Kelantan syurga makanan 'eksotik'

Diterbitkan: Rabu, 8 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA tiba-tiba teringin hendak menikmati makanan yang unik dan berbeza rasanya, negeri Kelantan merupakan destinasi yang harus dikunjungi.

Jangan pula hairan, kerana keunikan itu juga menyebabkan ada mereka yang sanggup memandu berjam-jam lamanya hanya sematamata untuk menikmati juadah di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Negeri di Pantai Timur ini mempunyai potpuri budaya yang agak unik. Gabungan kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Thailand berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada 'hidangan Malaysia' sekaligus menjadikan ia sebagai satu tarikan kepada pelancong luar.

Anda mungkin tertawa tatkala mendengar nama kuih seperti Tahi Itik, Kuih Kartun, Badak Berendam, Abang Balik Gelisah, Che Abang Guling, Lompat Tikam, Lidah Buaya dan macammacam lagi nama yang diberi. Namun, di sebalik nama yang pelik itu, rasanya amatlah lemak dan manis sekali.

Begitu juga dengan hidangan Nasi Kerabu, Nasi Berlauk, Nasi Tumpang, Laksam atau Solok Lada yang sinonim dengan Kelantan sehingga membuat anda terkenangkenang keenakan makanan itu.

Memang benar bak nyanyian pelakon dan pelawak Jalil Hamid: "makanan pelik-pelik, tahi minyak tahi itik," yang pelik dan unik itulah bagaikan magnet yang menarik orang ramai ke negeri ini.

KAYA DENGAN JUADAH TRADISI

Menurut Pengarah Pelancongan Negeri Kelantan Muhammad Zaki Talib, Kelantan sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan yang 'eksotik' namanya namun itulah hakikat betapa hebatnya aneka makanan tradisi negeri ini yang tidak akan kita jumpa di tempat lain.

Kuihmuih dan makanan tradisional Kelantan sebenarnya juga merupakan produk yang boleh dijual atas nama pelancongan sebagai daya tarikan melawat negeri ini.

Dengan kekuatan tarikan makanan dan kebudayaan ditambah dengan sikap ramah dan mudah mesra masyarakat Kelantan, negeri ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara, katanya.

Sebagai contoh, Pesta Makanan Kelantan 2009 yang diadakan selama empat hari bermula 12 Mac lepas adalah bukti betapa kayanya masyarakat di negeri ini dengan pelbagai jenis makanan. Pendek kata, Kelantan sememangnya tersohor sebagai negeri yang mempunyai keunikan dan kepelbagaian makanan tersendiri.

Acara anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV itu menyaksikan penyertaan daripada 24 agensi dan pengusaha makanan dari Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah, Sarawak dan Thailand.

RAMBANG MATA DENGAN MAKANAN KELANTAN

Festival makanan itu yang merupakan wadah penting untuk mempamer keunikan makanan turut menyaksikan lebih 200 jenis makanan dijual. Antaranya kuih tradisi Kelantan, kek lapis Sarawak, rendang tok, lemang periuk kera, ayam percik, lauk-pauk dan pelbagai jenis nasi dan pengat.

Turut menjadi hidangan istimewa di pesta itu ialah nasi uduk ayam solor dari Kelantan yang dipanggang dengan batang tebu sehingga menghasilkan rasa manis pada isi ayam itu. Pada asalnya ia selalu dihasilkan menggunakan daging itik, tetapi diubah kepada ayam kerana lebih digemari ramai.

Pelbagai makanan tradisi bermacam rasa dan bentuk seperti cek mek molek, jala mas, akok, puteri mandi, pulut bakar, buah tanjung dan ketupat sotong juga merupakan antara yang mewarnai kemeriahan pesta makanan kali ini.

Pengunjung pesta makanan ini pasti rambang mata melihat keunikan pelbagai jenis makanan termasuk hidangan nasi berwarnawarni yang dihasilkan dalam aneka bentuk dan rupa serta dihias cantik hingga terkecur lidah memandangnya.

Apa yang pasti, pesta makanan ini mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada pelancong yang teruja dan ingin melihat serta merasai sendiri keunikan dan kepelbagaian makanan tempatan.

MENIKMATI ENAKNYA MAKANAN KELANTAN

Pihak Pelancongan Kelantan juga mengambil kesempatan mempromosi pesta itu dengan menjemput wartawan media cetak dan elektronik membuat liputan kepelbagaian dan kemewahan makanan mereka baru-baru ini.

Pada lawatan selama tiga hari di Kelantan itu, para wartawan yang kebanyakannya dari Kuala Lumpur, didedahkan dan disajikan dengan pelbagai makanan yang enak dan manis belaka seperti kerabu jantung pisang, sambal pauh, serunding, kelapa jeli malah kepada pelbagai jenis kuihmuih.

Di Kota Baharu sahaja misalnya, banyak lagi lokasi yang boleh dikunjungi untuk terus menikmati juadah istimewa seperti itu dengan harga yang cukup murah.

Pergilah ke medan selera Buluh Kubu di sini yang kaya dengan beraneka jenis juadah atau ke pasar lama Majlis Perbandaran Kota Bahru (MPKB).

Pengunjung juga boleh mencuba 'steamboat istimewa' di Food Village, yang menawarkan pengalaman berbeza apabila pengunjung bukan sahaja mencelup makanan mentah di dalam sup tetapi juga dalam masa yang sama boleh membakar daging secara terus di atasnya.

MEMBELI-BELAH SECARA TAWAR MENAWAR

Tidak lengkap kunjungan ke sini sekiranya tidak mengambil peluang mengunjungi Pasar Besar Siti Khadijah yang merupakan pasar paling terkenal di Kelantan. Jika gemar membeli barangan secara tawar-menawar, di sinilah tempatnya yang harus anda tujui.

Kompleks tiga tingkat ini dikatakan menjadi lambang kegigihan wanita Kelantan berniaga dan di sini dipenuhi pelbagai jenis keropok, kraftangan dan batik yang boleh dibawa balik sebagai buah tangan di antaranya kain ela, pakaian, topi dan rantai kunci selain pelbagai jenis makanan tradisi.

Pasar ini beroperasi seawal pukul 6 pagi hingga 7 malam. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jualbeli apabila masuk waktu sembahyang selama 15 minit bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat.

Turut menjadi destinasi kunjungan ialah Wakaf Che Yeh yang merupakan satu daripada tarikan utama sesiapa juga ke Kota Baharu. Pasar yang beroperasi mulai lepas Maghrib itu turut menjual pelbagai barangan termasuk makanan, batik dan kasut dengan harga yang cukup murah.

Berdasarkan apa yang dipaparkan, jelas Kelantan mempunyai keunikannya tersendiri, kepelbagaian makanan dan budi bahasa penduduknya yang tinggi, melengkapkan negeri ini sebagai mutiara di Pantai Timur. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan