suria

'Satu Malaysia' tidak sama ideologi Malaysian Malaysia

KETIKA ramai pihak mula menerima baik gagasan "1Malaysia" yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat pihak yang cuba mengelirukan keadaan dengan mendakwa kononnya gagasan sama pernah disuarakan sebelum ini.

Mereka mendakwa gagasan Perdana Menteri itu menyerupai ideologi "Malaysian Malaysia" yang dipelopori Lee Kuan Yew melalui People's Action Party (PAP) yang membawa kepada pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965 sebelum ia diteruskan oleh parti serpihannya, DAP.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat penulis dan media bukan Melayu yang mempolemikkan perkara itu dengan fokus utamanya membawa pembaca kepada persoalan adakah itu bermakna dasardasar afirmatif kerajaan tidak akan diteruskan.

Dengan kata lain, mereka cuba mempersoalkan hak keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan bagi menimbulkan kecelaruan dalam pemikiran umum dengan menggambarkan seolaholah bukan Melayu dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Gagasan itu perlu diperjelaskan kerana ia melibatkan pentadbiran kerajaan," kata penganalisis politik Universiti Malaya Dr Thock Ker Pong ketika diminta mengulas perkara itu.

Persoalannya apakah motif sebenar perkara itu dibangkitkan? Benarkah gagasan 1Malaysia menyamai visi Malaysian Malaysia dan adakah rakyat keliru dengan gagasan itu seperti mana didakwa sesetengah pihak atau siapa sebenarnya yang keliru?

Pakar hubungan etnik Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata ideologi Malaysian Malaysia tidak sama dengan gagasan 1Malaysia, sekalipun keduadua itu menjurus kepada pembentukan negara bangsa.

"Ideologi Malaysian Malaysia mengakui bahawa semua kaum ada sama hak tapi tiada hak istimewa. Ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera selain menjamin kedudukan dan hak kaum lain di negara ini.

Beliau berkata ideologi Malaysian Malaysia juga tidak relevan dalam konteks Malaysia kerana proses perpaduan negara ini tidak berlaku melalui "bersatu dalam kesamaan" tetapi "bersatu dalam kepelbagaian".

Shamsul Amri, yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata perpaduan negara ini berlaku melalui empat proses yang berjalan secara serentak iaitu asimilasi, akomodasi, akulturasi dan amalgamasi.

"Perkahwinan campur di mana seseorang perlu memeluk Islam untuk mengahwini lelaki atau perempuan beragama Islam, seperti yang banyak berlaku di Sabah dan Sarawak, adalah contoh terbaik proses asimilasi.

"Proses akomodasi pula boleh dilihat melalui majlis rumahrumah terbuka yang dihadiri semua kaum manakala proses akulturasi (peminjaman budaya) paling banyak berlaku di negara ini," katanya.

Shamsul Amri berkata oleh itu tidak menghairankan bagi seseorang itu melihat orang Cina memakai baju Melayu atau wanita Melayu memakai cheong sam atau orang India memakai baju kurung melalui proses peminjaman budaya itu.

Proses amalgamasi atau penggabungan budaya berlaku seperti tarian "machinda" yang menggabungkan tarian Melayu, Cina dan India, kini dikenali sebagai tarian "medley", kata profesor antropologi itu.

Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata perbezaan struktur yang ketara seperti agama, kaum, wilayah dan kedudukan sembilan raja Melayu tidak memungkinkan ideologi Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini. "Kita juga sebuah negara federalis bukan negara "unitary" seperti Perancis, Jerman atau Jepun di mana proses perpaduan berlaku melalui penyeragaman," katanya.

Pemerhati politik melihat kekeliruan itu tidak sepatutnya timbul jika slogan "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan." diterjemahkan secara menyeluruh dan bukannya terpisah sebagai gagasan "1Malaysia" sahaja.

"1Malaysia adalah slogan yang mudah difahami semua pihak," kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Ianya seperti slogan "Bersih, Cekap dan Amanah" yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan slogan "Bekerja Bersama Saya, Bukan Bekerja Untuk Saya" oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata Lee.

Namun penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata kerajaan perlu membuktikan gagasan baru yang dicanangkan itu dengan melakukan perubahan dasar yang bakal dilaksanakannya.

"Jika tiada perubahan dibuat maka gagasan itu hanya tinggal sebagai sebuah slogan politik yang tiada apaapa makna," kata Mohammad Agus yang juga pensyarah sains politik dari UKM Bangi.

Dalam ucapan sulungnya selaku Perdana Menteri pada 3 April lepas, Najib mengajak seluruh rakyat Malaysia bersamanya melakukan transformasi besar untuk negara dengan tiada pihak patut merasakan diri mereka dipinggirkan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain