'Nutrisi klinikal': Membantu pemulihan pesakit

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

"SALAH makan, ubat tak berguna. Betul makan, ubat tak perlu".

Itulah satu ungkapan dalam amalan perubatan Ayurvedik.

Ungkapan tersebut memang tepat sekali, terutamanya bagi pesakit yang mengalami masalah serta penyakit kronik.

Mengambil makanan yang betul adalah penting sekali bagi pesakit yang baru menjalani prosedur perubatan atau pembedahan kerana diet yang bagus akan memendekkan tempoh tinggal di hospital, mengurangkan berlakunya komplikasi serta tidak mengurangkan pergantungan pada ubat serta intervensi yang lain.

Professor Rawatan Intensif Perubatan di Queens University, Kanada, Prof Dr Daren Heyland berkata nutrisi klinikal diamalkan di setiap wad yang mempunyai pesakit yang mengalami masalah dalam pemakanan yang betul dan cukup.

"(Nutrisi klinikal) memainkan peranan kritikal dalam penjagaan kesihatan pesakit di hospital. Ianya penting terutama bagi pesakit yang tidak dapat pemakanan yang secukupnya", Heyland memberitahu Bernama pada Kursus Nutrisi Lanjutan Frenesius Kabi Asia di sini baru-baru ini.

Kursus tersebut menarik penyertaan 300 pakar dari pelbagai bidang perubatan seperti surgeri, anestesiologi, rawatan rapi, onkologi dan gastroenterologi yang membincangkan pelbagai topik daripada pemakanan yang tidak 'cukup' untuk kesihatan di hospital hingga kepada nutrisi klinikal untuk mereka yang menjalani pembedahan dan sakit kritikal.

Nutrisi klinikal

Sains bagi nutrien (makanan berkhasiat) serta kesan pada kesihatan dan penyakit dikenali sebagai 'nutrisi klinikal'. Ianya satu bidang kajian terhadap pertalian makanan dengan kesihatan badan.

Dengan lebih tepat, bidang ini merupakan sains bagi nutrien dan bagaimana bahan ini dihadam, diserap dan dihantar (pada sel) hinggalah kepada proses metabolisasi, penyimpanan serta dikumuh atau dikeluarkan daripada badan.

Selain daripada bagaimana nutrien berperanan dalam badan, pakar pemakanan juga mengkaji tentang kesan alam sekitar terhadap tahap kualiti serta keselamatan makanan dan bagaimana faktor ini mempengaruhi kesihatan dan penyakit.

Pesakit yang memerlukan nutrisi klinikal biasanya tidak mampu untuk mengambil nutrien melalui kaviti oral (mulut). Mereka juga adalah dari kalangan yang mengalami stres selepas pembedahan dan tidak mendapat nutrisi mencukupi, ginjal atau hati tidak berfungsi dengan baik, menjalani terapi 'chemo' atau radiasi, mengalami kecederaan teruk atau melecur disebabkan api atau bahan panas dan mengalami sekatan akibat kanser.

"Dalam situasi normal, diet sahaja sudah cukup untuk semua nutrisi yang diperlukan badan manusia. Pesakit yang memerlukan nutrisi klnikal biasanya mempunyai sistem penghadaman tidak berfungsi dengan baik disebabkan kecederaan dialami kerana kemalangan, pembedahan atau rawatan terapi", kata Heyland.

Malnutrisi

Heyland, yang juga Pengarah Unit Kajian Penilaian Klinikal di Kingston General Hospital, Kanada, berkata disebabkan pesakit mengalami 'malnutrisi' atau tidak cukup nutrien dalam badan, nutrisi klnikal membantu menyampaikan nutrien yang diperlukan oleh sel serta otot dan secara langsung membantu dalam pemulihan pesakit.

Malnutrisi adalah istilah perubatan tentang pemakanan yang tidak mencukupi menyebabkan kekurangan protein, lemak, vitamin serta bahan yang penting untuk badan manusia.

Berlakunya malnutrisi disebabkan masalah penghadaman dan penyerapan, keperluan tenaga yang bertambah disebabkan penyakit (keperluan tenaga meningkat selepas pembedahan, perubahan metabolsime kerana kanser, HIV/AIDS) serta diet yang tidak seimbang yang tidak dapat memenuhi keperluan badan untuk nutrien penting seperti protein, glutamin dan vitamin.

Bila terjadinya malnutrisi, maka adalah risiko berlakunya infeksi (jangkitan kuman), luka yang lambat sembuh, komplikasi pembedahan, merendahkan respon badan terhadap rawatan.

Ini semua akan memanjangkan tempoh rawatan dalam hospital hingga menyebabkan kos perubatan meningkat.

Menurut Heyland, sama ada di negara maju, sedang membangun atau dunia ketiga, prevalens pesakit mengalami risiko nutrisi di hospital adalah dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus.

Kebaikan hasil rawatan

Intervensi nutrisi adalah kritikal untuk kebaikan pemulihan pesakit. Lebih awal dilakukan intervensi, maka lebih cepat pesakit itu akan keluar dari hospital.

Kajian menunjukkan bahawa sikap dan amalan pemakanan memainkan peranan yang penting dalam penjagaan kesihatan seperti menurunkan kemungkinan mendapat penyakit dan meningkatkan proses penyembuhan.

Ini bukan hanya mempercepatkan kadar penyembuhan dalam rawatan malahan menjadi kos efektif yang menakjubkan bagi hospital.

Terdapat dua cara nutrisi klinikal.

Nutrisi parenteral di mana nutrien disalurkan terus melalui saluran 'intravenous' terus ke dalam darah dan memintas usus. Cara kedua ialah nutrisi 'enteral' di mana diet khas disediakan melalui saluran tiub atau sedutan bagi pesakit yang tidak tahan dengan makan secara oral.

Di beberapa negara, cara enteral atau parenteral dibenarkan dilakukan di rumah.

Kadar penyembuhan yang lebih cepat

Presiden Persatuan Pemakanan Parenteral dan Enteral Malaysia (PENSMA) Harbans Kaur Dhillon berkata kajian klinikal membuktikan nutrisi parenteral termasuk nutrien khas seperti glutamin (asid amino yang diperlukan dalam stres) memainkan peranan penting dalam meningkatkan penyembuhan pesakit.

"Nutrisi klinikal membantu pakar perubatan serta hospital dalam memenuhi keperluan pesakit untuk kadar pemulihan yang lebih cepat melalui penggunaan nutrien untuk rawatan penyakit", kata Harbans yang juga Presiden Persatuan Pemakanan Parenteral dan Enteral Asia (PENSA)2009.

Menurut beliau, pemberian nutrisi sokongan di hospital memerlukan kecekapan kepakaran daripada pasukan pelbagai disiplin, formula yang khas bagi keperluan pesakit serta antara lain pencegahan jangkitan dan penjagaan 'catheter'.

Pasukan ini, yang dikenali sebagai pasukan sokongan nutrisi, terdiri daripada pakar perubatan, ahli farmasi, pakar diet dan juruarawat.

"Dalam situasi kini, kos efektif dalam terapi perubatan boleh ditimbus dengan penurunan kos dalam rawatan, ubat serta tempoh tinggal di hospital (yang lebih singkat)", tambah Harbans.

Diharapkan melalui usaha ini, sokongan nutrisi parenteral dan enteral dijadikan amalan klinikal yang standard bukan hanya untuk kadar pemulihan yang lebih cepat malahan untuk kebaikan kualiti hidup dan kesejahteraan keseluruhan. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan