suria

Cerut percuma bawa padah kepada pesara Malaysia di Thailand

BANGKOK: Gara-gara menyangkakan mendapat tawaran cerut percuma, seorang pesara warga Malaysia terpaksa merengkok di dalam lokap polis selama semalam di sini.

Bekas pegawai kanan kerajaan itu yang berumur 58 tahun ditahan oleh pengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini pada 1 Mac lepas semasa menunggu untuk menaiki pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur.

Berita mengenai penahannya di balai polis di Rachatewa dan usaha untuk membebaskannya oleh ahli keluarganya serta kedutaan Malaysia tersebar luas menerusi emel dan blog di Malaysia sejak beberapa hari lalu.

Namun kandungan emel tersebut menggambarkan bahawa beliau menjadi mangsa konspirasi oleh sindiket yang menjadikan pelancongan luar sebagai mangsa mereka di samping tentang dakwaan memeras ugut oleh pegawai polis yang meminta RM30,000 sebagai syarat pembebasannya.

Seorang pegawai kedutaan Malaysia berkata mimpi negeri pesara tersebut bermula apabila beliau dan isterinya sedang membelibelah di kedai bebas cukai, selepas beberapa hari berada di ibu negara Thailand bersama abang ipar dan keluarganya. "Tetapi setakat ini tiada bukti bahawa ia merupakan angkara sindiket," kata pegawai kedutaan itu.

Menurutnya, pesara tersebut bersama isterinya masingmasing membeli sekarton rokok dan coklat. Isterinya diberi hadiah percuma bagi pembeliannya itu.

Selepas suaminya membayar rokok yang dibelinya, beliau melihat satu bungkusan kecil cerut di atas karton rokok itu, tetapi meletakkan semula.

"Tetapi isterinya yang menyangka bungkusan cerut itu juga merupakan hadiah percuma, menyuruh suaminya memasukkannya ke dalam beg mereka," kata pegawai itu.

Pegawai kedutaan Malaysia itu berkata pihak pengurusan kedai bebas cukai itu memberitahu pihak kedutaan bahawa kamera CCTV di kedai itu menunjukkan lelaki berkenaan mengambil bungkusan cerut tersebut.

"Selepas pasangan itu meninggalkan kaunter, seorang warga asing bertanyakan juruwang di mana kotak cerut yang dia tinggalkan di kaunter. Mengesyaki sesuatu, mereka memeriksa CCTV dan seterusnya mengekori pasangan itu ke pintu berlepas lapangan terbang," katanya. Walaupun pesara berkenaan menjelaskan apa yang berlaku, pasangan itu kemudiannya didatangi lelaki yang tidak dikenali yang menawarkan pertolongan untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi pesara itu menolak tawaran tersebut.

Pegawai kedutaan berkata pihak kedutaan telah menemui pesara tersebut pada hari kejadian dan pihak polis memberitahu mereka bahawa lelaki itu boleh dibebaskan malam itu juga sekiranya lelaki berkenaan boleh membawar jaminan 200,000 baht.

"Kita mencuba sedaya upaya untuk membebaskannya tetapi kita juga perlu menghormati undangundang mereka kerana kes itu telah dirujuk ke mahkamah. Abang ipar pesara tersebut yang telah terbang pulang dengan pesawat lain, datang kembali keesokan hari dengan membawa wang untuk menjaminnya," kata pegawai itu.

Selepas rayuan berterusan oleh pegawai kedutaan Malaysia dan ahli keluarga lelaki itu, polis memberi dua pilihan, sama ada mendapat khidmat peguam untuk perbicaran kes itu atau membayar "yuran pentadbiran" sejumlah 150,000 baht.

"Pegawai polis yang merekod kenyataan memberi jaminan ia adalah sah. Kita lalu menyerahkan perkara itu kepada ahli keluarga pesara berkenaan untuk membuat keputusan, yang akhirnya dipersetujui oleh mereka untuk membayar apabila jumlah itu dikurangkan kepada 100,000 baht sahaja," kata pegawai kedutaan. Beliau menolak laporan blog di Malaysia yang mendakwa wang tersebut diagihagihkan di kalangan beberapa anggota polis di hadapan lelaki itu dan ahli keluaragnya. Pesara itu dibawa ke mahkamah di hari ketiga, di mana beliau mengaku "bersalah dengan tanpa niat" dan diminta membayar yuran berjumlah 2,000 baht, katanya.

"Pegawai kita berada bersama lelaki itu sehingga beliau menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. Kita juga pastikan semua rekodnya diselesaikan oleh mahkamah, kedai bebas cukai dan imigresen," kata pegawai kedutaan tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain