Pengguna internet perlu amal kawal selia kendiri

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MAKLUMAT di hujung jari demikianlah kegunaan Internet bagi kebanyakan kita. Pelbagai bentuk maklumat boleh didapati apabila kita mempunyai capaian terhadap "World Wide Web (www)" dan walaupun kebanyakan kita sedar bahawa bukan semua maklumat ini tepat dan benar, namun ada juga pihak yang begitu taksub dan mempercayainya seratus peratus.

Lebih malang lagi ialah apabila ada pihak yang menggunakan Internet bagi menyebarkan khabar angin, maklumat tidak benar, fitnah dan sebagainya, yang boleh memberi kesan buruk terhadap orang lain.

Walaupun perbuatan tidak baik ini menimbulkan kebimbangan, tetapi kita wajar menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia masih di peringkat meneroka dan mempelajari kemudahan ini.

"Sebab itu, kebanyakan mereka tidak sedar tentang akibat buruk daripada tindakan mereka," kata Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan, pengarah eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF).

"Saya berpendapat masyarakat kita mengambil bahagian secara amat sihat dalam pembangunan industri berkenaan dengan memanfaatkan peranti dan khidmat yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan. Mereka gemar mencuba, meneroka dan mempelajari benda baru.

"Tapi, tidak semua yang sedang belajar ini mengambil kira tentang etika atau mendalami tentang apa yang betul atau salah. Mereka tidak memikirkan tentang risiko apabila membuat sesuatu kenyataan kerana mereka berpendapat bahawa oleh kerana Internet bersifat bebas dan bertaraf antarabangsa, maka tiada siapa boleh memarahi atau mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Mohd Mustaffa berkata selain Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), pengguna Internet juga terikat dengan pelbagai undang-undang lain.

"Kami tidak berniat untuk mengehadkan kebebasan media atau kebebasan bersuara, tapi orang ramai mestilah menggunakan kebebasan ini dengan cara yang sewajarnya dan beretika. Kalau seseorang itu ingin menyiarkan sesuatu kenyataan, ia perlulah disokong dengan sesuatu yang konkrit.

"Khabar angin boleh membawa keburukan kerana selalunya ia tidak berasas. Di sinilah timbulnya masalah, bukan saja bagi kerajaan, tapi juga bagi semua individu," katanya.

"Apabila membaca akhbar, kita membuat andaian bahawa sebahagian besar apa yang dilaporkannya adalah benar. Jadi, apabila membaca berita atau maklumat melalui Internet juga, kita anggap ia sama seperti laporan yang disiarkan oleh akhbar.

"Dalam blog tertentu dari luar negara, penulisnya tidak membuat sebarang dakwaan walaupun topik yang dibincangkan begitu panas. Mereka berbincang tentang isu berkenaan dan cuba mendapatkan konsensi daripada orang ramai agar ia tidak menjadi isu kemudiannya. Di sini, kita berbincang, tapi ia menjadi isu. Kenapa?

"Ini kerana mereka menerima sesuatu maklumat itu tanpa usul periksa dan kemudian membuat kenyataan yang tidak berasas. Inilah yang menimbulkan kebimbangan," katanya.

Namun demikian, Mohd Mustaffa berpendapat bahawa amalan kawal selia kendiri yang wujud sekarang, sudah memadai bagi mengawal pembangunan industri ini.

"Kewujudan kami bukan untuk menyekat hak orang ramai untuk bebas melahirkan pendapat atau mengarah. Jelas sekali bahawa apa yang dilarang dalam kaedah di luar talian, adalah juga dilarang dalam kaedah dalam talian.

Melalui kawalan selia kendiri, anda bertangungjawab terhadap isi kandungan yang disiarkan dan begitu juga mereka yang mengaksesnya.

"Sekiranya anda layari kandungan yang tidak baik, itu adalah pilihan anda dan anda tidak boleh menyalahkan sesiapa. Tapi, sekiranya kandungan yang dilayari itu berbentuk lucah, maka ia akan menjadi isu," katanya.

CMCF ditubuhkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Ia merupakan satu-satunya pihak berkuasa yang bertanggungjawab, antara lain, bagi memantau industri komunikasi, yang merangkumi semua media elektronik.

CMCF dan peserta industri berkenaan telah merangka kod kandungan yang bertindak sebagai garis panduan bagi peserta industri berlandaskan amalan kawal selia kendiri.

Melalui amalan kawal selia kendiri, hak pengguna dilindungi oleh kod kandungan, yang memberi penjelasan terperinci tentang CMA dan mudah difahami oleh orang biasa.

"Contohnya, Seksyen 211 CMA melarang penyiaran bahan tidak senonoh, lucah, palsu, berbahaya dan jijik. Jadi, kami (CMCF) memberi penerangan tentang perkara ini (kod kandungan)," kata Mohd Mustaffa.

Beliau bagaimanapun berkata usaha memberi kesedaran tentang perkara itu masih berjalan dan orang ramai hanya akan merujuk kepada kod kandungan berkenaan apabila mereka ditimpa masalah.

Perkara paling penting, kata beliau, ialah mendidik orang ramai dengan menonjolkan tentang betapa perlunya mereka bersikap berhati-hati terhadap kandungan yang mereka lihat dan mewujudkan pemahaman yang bersifat intelektual.

"Demi kebaikan kita sebagai individu, adalah penting bagi kita mencari dan mengamalkan kebenaran, tapi sayangnya, inilah yang kurang kita lakukan," kata beliau.

Beliau berkata sambil kerajaan membuat pemantauan dari jauh, kawal selia secara kendiri akan memberi ruang kepada seluruh industri komunikasi untuk membangun seiring dengan kemajuan di seluruh dunia. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan