suria

Mat rempit juga peragut, samseng jalanan?

"BUKAN semua mat rempit itu penjenayah atau peragut. Macam saya..saya hanya berlumba di jalanan. Kami bukan berlumba untuk jadi peragut, tetapi saya tak nafikan ada segelintir mat rempit yang jadi peragut,".

Itu kata-kata seorang bekas mat rempit, Syairul Azahar Alias, 24.

Menurut juruteknik di Auto Bavaria Bhd itu, walaupun masyarakat sering mengaitkan kumpulan mat rempit dengan pelbagai jenayah, tetapi tidak semua mereka yang cenderung melakukan jenayah.

Syairul Azhar berkata walaupun dua rakannya meninggal dunia akibat kemalangan ketika merempit, itu tidak pernah menghalang beliau untuk terus bergiat di dalam perlumbaan lharam.

"Saya masih ingat saat-saat bila dua rakan saya mati di hadapan mata akibat terbabas ketika berlumba. Pada waktu itu saya serta rakan yang lain semua memecut motor lari tinggalkan mereka dalam keadaan kesakitan dan dengan badan berdarah..memang tiada siapa yang nak tolong.

"Masing-masing tak nak kena cekup dengan polis..dan siapa (mat rempit) yang jadi mangsa jalan raya alamat tergadailah nyawa," katanya.

MAT MOTOR

Sejak era 80-an lagi golongan yang dikenali sebagai 'mat motor' ini mula dikenali ramai melalui beberapa filem tempatan seperti Ali Setan, Gila-Gila Remaja, Litar Kasih, KL Menjerit, Remp-it dan yang terbaru, Bohsia ,yang banyak mengenengahkan tentang golongan samseng jalanan bermotosikal.

Hakikatnya, golongan muda ini mudah terpengaruh dengan aksi-aksi yang dipertonton dan menjadi ikutan mengenai cara hidup golongan ini.

Menurut kajian sebuah badan institusi kekeluargaan, budaya mat rempit ini berpunca daripada kurangnya didikan dan perhatian keluarga menyebabkan golongan muda seawal usia 13 tahun mudah terdorong untuk melakukan gejala negatif terbabit.

Dorongan dan pengaruh rakan serta pendedahan melalui filem-filem tempatan juga menjadi inspirasi golongan ini untuk terjerumus ke kancah yang tidak bermoral.

INSTITUSI KEKELUARGAAN

Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan dan didikan tetapi malangnya sesetengah ibu bapa seakan kurang memberi perhatian terhadap anak-anak.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, antara faktor penyebab kegiatan itu adalah disebabkan kurangnya perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa.

"Golongan ini diberi kebebasan begitu ketara sekali sampaikan keluarga tidak tahu menahu tentang aktiviti harian anak-anak mereka," katanya.

Mohd Bakri berkata bermula dari situ, anak-anak remaja ini akan mula mencari rakan-rakan sebaya untuk berkongsi masalah selain melakukan aktiviti bersama-sama bagi mencari keseronokan.

Katanya mat rempit ini juga sanggup mengadaikan nyawa demi mendapatkan penghormatan dan ganjaran seperti wang dan perempuan.

"Mereka ini merempit bagi mendapatkan kepuasan diri di samping habuan serta wang pertaruhan untuk mereka membuat pengubahsuaian motosikal dan ada sesetengahnya untuk membeli dadah. Keadaan ini menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan jenayah termasuk ragut," katanya.

TIDAK SEMUANYA PERAGUT

Bagaimanapun katanya tidak semua peragut itu terdiri daripada mat rempit, ini kerana kajian yang dilakukan menunjukkan peragut terdiri daripada mereka yang berumur antara 16 hingga 40 tahun.

Mat Rempit pula terdiri daripada mereka yang berumur 13 hingga 25 tahun berdasarkan tangkapan yang dibuat dalam operasi cegah lumba haram.

Mohd Bakri berkata jenayah ragut di negara ini masih di peringkat terkawal dan pihaknya sedang mengkaji kaitan jenayah ragut dengan kelembapan ekonomi sekarang.

"Kita tidak nafikan kekurangan pekerjaan di peringkat pasaran sekarang boleh memberi impak kepada perilaku jenayah di negara ini," katanya.

PENCEGAHAN DAN CADANGAN

"Banyak saranan telah dibuat kepada agensi-agensi berkaitan termasuk membuat kajian untuk menyekat penunggang motosikal memasuki kawasan tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang," katanya.

Beliau berkata cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti kerana ia akan memberi kesan kepada penunggang motosikal yang menjadikan pengangkutan itu sebagai jalan keluar daripada kesesakan.

Dalam usaha mencegah berlakunya kes ragut, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata beberapa kajian sedang dijalankan.

Ini berhubung cadangan membina jejambat pejalan kaki di sekitar kawasan tumpuan pelancong di samping mengehadkan laluan masuk motosikal ke pusat tumpuan pelancong.

Beliau berkata usaha penanaman pokok sebagai penghadang laluan motosikal sudah dilaksanakan di beberapa laluan di pusat bandar, dan langkah itu akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain jika ia didapati berkesan.

"Penanaman pokok renek dapat menghadang motosikal daripada masuk ke laluan pejalan kaki, dan secara tidak langsung ia dapat mengelak jenayah ragut daripada berlaku," katanya.

Beliau berkata cadangan untuk mengehadkan laluan masuk motosikal perlu dikaji kesesuaiannya kerana ramai penduduk di ibu negara merupakan penunggang motosikal.

HUKUMAN KEPADA PESALAH RAGUT

Selain cadangan untuk mencegah jenayah ragut, terdapat juga usul mengenakan hukuman berat kepada penjenayah.

Mohd Bakri mencadangkan agar hukuman khidmat sosial kepada penjenayah ragut dibuat bukan sahaja untuk memalukan pesalah tetapi bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

"Kita menyarankan agar pesalah ragut ini diberi tugas untuk melakukan kerja sosial selama 8 hingga 12 jam sehari di kawasan yang mereka lakukan ragut, seperti menyapu jalan," katanya.

Pesalah ragut juga perlu dipakaikan poster di badan atau memakai baju T yang tertulis 'saya pesalah ragut' bagi memberi rasa malu dan selain menginsaf mereka agar tidak mengulangi kesalahan itu.

Bakri berkata bagaimanapun hukuman itu perlu diteliti dan dikaji kesesuaianya di negara ini sebelum dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, bentuk hukaman yang dikenakan kini tidak mendatangkan sebarang kesan kepada peragut malah mereka seolah-olah tidak takut dengan hukuman yang diberikan.

"Polis tidak boleh bertindak melampaui undang-undang sedia ada, apa yang menjadi masalah, kami hanya boleh membuat penguatkuasaan sahaja dan tindakan untuk menghukum terletak di bawah bidang kuasa mahkamah," katanya.

Justeru itu, masyarakat tidak boleh menghukum polis dan menunding jari dengan menganggap polis tidak menjalankan tugas.

"Jangan letak sepenuhnya kesalahan kepada polis tetapi bantu kami menjejak mereka. Apa yang penting jangan beri peluang dan ruang kepada mereka untuk menjadikan anda mangsa jenayah," kata Mohd Bakri.

KESEDARAN

Sementara itu menurut Syairul Azhar, kesedaran untuk berhenti berlumba sebenarnya perlu datang daripada diri sendiri.

"Susah nak insafkan orang seperti kami. Gunalah apa cara sekalipun. Kesedaran itu sebenarnya datang dari hati", kata bekas mat rempit ini. -BERNAMA

Artikel Lain