Pak Ngah Terkenang Saat Bersama "Daddy" P. Ramlee

Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SENIMAN agung P. Ramlee meninggalkan kita pada 29 Mei 1973. Selepas 36 tahun, seorang anak angkatnya bercerita mengenai kehidupan beliau bersama insan istimewa ini.

Ketika membawa beberapa album gambar untuk ditatap penulis, ada manik-manik jernih bergenang di sebalik kaca mata Pak Ngah, namun cuba disembunyikannya dengan selirik senyuman.

Album koleksi peribadi mengandungi gambar hitam putih seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee itu turut memuatkan foto Pak Ngah sewaktu beliau muda bersama anak-anak seni Studio Jalan Ampas.

(Studio Jalan Ampas di Singapura semasa zaman kegemilangannya pada 1960-an, merupakan pusat industri filem Melayu. Ia dimiliki pengeluar filem berpengaruh di Asia, Shaw Brothers).

Pak Ngah atau nama sebenarnya Ngah Mohamad, 70, bukan sekadar peminat seniman pujaan ramai itu, malah beliau pernah tinggal sebumbung dengan insan yang dipanggilnya "daddy".

Walaupun genap 36 tahun kembalinya seniman ulung negara itu ke rahmatullah, ini kali pertama Pak Ngah tergerak hati untuk menceritakan kisah hidupnya kepada umum selepas pernah diminta beberapa kali untuk ditemu ramah oleh media sebelum ini.

Mungkin kerana itulah, nama beliau tidak begitu dikenali sebagai seorang daripada anak angkat Allahyarham.

"Saya terlalu sedih, malah setiap kali melihat cerita P. Ramlee, saya jadi sebak dan lari daripada menonton televisyen," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Beserah di sini.

PERTEMUAN DENGAN P.RAMLEE

Mengimbau kembali saat pertemuannya dengan insan yang dilahirkan bernama Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh itu, sehingga menjadi anak angkat pelakon, penyanyi, pengarah, pemuzik dan penulis lirik itu, Pak Ngah yang berasal dari Kampung Durian Mas, Manir, Terengganu berkata ia bermula semasa beliau mengikuti rombongan pementasan bangsawan A.R Tompel (Aman Ramlie Jaafar) dari Terengganu ke Singapura ketika umurnya 13 tahun.

Pak Ngah berkata ekoran pementasan di Singapura kurang mendapat sambutan, Tompel ke Sabah untuk meneruskan persembahan, namun meninggalkan beliau di kota singa itu seorang diri.

Katanya beliau hanya dibekalkan dengan duit sebanyak RM2 oleh Tompel untuk belanja makan dan dijanjikan akan dibawa ke Sabah kemudian.

Mujur katanya, beliau terserempak pelakon, Siti Mariam Ismail atau "Mariani" yang membawanya berjumpa P. Ramlee bagi mendapatkan pekerjaan.

P. Ramlee bertanya kepadanya sama ada beliau boleh menghafal dialog, namun Pak Ngah menggelengkan kepala kerana beliau tidak pernah bersekolah.

Bagaimanapun, P. Ramlee membantunya mendapatkan peranan "Pak Pacak" (pelakon tambahan) termasuk dalam filem Panggilan Pulau (1954) dan Hang Tuah (1955) dengan bayaran RM20 sebabak.

Katanya P. Ramlee turut bertanya kenapa beliau mengembara jauh dari kampung halaman, dan Pak Ngah menjawab kehidupan di kampung begitu sukar sehinggakan hendak makan nasi pun hanya seminggu sekali.

"Mungkin kerana simpati, P. Ramlee kemudian mengajak saya tinggal bersama di rumahnya di Jalan Ampas," katanya yang tidak mampu lagi menahan air matanya.

TRAGEDI KEHILANGAN PENGLIHATAN

Ketika usia Pak Ngah mencecah 18 tahun, beliau kehilangan penglihatan sebelah matanya apabila teruk dibelasah sekumpulan lelaki yang cuba menyamun duit hasil lakonannya.

Menceritakan detik cemas itu, Pak Ngah berkata beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum didatangi empat lelaki yang meminta wangnya namun beliau berkeras untuk tidak menyerahkan wang miliknya.

Ekoran daripada itu berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan mata kanannya rosak, malah beliau turut ditikam dengan sebilah pisau di bahagian belakang badan.

Akibat daripada kejadian itu, P. Ramlee meminta Pak Ngah berhenti dan duduk di rumah.

BERNIKAH DENGAN ANAK ANGKAT

Ketika usia Pak Ngah hampir menjangkau 20 tahun, P. Ramlee mencadangkan Pak Ngah bernikah dengan Normah Yusof, seorang lagi anak angkat P.Ramlee dengan isteri keduanya, Noorizan Mohd Noor.

Pak Ngah pada mulanya tidak bersetuju namun kemudian akur dengan hasrat bapa angkatnya itu sebelum berpindah tidak lama kemudian.

"Beliau meminta saya untuk terus tinggal bersamanya, tetapi saya fikirkan saya sudah berumah tangga, kenalah mulakan kehidupan sendiri," katanya.

Pak Ngah berkata beliau kemudian pulang ke kampung namun mengalami kesukaran mendapat kerja sebelum berpindah ke Beserah, Kuantan di mana beliau bekerja di sebuah kilang papan.

Katanya selepas itu beliau ada menemui P. Ramlee di Kuala Lumpur dan seniman agung itu bertanyakan keadaannya dan mengajak beliau tinggal bersamanya, namun Pak Ngah menolak.

Bagaimanapun ekoran daripada pertemuan itu bapa angkatnya pernah mengirimkan wang kepadanya melalui alamat yang diberikan.

Pak Ngah juga terkilan tidak dapat menziarah jenazah Allahyarham semasa P.Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 di usia 44 tahun akibat serangan jantung, disebabkan pelbagai kekangan.

Beliau hanya mampu menziarahi pusara Allahyarham di Jalan Ampang seminggu kemudian.

KENANGAN

Pak Ngah kini tinggal bersama isteri keduanya, Fatimah Mat Min, 55 tahun.

Mengenai memori yang tidak mungkin dilupakannya, Pak Ngah berkata beliau pernah membantu P. Ramlee menyelesaikan masalah jerawat di muka legenda negara itu.

Pak Ngah berkata berbekalkan petua bapanya, beliau menggunakan tulang sotong katak (yang ditemui di pantai sahaja) dan menggosok muka P. Ramlee seperti mencukur, sebelum dibersihkan dengan air suam.

Katanya wajah P. Ramlee kemudian menjadi bertambah elok, sesuai dengan watak hero yang dilakonkannya.

Pak Ngah juga tidak lupa bagaimana P. Ramlee jika mendapat ilham, berlari keluar dari bilik air dengan hanya mengenakan tuala, lantas terus ke piano dan mengalunkan bunyi muzik.

Selain itu, katanya, Allahyarham juga lebih menyenangi kehidupan bergaul dengan orang biasa daripada orang kenamaan.

"P. Ramlee sebenarnya boleh melihat (meramal) menerusi air...beliau menggambarkan rumah saya di kampung dengan tepat dengan cara itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan