suria

Penduduk kapit nikmati harga petrol seragam di stesen minyak terapung

PENDUDUK Kapit, satu-satunya bahagian di Sarawak yang belum dapat dihubungi melalui jalan darat, kini berasa lega kerana untuk pertama kalinya berpeluang mendapatkan bahan api pada harga yang sama ditetapkan oleh kerajaan.

Perkembangan baru ini amat ditunggu-tunggu terutama pengguna dan pemilik bot.

Berkeluasan 39,934 kilometer persegi, Kapit adalah sebuah kawasan pedalaman negeri Sarawak yang meliputi daerah Kapit dan Song dan dua lagi daerah kecil iaitu Nanga dan Sungai Asap.

Untuk ke Kapit pengunjung perlu menggunakan bot ekspres, yang menjadi pengangkutan utama untuk sampai ke Kapit dari Sibu. Keadaan bentuk muka bumi menyukarkan jalan raya dibina malahan jalan raya dari bahagian Sibu hanya sampai ke Kanowit.

Sebelum ini, lokasi Kapit yang sukar dihubungi menyebabkan harga runcit petrol lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Keseragaman harga

Rata-rata stesen minyak terapung menjual petrol pada harga RM2.20 seliter dan pernah melonjak sehingga RM4.00 seliter pada tahun lepas ketika harga minyak naik.

Keadaan ini telah membebankan masyarakat pengguna di kawasan tersebut, yang mempunyai penduduk seramai 115,600 orang terdiri daripada 80 peratus penduduk Iban, manakala yang lainnya Bidayuh, Melayu, Melanau, Cina dan bukan Bumiputera.

Demi mengurangkan beban rakyat di kawasan pedalaman dan luar bandar serta membolehkan mereka mendapat hak sama rata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil inisiatif menyeragamkan harga petrol di stesen minyak terapung.

Penyeragaman ini dilancarkan pada 1 Mac lepas di Kapit Town Square, Sarawak oleh menteri berkenaan, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Rombongan KPDNHEP yang disertai pihak media bertolak dari jeti Sibu menuju ke Kapit pada pukul 5.45 pagi pada hari tersebut.

Melegakan penduduk pedalaman

Dengan kesungguhan yang tinggi untuk membantu masyarakat pengguna di kawasan Kapit, kesejukan pagi yang dirasakan sampai ke tulang dalam perjalanan selama tiga jam dengan bot ekspres diharungi penuh bersemangat.

Penyeragaman harga runcit bahan api pada harga ditetapkan RM1.80 ini melegakan penduduk pedalaman Sarawak.

Tidak hairanlah lebih seribu penduduk membanjiri Kapit Town Square untuk menyaksikan majlis pelancaran tersebut.

Untuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman negeri Sarawak, yang kebanyakannya bergantung kepada pengangkutan air, mendapat bekalan petrol bersubsidi pada harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan, beberapa pendekatan telah dikenalpasti.

Antara pendekatan itu ialah memberi rebat kepada pemilik bot sangkut, menyalurkan petrol bersubsidi melalui 'floating barge', membina stesen minyak mini dan penyimpanan minyak menggunakan tong.

Ianya bertujuan untuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman negeri Sarawak yang kebanyakan bergantung kepada pengangkutan air mendapat bekalan petrol bersubsidi pada harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan.

Jawatankuasa rumah panjang

Kementerian Kewangan telahpun meluluskan rebat tunai sebanyak RM23 juta untuk diagihkan kepada 32,154 pemilik bot sangkut yang mana urusan pembayarannya dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak.

Tujuh stesen minyak terapung di sepanjang Sungai Rejang iaitu empat di Kapit dan tiga di Song dikenalpasti untuk digunakan bagi menyalurkan petrol bersubsidi.

Pihak KPDNHEP juga akan membina 12 stesen minyak mini di luar bandar Sarawak dan membina tong simpanan minyak di 39 rumah panjang terpilih, yang akan diselenggara oleh jawatankuasa rumah panjang atau tuai rumah panjang.

Dianggarkan terdapat 5,000 rumah panjang di seluruh Sarawak dan sebahagiannya terletak di kawasan tepi sungai. KPDNHEP berharap untuk meneruskan usaha ini ke kawasan pedalaman yang lain bagi meringankan beban penduduk terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. BERNAMA

Artikel Lain