suria

“Pesta Tagal” tarikan pelancong ke Kota Belud

SATU hari dalam bulan Mei setiap tahun merupakan saat paling dinantikan Japanis Sabin, dari Kampung Tambatuon, untuk balik kampung dan melupakan seketika kesibukan tugas di Kota Kinabalu.

Penantian ini bagi Japanis, 36, amat mendalam bukan sahaja kerana bulan Mei tanda bermulanya kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan, tetapi juga disebabkan kemeriahan acara "Pesta Tagal" di Sungai Kadamaian, 30 kilometer dari sini, di kampungnya.

Baginya Pesta Tagal merupakan peluang untuknya bertemu saudara mara serta sahabat handai yang tinggal di luar kampungnya atau di luar daerah Kota Belud yang turut balik ke kampung menyertai kemeriahan pesta ini.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk asal Kampung Tambatuon yang tinggal di luar Kota Belud seperti Lahad Datu, Kudat dan Sandakan meninggalkan sekejap komitmen kerja, sanggup balik kampung sematamata untuk bersama penduduk dalam Pesta Tagal.

"Tagal" dalam bahasa Dusun merupakan larangan menangkap ikan di sungai-sungai tertentu biasanya bagi tempoh setahun atau dua tahun.

Ia merupakan tradisi masyarakat Dusun yang sudah diamalkan sekian lama. Bagaimanapun larangan itu akan ditarik untuk sehari dan tahun ini, ia dilakukan pada Sabtu minggu lepas.

Kaedah pelihara sungai

Pesta Tagal itu disertai kira-kira 800 orang penduduk Kampung Tambatuon di Sungai Kadamaian.

Sistem Tagal merupakan kaedah pemuliharaan sungai secara tradisi yang direka penduduk kampung sendiri supaya ia tidak tercemar serta melindungi hidupan di dalamnya daripada pupus.

Kini sungai ini menjadi penjana pendapatan baru kepada penduduk luar bandar melalui eko-pelancongan.

Larangan menangkap ikan yang dikuatkuasakan pemimpin kampung, biasanya oleh ketua kampung, mesti dipatuhi penduduk berkenaan atau orang luar yang datang ke kampung itu.

Mana-mana penduduk atau orang luar yang melanggar peraturan berkenaan bukan sahaja dicemuh penduduk kampung tetapi juga dikenakan "sogit", satu bentuk denda atau hukuman yang ditentukan pemimpin kampung.

Biasanya denda yang dikenakan berupa membayar seekor kerbau atau seekor babi atau membayar dalam bentuk wang setaraf dengan kesalahan yang dilakukan.

Bebas menangkap ikan

Semasa pesta ini, bagaimanapun penduduk kampung secara bergotong-royong, bebas menangkap ikan

Sepuas-puasnya dan semua ikan yang ditangkap, dikumpulkan sebelum dibahagi-bahagikan sesama mereka tetapi bukan untuk dijual.

Sebahagian ikan yang ditangkap itu dimasak penduduk kampung untuk dinikmati beramai-ramai bagaikan satu kenduri besar. Kenduri itu dalam bahasa Dusun Kota Belud dinamakan "moginakan".

Ketua Kampung Tambatuon, Singkui Tinggi, berkata acara "moginakan" yang diadakan masyarakat Dusun sejak dahulu amat penting dikekalkan bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan penduduk kampung.

Biasanya ikan yang ditangkap ialah jenis Kelah atau "Pait" dalam bahasa Dusun dan jenis lain seperti Sarawi, Betuan, Sinsilog (sejenis belut sungai).

Ada ikan Kelah yang ditangkap mencecah RM100 hingga RM300 seekor harganya bergantung kepada saiz dan beratnya yang biasanya antara 3 kg hingga 5 kg.

Menangkap ikan cara lama

Satu daripada keunikan pesta ini ialah penduduk hanya dibenarkan menangkap ikan menggunakan alat tradisi seperti rambat, pukat dan senapang ikan. Penggunaan bahan lain seperti racun, tuba atau cara lain yang difikir boleh memudaratkan populasi ikan, ditegah sama sekali.

"Aramai kampung baino haro mokisada om moginakan" (meriah di kampung hari ini ada aktiviti menangkap ikan dan makan bersama penduduk kampung)," kata Japanis, yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya menyertai Pesta Tagal kali ini.

Kini selepas 10 tahun pesta berkenaan diadakan, Sungai Kadamaian turut menjadi tempat tarikan pelancong di samping menjadi wadah mengeratkan hubungan kalangan penduduk asal kampung ini.

"Pesta Tagal ini bukan sahaja boleh menjaga alam sekitar daripada dicemari dan sumber ikan daripada pupus tetapi juga dapat mendisiplinkan penduduk kampung .

"Ia mendidik penduduk kampung supaya taat kepada peraturan yang ditentukan oleh mereka sendiri seperti tidak boleh menangkap ikan di luar musim Pesta Tagal," kata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Herbert Timbun Lagadan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Najib Montok berkat, sistem Tagal di kampung ini ialah cara terbaik memelihara ikan air tawar seperti Kelah daripada pupus.

"Jarang sekali kita boleh menemui sungai seperti Sungai Kadamaian yang masih mempunyai sumber ikan air tawar seperti ikan Kelah yang begitu banyak,' katanya.

Henry Majihal, 42, seorang guru dari Kudat dan berkahwin dengan wanita yang berasal dari Kampung Tombotuan, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang balik ke kampung isterinya pada bulan Mei untuk menyertai Pesta Tagal ini.

"Pengalaman menarik ini hanya boleh saya dapati di kampung ini," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain