suria

Bila selebriti bercakap mengenai AIDS

MUNGKIN berbeza tumpuan penonton bila seorang artis muncul di kaca televisyen berbicara mengenai AIDS, berbanding ketika doktor atau pakar bercakap mengenai isu itu.

Jadi bila penyanyi Faizal Tahir bercakap mengenai AIDS, stigma dan peranan masyarakat mendekati isu ini sempena Hari Memperingati AIDS Sedunia Ahad lepas, sebuah keluarga kecil di Gombak yang sibuk berbual, terdiam sejenak untuk mencuri pandang slot komersil yang dipaparkan.

"Sudah bertahun sukarelawan seperti kami, doktor dan pakar-pakar menekankan isu HIV/AIDS ini dan orang ramai sudah terbiasa melihat dan mendengar suara kami, maka muka segar selebriti popular, diharap membawa kesan yang berbeza," kata anggota Eksekutif Jawatankuasa Majlis AIDS Malaysia (MAC) Dr Soraya Azmi.

Dua belas artis dan personaliti televisyen serta radio dipilih menyertai "Program Selebiriti Sokongan Riben Merah 2009/2010" yang dilancarkan baru-baru ini dan peranan mereka ialah bekerjasama dengan MAC dan Yayasan Aids Malaysia (MAF) meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai HIV/AIDS.

Datuk Siti Nurhaliza, Fish Leong, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Ayu , Umie Aida, Fahrin Ahmad, Owen Yap, Zainal Alam Kadir, Aanantha, Uthayaa dan Shah Shamsiri diharap dapat membantu meningkatkan mutu kehidupan rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV dan merangsang sokongan serta penglibatan orang ramai dalam isu ini.

"Adakalanya orang terlepas pandang yang kami mempunyai suara berpengaruh untuk menarik orang ramai menyertai usaha sebegini," kata Faizal mengenai peranannya dalam kempen ini.

PELAN STRATEGIK MAC

Inisiatif menggabungkan selebiriti ini selari dengan Pelan Strategik MAC bagi tahun 2008-2010 untuk mewujudkan sokongan persekitaran terutama berkaitan isu stigma dan diskriminasi terhadap pesakit AIDS dan mereka yang hidup dengan HIV.

Kemunculan selebriti ini pada majlis-majlis tertentu, melawat rumah perlindungan dan menjadi jurucakap bagi pihak MAC/MAF diharap dapat membantu menyebar luaskan kempen membantu orang yang hidup dengan HIV/AIDS, secara lebih berkesan.

Misi pertama selebriti ini ialah untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi membimbangkan terhadap mereka yang dijangkiti atau terlibat dengan HIV/AIDS dan keluarga mereka.

Alasan untuk ini?

Menurut Dr Soraya, tiga daripada empat rakyat Malaysia mengatakan mereka berasa malu sekiranya mereka dijangkiti virus HIV, manakala satu daripada dua rakyat Malaysia pula berasa malu sekiranya seorang daripada kalangan anggota keluarga mereka adalah HIV positif.

Kenyataan ini ialah hasil kajian tajaan Synovate (M) Sdn Bhd pada tahun 2008.

"Kajian ini jelas menunjukkan stigma dan diskriminasi wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV. Prejudis dan diskriminasi yang dilemparkan kepada mereka dan kumpulan serta komuniti yang terlibat dengan mereka akan mengakibatkan mereka disisih dan didiskriminasi masyarakat," kata Dr Soraya.

STIGMA DAN DISKRIMINASI

Dianggarkan sebanyak 85,000 orang di Malaysia dikenal pasti HIV positif dan setiap hari dianggarkan di antara 10 hingga 15 orang dijangkiti virus ini di Malaysia.

Seharusnya stigma dan diskriminasi terhadap kumpulan yang semakin ramai ini, dihapuskan.

Apa yang dimaksudkan dengan stigma dan diskriminasi, kata Dr Soraya, ialah kebanyakan anggota masyarakat memang sudah tahu mengenai HIV sebagai sejenis virus dan kaedah biasa ia merebak, iaitu melalui perkongsian jarum mengambil dadah, hubungan seks tidak selamat dan daripada ibu HIV kepada bayinya.

Tetapi pengetahuan asas itu sebenarnya tidak cukup.

"Untuk menghentikan stigma dan diskriminasi ini kita harus benar-benar tahu bahawa HIV tidak merebak melalui hubungan sosial, bersalaman, makan bersama, bekerja bersama, kanak-kanak bermain bersama atau berkongsi makanan, malah makan makanan yang disediakan seorang yang HIV positif.

"Tetapi salah faham dan imaginasi kita yang keterlaluan membuatkan kita percaya yang HIV boleh merebak semudah jangkitan selesema, pada hal ini tidak benar sama sekali," katanya.

Oleh itu MAC berharap dengan menjadikan selebriti rakan kempen, personaliti popular ini boleh membantu memberitahu melalui kata-kata dan contoh terbaik yang mereka tunjukkan bahawa bergaul dengan seorang yang HIV positif tidak membawa kepada penjangkitan virus itu.

PUNCA STIGMA

"Kami mahu selebriti pelbagai bangsa ini membantu menyebarkan mesej ini kepada semua warga Malaysia, tidak kira muda atau tua, yang tinggal di bandar atau desa," katanya.

Stigma berkaitan HIV/AIDS ini, katanya, hasil daripada perasaan takut, penafian, kejahilan dan kurang maklumat serta pendidikan.

Dr Soraya turut menyentuh beberapa perkara lagi mengenai stigma dan diskriminasi terhadap pesakit AIDS dan orang yang hidup dengan HIV ini:

* Menyalahkan mereka yang hidup dengan HIV/AIDS bahawa mereka dijangkiti kerana perbuatan mereka sendiri, ialah satu sikap yang tidak membantu. Semua agama menggalakkan penganutnya memahami, mengasihani dan membantu mereka yang dalam kesusahan, dan mereka yang hidup dengan HIV sepatutnya tidak terkecuali.

* Terlalu menekankan kepada "kumpulan berisiko" seperti pekerja seksual, lelaki homoseksual, penagih dadah dan lain-lain sedangkan kini ramai yang didiagnos ialah wanita yang berkahwin (heteroseksual monogamous), maknanya satu-satunya pasangan seks mereka ialah suami.

Menurut Dr Soraya trend ini sedang berlaku di Malaysia sama seperti di peringkat global dan ini berpunca daripada kelemahan biologikal, ketidaksaksamaan gender dan kuasa dalam hubungan seksual yang tidak seimbang.

* Sukar mendapatkan rawatan kesihatan dan bantuan sosial bagi mereka yang dijangkiti, pelanggaran privasi dan kehilangan pekerjaan. Mereka sepatutnya mudah mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan, dan terus diberi peluang menyara kehidupan dan keluarga mereka.

Memang keperluan perubatan penting, tetapi turut sama penting ialah seseorang itu memerlukan sokongan rakan-rakan dan keluarga dan persekitaran yang bebas daripada stigma dan diskriminasi.

Jika semua ini ada, seseorang yang HIV positif boleh hidup normal dan menjalani kehidupan seharian yang produktif, katanya.

KESEDARAN RAKYAT MALAYSIA RENDAH

Menurut Dr Soraya kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai HIV/AIDS masih terlalu rendah dan Fahrin mengakui, artis sepertinya tidak terkecuali, sebelum menyertai program ini.

Kini beliau didedahkan dengan seminar mengenainya dan jika selama ini mungkin beliau tidak menyedari orang yang hampir dengannya, jiran atau rakan, memerlukan bantuan dalam masalah HIV/AIDS ini, Fahrin berazam untuk mendekati mereka dan memberikan sokongan moral.

"Daripada perbincangan dan apa yang didedahkan kepada saya, saya sedar sekarang stigma dan diskriminasi teruk terhadap orang yang hidup dengan HIV/AIDS ini, hanya kerana cetek pengetahuan masyarakat sedangkan mereka layak hidup macam orang lain.

"Mereka berhak kepada kehidupan yang positif di samping anggota masyarakat yang lain digalak mengamalkan gaya hidup sihat. Saya suka bercakap, dan saya akan gunakan masa yang saya ada untuk membantu MAC menjelaskan sebarang kekeliruan masyarakat mengenai penyakit ini," kata pelakon dan pengacara tv popular ini.

ISTILAH MAJLIS AIDS

MAC turut menarik perhatian kepada beberapa istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada HIV/AIDS yang pada pendapatnya tidak tepat, tidak sensitif dan perlu dielakkan.

Antaranya perkataan "pembawa AIDS",seolah-olah mereka yang membawa penyakit itu.

"Mangsa AIDS" sepatutnya digantikan dengan perkataan seperti "mereka yang HIV positif", "orang yang dijangkiti AIDS" atau "mereka yang hidup dengan HIV/AIDS."

"Virus AIDS" juga tidak ada. Virus penyebab AIDS dipanggil HIV (Human Immunodeficiency Virus) sama juga istilah "golongan berisiko tinggi" patut digantikan dengan kelakuan berisiko tinggi (seks tidak selamat dan berkongsi jarum suntikan).

MAC memilih istilah "mereka yang hidup dengan HIV/AIDS atau orang yang positif HIV" bagi menggantikan "Pesakit AIDS".

MAC juga menjelaskan bahawa istilah betul bagi "Ujian AIDS" ialah Ujian Antibodi HIV, kerana ia tidak menguji kehadiran AIDS atau virus HIV, tetapi mengesan kehadiran antibodi dalam badan yang terhasil untuk melawan virus.

HARAP MINTA MENINGKAT

Anggota Lembaga Pemegang Amanah MAF Datuk Maznah Abdul Jalil berkata beliau yakin dengan bakat, populariti serta keprihatinan ikhlas selebriti ini terhadap HIV/AIDS dapat membantu MAC/MAF untuk menyampaikan mesej bermakna dan memberi kesan kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

Mereka ini popular dan ramai peminat, kata Dr Soraya, "orang seperti kami di MAC, doktor dan pegawai kementerian kesihatan boleh bercakap sampai pagi, audiens sudah jemu, sebaliknya mereka mungkin lebih suka mendengar perkara yang sama diperkata oleh personaliti pujaan mereka dan diharapkan minat terhadap isu ini akan meningkat dengan penglibatan selebriti ini."

Program sokongan selebriti ini mendapat kerjasama YTL Group of Hotels, Media Prima Berhad, Astro, dan Mami's Tart yang akan menyumbang 10 peratus daripada jualan tart kepada MAF.

MAC ada mengeluarkan buku kecil "Kehidupan Yang Positif" mengandungi panduan ringkas bagi mereka yang HIV positif, orang yang hidup dengan HIV/AIDS, penjaga, kaunselor, keluarga dan rakan-rakan mereka.

Buku itu mencadangkan cara bagaimana mereka yang HIV positif boleh menjalani kehidupan yang memuaskan, secara normal, dengan menerima dan membuat beberapa perubahan dan penyesuaian dalam cara hidup mereka.

Ia lengkap dengan soalan asas dan jawapan mengenai HIV/AIDS, ubat, nasihat pemakanan, senaman dan nombor telefon serta alamat pihak yang boleh dihubungi.

"Jika anda keberatan, takut atau tidak tahu kepada siapa anda harus bertanya berkaitan HIV, anggaplah buku ini sebagai panduan ringkas yang menerangkan semua perkara yang perlu anda ketahui berkaitan HIV/AIDS," demikian kata-kata yang tercatat pada pengenalan buku berkenaan.

Dan Fahrin serta rakan-rakan selebriti dalam program ini, boleh turut menjadikan buku ini sebagai alat membantu mereka dalam melaksanakan misi penerangan di bawah Program Selebriti Sokongan Riben Merah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain