suria

Malaysia tingkat usaha gamit pelancong Asia Barat

MALAYSIA baru-baru ini memperagakan apa yang ia boleh tawarkan kepada pengunjung dari Asia Barat dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari rantau ini.

Semuanya bermula dengan penyertaan Malaysia dalam acara Arabian Travel Market (ATM) 2009 yang berlangsung di Dubai dari 5-8 Mei, disusuli dengan roadshow yang diterima baik di Jordan dan Syria.

Jentera promosi yang diketuai Tourism Malaysia di ATM bersungguh-sungguh berebut dengan negara-negara lain berusaha memikat pengunjung dalam keadaan kemelesetan ekonomi dunia yang memberikan kesan kepada minat orang ramai untuk melancong.

Dengan "Jalur Gemilang" berkibar megah di hadapan Pavilion Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai, Pasukan Malaysia bersatu hati melakukan sedaya yang boleh untuk membawa 250,000 pelancong Asia Barat ke Malaysia tahun ini.

Membawa bersama kumpulan kebudayaan merupakan satu tindakan bijak Tourism Malaysia kerana ini menjadi faktor penarik bagi orang ramai untuk datang berulang kali menyaksikan tarian tradisional Melayu yang memikat dan sesi pertunjukan kompang oleh anggota berbakat yang mudah menawan pengunjung dengan senyuman manis dan sikap mesra mereka.

WARGA ASIA BARAT MEMINATI MALAYSIA

Malaysia mula menembusi pasaran Timur Tengah hampir 10 tahun yang lepas, dan usaha itu telah membawa 264,338 ketibaan pelancong dari rantau ini pada 2008.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Azizan Noordin berpendapat memandangkan kegawatan ekonomi global sekarang ini, bilangan pembeli di ATM 2009 kemungkinan menyusut antara lima dan tujuh peratus, sebahagian besarnya daripada pasaran Eropah.

Bagaimana pun ada berita baik, katanya.

"Ini tidak banyak menjejaskan kita kerana mereka yang dari rantau ini masih datang ke negara kita. Anda boleh melihat sendiri yang gerai kita merupakan antara yang paling sibuk sejak hari pertama lagi."

Azizan yang berpengetahuan luas mengenai pasaran Asia Barat, memainkan peranan utama di pejabat Tourism Malaysia di Jeddah tidak lama dahulu.

"Pasaran Timur Tengah ini agak dekat dengan hati saya. Walaupun saya telah kembali ke Malaysia sekarang, saya masih mengikuti perkembangan pasaran di sini," kata beliau, dengan menambah kata penyertaan Malaysia di ATM selama bertahun-tahun telah meningkatkan profil negara di rantau ini.

PENGUSAHA PELANCONGAN PERLU TINGKAT TAWARAN

Ketika para peserta Malaysia bertemu dengan pembeli-pembeli berpotensi dan rakan-rakan perniagaan, Azizan pula sibuk melayan tetamu di pavilion diselangi dengan temu bual bersama pelbagai akhbar dan stesen televisyen.

Beliau dan para pegawai Tourism Malaysia yang lain mengambil setiap peluang untuk menunjukkan apa yang Malaysia boleh tawarkan kepada pelancong, memberi penekanan khusus terhadap pakej-pakej yang disediakan khas untuk menampung keperluan pelancong Islam semasa Ramadan.

Turut diberi tumpuan ialah destinasi seperti Terengganu, Sabah, Melaka dan Pahang, selain produk pelancongan seperti program homestay, Malaysia My Second Home (MM2H), percutian mewah, pelancongan perubatan dan kesihatan, eko-pelancongan, menunggang kuda, menyelam dan pendidikan.

Menurut Azizan, mereka yang berkepentingan dalam industri pelancongan Malaysia perlu mempertingkat tawaran memandangkan Malaysia menumpukan kepada lebih ramai pelawat, termasuk mereka yang daripada kategori mewah.

Didorong oleh kempen promosi "Malaysia Truly Asia" yang memenangi anugerah, Malaysia dengan 27 juta penduduk, menerima sejumlah 22.05 juta pelawat pada tahun lepas, menjana sejumlah RM49.56 bilion (US$13.76 bilion) pendapatan.

PASARAN SERANTAU PENTING

Memandangkan bilangan pelancong jarak jauh dijangka berkurangan disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak mengizinkan, Malaysia kini mengalih perhatian kepada pasaran serantau seperti Timur Tengah, China, Jepun, Korea, kumpulan serantau 10 negara Asean selain daripada menggalakkan pelancongan domestik.

Pada edisi ke-16 ATM, Tourism Malaysia menyaksikan pembabitan 100 peserta dari 84 pertubuhan yang terdiri daripada 55 hotel, 23 pengendali pelancongan, empat kerajaan negeri, KL Tower dan Penerbangan Malaysia.

Ada di antara peserta ini meneruskan dengan jerayawara Tourism Malaysia di Jordan dan Syria selepas ATM, di mana Malaysia sekali lagi memukau para penggiat industri pelancongan di kedua-dua negara.

Azizan mengulangi mesej yang sama pada sidang akhbar dan dalam ucapan yang yang disampaikannya pada majlis makan malam gala di Amman dan Damascus -- bahawa Malaysia membuka pintu seluas-luasnya bagi para pelawat dari Asia Barat dan lain-lain.

Beliau juga menegaskan bahawa negara-negara tidak harus melihat sesama sendiri sebagai pesaing dalam bidang pelancongan kerana adalah lebih baik bagi mereka cuba saling melengkapi satu sama lain, seperti apa yang berlaku di antara Malaysia, Thailand dan Singapura.

KEMPEN YANG BERJAYA

Para tetamu dilihat terpersona dengan pertunjukan kebudayaan hebat para penari Pak Ngah Production, yang menerima sorakan gemuruh hadirin.

Duta Malaysia ke Syria Datuk Ibrahim Abdullah berkata orang ramai di Syria boleh banyak belajar mengenai Malaysia.

"Saya mahu memuji Tourism Malaysia kerana mengadakan roadshow ini di Syria yang memberi peluang untuk menunjukkan dari dekat kehebatan Malaysia," kata beliau di Damascus.

"Saya boleh katakan yang pertunjukan kebudayaan hebat yang dipersembahkan oleh Tourism Malaysia telah membuka mata warga Syria," kata Ibrahim.

Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, berkata selain daripada menarik lebih ramai pelawat dari Jordan ke Malaysia, usaha harus diambil untuk menggalakkan rakyat Malaysia melawat Jordan, yang terkenal dengan puing-puing Petra yang begitu menakjubkan.

Menurut beliau, memandangkan Kuala Lumpur dan Amman menikmati hubungan baik di peringkat politik, ini harus diperluas dalam bidang lain termasuk pelancongan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain