suria

IWK Ke Arah Perkhidmatan Pembetungan Global

SYARIKAT pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) terus memperkemas perkhidmatannya untuk kesejahteraan pengguna.

Dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini, Ketua Jabatan Komunikasi IWK Amin Lin Abdullah memberitahu bahawa syarikat itu bertekad untuk terus menjadi operator utiliti pembetungan negara supaya perancangan pembangunan pembetungan dapat dilakukan secara menyeluruh dan lebih efisien.

IWK, penerima Anugerah Pengurusan Air Malaysia 2005 dari Persatuan Air Malaysia, membiayai program kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pembetungan yang dijalankan bersama dua institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Objektif utama program ini adalah untuk menyumbangkan idea dan pengalaman syarikat dalam memacu kemajuan industri pembetungan negara.

Melalui usaha ini sebanyak 20 tajuk kajian telah dijalankan, bertumpu kepada kajian rekaan bentuk olahan kumbahan, proses optimum penggunaan semula air sisa terawat dan aplikasi bio-pejal.

PERKHIDMATAN

"Dalam melaksanakan perkhidmatan pembetungan kepada 17 juta pengguna, IWK mengendali dan menyelenggarakan lebih 5,900 loji olahan kumbahan awam dan hampir 13,000 kilometer rangkaian saliran paip pembetung, menyelesaikan masalah saliran paip pembetungan awam tersumbat, membaiki dan menaik taraf peralatan mekanikal, saliran paip pembetungan serta reka bentuk struktur loji", kata Amin.

"IWK juga menjalankan perkhidmatan pengosongan tangki septik berjadual, iaitu setiap dua tahun sekali, ke atas premis-premis milik kerajaan. Pengosongan akan dilakukan secara berjadual dengan menyedut kumbahan daripada tangki septik dan menghantarnya ke pusat olahan enap cemar sebelum dilupuskan secara selamat", katanya.

Menurut Amin, IWK telah dilantik oleh kerajaan sebagai agensi yang bertanggungjawab memberi perakuan dan kelulusan ke atas pelan pembangunan pembetungan yang disediakan oleh pemaju perumahan.

"Tugas ini merupakan amanah besar daripada kerajaan kepada IWK dalam memastikan semua aktiviti pembinaan sistem pembetungan dilaksanakan mengikut amalan pembinaan yang terbaik serta menepati piawaian yang telah ditetapkan", katanya.

PEMANTAPAN MUTU PERKHIDMATAN

Amin menambah, bagi memantapkan mutu perkhidmatan sedia ada, IWK sentiasa mengamalkan budaya penyelesaian aduan pelanggan dengan segera.

Ini merupakan satu polisi penyelesaian pelbagai aduan yang dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, setiap laporan kehilangan penutup lurang pembetungan perlu diambil tindakan dalam tempoh 12 jam untuk mengelakkan kemalangan melibatkan orang awam.

IWK juga mempertingkatkan prestasi kerja dengan mewujudkan Pusat Latihan Teknikal Indah Water di Bukit Jalil yang menyediakan latihan teknikal dan kursus kompetitif bukan sahaja kepada tenaga kerja IWK malah kepada pekerja-pekerja industri pembetungan dalam negara.

Latihan ini berperanan melahirkan pekerja yang kompeten dengan kehendak industri dan majikan masing-masing. Pusat Latihan ini menawarkan kursus-kursus teknikal di peringkat juru teknik, eksekutif dan pengurusan.

KHIDMAT GLOBAL

IWK juga menjalin hubungan kerja dengan badan-badan dan operator pembetungan luar negara dengan menyediakan khidmat nasihat serta latihan teknikal. Kepakaran teknikal IWK mendorong badan dan operator pembetungan di rantau Asia khasnya Asia Barat untuk menjadikan syarikat ini sebagai pusat rujukan dan model operator pembetungan yang berjaya.

Beberapa program pengurusan dan pengendalian teknikal sistem pembetungan telah diadakan bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari Amerika Syarikat. Untuk merealisasikan matlamat pelaksanaan program terbabit satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani di sini baru-baru ini.

IWK juga berkongsi kepakaran dengan rakan operator pembetungan di Medan, Bandung dan Bali, Indonesia.

IWK turut bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) melalui program ECO-Asia yang menawarkan kepakaran dalam bidang penyelenggaraan dan pengendalian sistem pembetungan serta latihan secara komprehensif kepada organisasi di negara-negara seperti Filipina, Thailand, Vietnam, India, Bangladesh, Cambodia, Sri Lanka, Laos dan Indonesia.

Menyentuh tentang sikap dan respon pengguna terhadap perkhidmatan IWK Amin berkata, pengguna yang tidak melengah-lengahkan pembayaran bil akan banyak membantu IWK mengurangkan tunggakan caj pembetungan. Ini adalah kerana sumber kewangan IWK bergantung sepenuhnya kepada hasil kutipan caj tersebut.

Jika bil perkhidmatan pembetungan tidak dijelaskan atau lambat dijelaskan, usaha-usaha IWK menyediakan perkhidmatan pembetungan yang efisien sudah pastinya akan terjejas. Apabila ini berlaku, pengguna pula yang akan merungut kerana loji olahan kumbahan akan menimbulkan masalah, seperti bau busuk atau limpahan.

Ketika diajukan pertanyaan berkenaan bil bersepadu, iaitu caj perkhidmatan pembetungan dimasukkan ke dalam bil bekalan air, Amin menyatakan sokongan IWK.

"IWK menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pembetungan dan mutu bekalan air. Konsep satu bil memudahkan pengguna berurusan dengan satu pihak sahaja bagi dua perkhidmatan asas", katanya.

"Ramai pengguna mungkin tidak menyedari bahawa perkhidmatan air dan pembetungan merupakan pelengkap kepada proses kitaran air dan ia saling berkait rapat antara satu sama lain", tambahnya.

KAEDAH 3R

Amin juga mengulas tentang konsep sisa buangan sifar yang telah dilaksanakan oleh IWK melalui kaedah 3R (reduce, reuse and recycle) iaitu dengan mengamalkan pengurangan penggunaan dan pembuangan, penggunaan semula serta mengitar semula.

Menurut Amin, konsep ini merupakan konsep baru di negara kita yang bertujuan menggalak dan mendidik masyarakat dalam pengurusan air kumbahan.

Secara ringkasnya Amin menerangkan: "Air sisa dan air kumbahan yang mengalir ke dalam loji olahan kumbahan melalui proses olahan dan menghasilkan efluen (air sisa terawat), bio-pejal dan bio-gas.

"Dengan menggunakan kaedah moden, efluen boleh digunakan semula sebagai air cucian perindustrian manakala bio-pejal pula digunakan sebagai bahan perapi tanah bagi tanaman hiasan yang semakin popular di negara kita ini".

Tambah beliau lagi, proses olahan menghasilkan gas metana, biogas yang mampu menjana tenaga elektrik untuk kegunaan domestik dan komersil".

Pada akhir perbualan, Amin menyatakan bahawa setiap konsep, teknologi serta program yang dijalankan oleh IWK adalah hasil usaha dan kepakaran anak tempatan.

"Dalam menjalankan operasi seharian, kakitangan IWK dapat mengadaptasikan pelbagai situasi dan pengalaman kerja sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran berterusan, sekali gus pengalaman mereka boleh menjadi rujukan global", katanya. -BERNAMA

Artikel Lain