulu. Enzim tersebut akan mencairkan tisutisu mati dan ia pulihkan balik luka tersebut dengan mempercepatkan penumbuhan tisu", kata beliau lagi. Beliau berkata selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis tetapi juka luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

"Sebenarnya rawatan ini bukan pada pesakit kencing manis sahaja, cuma antibodi pesakit kencing manis sahaja yang agak kurang, jadi luka tu cepat merebak dan susah nak sembuh", kata beliau.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 0361891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com. BERNAMA

Artikel Lain