suria

'Little India" Lebuh Pasar menggamit perhatian pelbagai bangsa

Bagi penggemar aksesori perhiasan wanita seperti gelang, rantai, cincin, anting-anting dan rambut palsu yang sering digunakan masyarakat India, kawasan "Little India" di Lebuh Pasar, di sini menjadi pusat sehenti bagi mendapatkan perhiasan seumpama.

Penggemar aksesori berwarna-warni itu mempunyai pilihan yang luas untuk mendapatkan perhiasan terbaik buat mereka kerana terdapat 15 buah kedai yang menjual aksesori berkenaan di kawasan itu.

Kepelbagaian dan keindahan warna serta bentuk aksesori yang terdapat di situ bukan sahaja menarik perhatian masyarakat India, malahan turut digemari oleh kaum lain seperti Melayu, Cina dan pelancong asing terutama dari Eropah kerana ia sesuai untuk digayakan mengikut citarasa masing-masing.

Antara kedai yang menjadi tumpuan penggemar aksesori dari India di situ ialah B.Mathavon Store yang diusahakan oleh M.Kanagaratnam, 59, sejak 30 tahun.

Keistimewaan kedai itu terletak pada pelbagai jenis gelang tangan yang dijual yang antaranya diperbuat daripada kaca, tembaga dan perhiasan tangan yang disadur dengan warna emas.

DIIMPORT DARI INDIA

Menurut Kanagaratnam, walaupun aksesori itu diimport dari India, namun harganya tidak begitu mahal dan setanding dengan kualiti buatannya yang kemas, cantik dan elegan.

"Sebenarnya, aksesori dari India ini sesuai untuk digayakan oleh semua kaum mengikut kesesuaian keadaan dan majlisnya dan corak atau rekaannya mengikut peredaran zaman.

"Selain itu, aksesori berkenaan juga tidak menarik perhatian orang yang tidak diingini seperti penjenayah berbanding aksesori yang diperbuat daripada emas dan permata asli," katanya.

Kanagaratnam berkata, pada kebiasaannya gelang kaca yang berwarna-warni digunakan wanita India pada majlis perkahwinan, upacara keagamaan dan sambutan perayaan tertentu tetapi kini ia digayakan sebagai satu fesyen atau trend hiasan seharian oleh wanita moden.

"Gelang kaca dijual dengan harga RM2 segelung dan bagi setiap gelung ada 24 urat gelang manakala gelang tembaga, yang mengandungi 48 urat dalam satu gelung, dijual dengan harga antara RM6 dan RM15 mengikut saiz dan bentuknya.

"Bagi gelang yang disadur dengan warna emas pula dijual dengan harga antara RM3 dan RM7 sepasang mengikut saiz dan bentuknya. Saduran warna emas itu tidak akan luntur dalam masa tiga bulan jika si pemakai menjaganya dengan cermat," kata Kanagaratnam.

GELANG KACA, TEMBAGA

Kanagaratnam berkata, beliau menjual antara 50 dan 100 gelung gelang kaca dan tembaga setiap hari dan jumlah itu akan meningkat apabila tiba musim perayaan.

Selain gelang, B. Mathavon Store juga menjual pelbagai jenis rantai leher yang dipanggil 'Neckles Bombay' dan 'Neckles Delhi' dengan harga antara RM7 dan RM70 serta barang perhiasan pengantin.

Set aksesori pengantin mengandungi perhiasan di atas rambut, rantai leher, perhiasan pada kedua bahagian lengan dan rantai pada bahagian pinggang yang dijual dengan harga antara RM300 dan RM 500 bagi setiap set mengikut bentuk dan saiznya.

Bagi melengkapkan keperluan pengantin, Kanagaratnam turut menjual rambut palsu yang diperbuat daripada nylon dan rambut asli dengan harga antara RM3 dan RM45 mengikut bentuk dan kualiti dandanannya.

"Selain kegunaan harian, rambut palsu juga digunakan untuk menambahkan seri hiasan pada pengantin dan memudahkan barang perhiasan kepala dipasangkan", katanya.

REKABENTUK

Menurut seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, kedai itu akan dikunjunginya setiap tiga bulan untuk mendapatkan rekabentuk gelang tangan, rantai atau anting-anting terbaru.

Seorang lagi pelanggan tetap kedai itu, Siti Zainab Abdullah gemar membeli aksesori yang dihiasi manik berwarna-warni.

"Selain warnanya yang menarik, susunan manik pada gelang, rantai atau anting-anting di sini sangat unik dan mempunyai nilai seni", kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain