suria

Mat rempit lebih suka jalan raya

MESKIPUN pihak berkuasa mengambil langkah membenarkan bukan profesional berlumba di litar Sepang dan Pasir Gudang, namun perbuatan berlumba haram, mat rempit, masih menjadi masalah yang berleluasa.

Bukan tiada aktiviti untuk mereka, bahkan contohnya di litar lumba Sepang, setiap hujung minggu akan terdapat pelbagai acara seperti Malaysian Super Series (MSS).

Untuk menyertai perlumbaan itu, mereka yang mempunyai motosikal berkuasa 250cc ke atas akan dikenakan bayaran RM100 manakala bagi motosikal berkuasa 250cc ke bawah akan dikenakan RM70.

Dakwaan yang mengatakan tiada tempat untuk mereka berlumba adalah tidak benar kerana mat rempit ini dilihat lebih suka menjadikan jalan raya di sekitar ibu kota sebagai litar lumba mereka.

Pegawai Penyiasat Kanan Trafik Kuala Lumpur ASP Rizal Abdul Rahman Sidek berkata meskipun kerajaan membina banyak kemudahan untuk golongan itu berlumba, mat rempit nampaknya tidak berminat.

"Polis tidak pernah prejudis terhadap golongan ini. Kita tahu, golongan ini kebanyakannya datang daripada keluarga yang bermasalah," katanya sambil menekankan bahawa istilah mat rempit dalam undang-undang tidak pernah ada, hanya media yang memberikan gelaran itu.

"Mat rempit selalu mengatakan tiada tempat untuk berlumba, tapi itu hanyalah alasan. Mereka menyertai perlumbaan haram hanya bertujuan mendapatkan gelaran dan penghormatan selain untuk mendapatkan kepuasan," katanya.

Rizal berkata demikian pada forum bertajuk "Dunia Mat Rempit: Masyarakat Terhimpit" di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) baru-baru ini.

Rizal berkata daripada kajian yang dibuat, 90 peratus yang terlibat dalam kegiatan lumba haram ini ialah Melayu.

BEKAS PELUMBA JALAN RAYA

Seorang bekas mat rempit, Syairul Azahar Alias, 24, yang menjadi anggota panel forum itu berkata golongan ini tidak terlalu memilih tempat untuk berlumba.

"Kami lebih suka bebas dan berlumba di jalan raya memberikan kepuasan selain yang pentingnya gelaran yang diberikan oleh rakan-rakan," kata juruteknik Auto Bavaria Berhad ini.

Beliau berkata ganjaran duit dan perempuan merupakan perkara kedua baginya dalam setiap perlumbaan sebaliknya yang diutamakan memburu gelaran dan penghormatan.

Syairul Azhar juga menafikan bahawa perlumbaan motosikal haram diadakan bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat sekeliling.

"Kami tak pernah peduli pun sama ada masyarakat menonton perlumbaan kami atau tidak. Kami berlumba kerana dicabar oleh kumpulan mat rempit yang lain. Dalam dunia mat rempit, ada banyak kumpulan. Berlumba untuk membuktikan kumpulan mana yang hebat.

"Apa pun, bahayanya itu ada tetapi gelaran itu yang penting," katanya yang telah tiga tahun berhenti menjadi mat rempit.

ANAK MUAZIN

Sementara itu, seorang lagi bekas mat rempit Rosmaini Abdul Rahman, 32, bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Syairul Azhar.

Anak muazin sebuah masjid di Kuantan, Pahang ini mula menjebakkan diri dalam kancah mat rempit seawal usia 16 tahun dan berhenti daripada kegiatan itu ekoran sakit teruk.

Katanya meskipun disediakan tempat, namun berlumba di litar yang disediakan tidak memberi kepuasan maksimum selain beban bayaran untuk berlumba.

"Seperti yang Syairul katakan, apa yang penting ialah gelaran. Ganjaran dah jatuh nombor dua," katanya yang kini bekerja sebagai guru Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Ditanya sama ada kepincangan institusi keluarga menjadi faktor utama, Rosmaini berkata perkara itu tiada kaitan sebaliknya pengaruh rakan adalah faktor utama.

DESAKAN RAKAN

"Bukan faktor keluarga yang menjadikan saya begini sebaliknya terpengaruh dengan rakan-rakan. Selain itu, faktor persekitaran yang terlalu bebas juga menyebabkan saya terjebak," katanya.

Sementara Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menyokong cadangan Polis untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membendung gejala mat rempit dan perlumbaan motosikal haram.

Cadangan itu antara lain mahukan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti lumba haram.

Presiden kelab motosikal "Kelab RD", Azhanyzam Zakaria pula berpendapat langkah kerajaan itu baik namun masih belum mencukupi untuk membendung gejala mat rempit atau perlumbaan motosikal haram ini.

Ketika dihubungi, beliau berkata kerajaan juga perlu menimbangkan untuk mewujudkan satu lagi litar lumba yang dirasakannya strategik iaitu di Bukit Jalil selain mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dengan perlumbaan haram.

LITAR YANG LEBIH DEKAT

Azhanyzam berpendapat pembinaan litar lumba di Bukit Jalil berhampiran Kuala Lumpur mungkin mampu mengurangkan aktiviti perlumbaan motosikal haram di jalan raya ibu kota.

"Kalau di Bukit Jalil, dekatlah sikit berbanding Sepang. Mereka ini tak mahu tempat yang jauh. Sekiranya kerajaan sudah menyediakan tempat untuk mereka melakukan aktiviti dan kalau mereka masih lagi berlumba haram di luar, kenakan sahaja tindakan tegas terhadap mereka.

"Tindakan merampas motosikal bukanlah satu tindakan yang baik, sebaliknya akan mengundang jenayah lain iaitu mencuri motosikal. Kita kena tahu kebanyakan mereka ini datang daripada golongan keluarga bermasalah serta hidup dalam kemiskinan," katanya.

Azhanyzam juga berpendapat tindakan undang-undang yang lebih ketat harus meliputi pembatalan lesen memandu serta-merta dan pengharaman pembelian motosikal bagi mereka yang disabitkan kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain