suria

Selepas kecoh dalam sidang DUN, apa lagi akan berlaku di Perak?

IPOH: Selepas insiden yang mencemarkan kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berikutan kekecohan yang ditimbulkan para anggota pembangkang hari ini, rakyat sudah pasti tertanyatanya apa pula yang akan berlaku selepas ini.

Jika ada yang beranggapan krisis politik di negeri ini akan berakhir dengan pemecatan Speaker V. Sivakumar dari DAP dan pemilihan Speaker baru dari BN melalui Datuk R. Ganesan dari MIC, apa yang telah berlaku sebelum ini membuktikan sebaliknya.

Pembangkang sudah tentunya tidak akan menerima pemilihan Ganesan dan usulusul lain yang diluluskan pada persidangan dewan hari ini dan kemelut politik ini nampaknya tidak akan berkesudahan melainkan ada pihak mahu mengalah.

Persoalannya siapa yang harus mengalah? Sudah tentu bukan Barisan Nasional (BN) kerana ia kini menguasai sokongan majoriti dalam dewan dengan 28 ADUN dan tiga ADUN Bebas yang menyokong parti itu.

Pemerhati politik berpendapat pihak pembangkang akan terus mempertikai kesahihan persidangan hari ini dan walaupun mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, mereka tetap tidak akan menerimanya.

Apa yang berlaku hari ini merupakan episod yang amat memalukan lebihlebih lagi di Malaysia, yang mempunyai rakyat berbilang kaum serta kaya dengan budaya ketimuran dan mengamalkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain.

Budaya samseng yang dibawa oleh beberapa ADUN dari pembangkang hari ini merupakan suatu perkembangan yang amat menyedihkan.

Menurut ADUN Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dalam blognya, sebaik sahaja Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah selesai memeriksa kawalan kehormatan dan menuju ke Kamar Diraja, ADUN pembangkang bergegas memasuki dewan terlebih dahulu dan menukar tempat duduk ke sebelah kanan Speaker, yang telah ditetapkan kepada pihak Kerajaan.

Mereka juga mengalihkan tanda nama dari kertas ke sebelah kanan, dan mengoyak tanda nama ADUN BN dan dibuang entah ke mana.

Mengikut prosiding mesyuarat, Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri sepatutnya memulakan mesyuarat dengan membaca doa, tetapi Sivakumar menolak aturcara itu sebaliknya terus membuat ketetapan tidak akan memulakan mesyuarat selagi 10 ADUN yang dinamakannya, tidak keluar daripada dewan itu.

Perbuatan ADUN pembangkang yang terus berkeliaran dan mengepung kawasan sebelah kiri dewan yang menempatkan Menteri Besar, barisan Exconya serta semua ADUN BN, menunjukkan sikap biadap kerana tidak menghormati kemuliaan dewan, lebihlebih lagi mereka menyedari bahawa Pemangku Raja Perak sedang menunggu di Kamar Diraja untuk merasmikan persidangan dewan itu.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berkata episod dalam DUN Perak hari ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam konteks demokrasi di Malaysia hari ini.

"Kita tak seharusnya sampai ke tahap mentaliti dunia seperti yang berlaku dalam dewan perundangan di Taiwan," katanya. Dengan perkembangan terbaru ini, Sultan Perak Sultan Azlan Shah, katanya, wajar campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini secara muktamad.

"Misalnya Sultan wajar mengeluarkan kenyataan bahawa baginda terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat (dengan melantik Menteri Besar dan kerajaan negeri yang baru dari BN).

"Walaupun Sultan berada di atas politik, dalam beberapa situasi seperti pada hari ini, campur tangan baginda adalah wajar," katanya.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, apa yang berlaku pada Kerajaan Negeri pimpinan BN sekarang sama keadaannya seperti selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Pada ketika itu, katanya, Sultan Perak sedia menerima gabungan tidak rasmi tiga buah parti politik iaitu DAP, PKR dan PAS secara jumlahnya menguasai 31 kerusi dalam DUN, sedangkan BN sebagai sebuah parti gabungan rasmi mempunyai 28 kerusi.

"Pada ketika itu secara prinsipnya BN memiliki majoriti. Namun Sultan telah membuat keputusan terbaik (dengan melantik Menteri Besar daripada kalangan gabungan tidak rasmi parti pembangkang itu)," katanya.

Kini keadaan sebaliknya berlaku dan Sultan Perak telah membuat keputusan serupa. Soal membubarkan dewan tidak wajar ditimbulkan oleh pembangkang sekarang kerana ia akan bersifat menyanggah keputusan Sultan, katanya.

Beliau berkata perbuatan yang dilakukan pembangkang sejak akhirakhir ini, lebih bersifat populis untuk meraih sokongan rakyat untuk menunjukkan seolaholahnya mereka menjadi mangsa diskriminasi dan percaturan politik BN.

"Kalau satu demi satu episod terus berlaku, siapakah di pihak yang benar?

"Adakah keduadua belah pihak mahu terus bertelagah sehingga tergugat urus tadbir negeri dan rakyat terus menjadi mangsa akibat permainan politik keduadua belah pihak?" soalnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain