suria

Masa depan cerah kraf negara

SEORANG pelajar Malaysia di London pernah bertanyakan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, apakah pasaran domestik sudah cukup diterokai kraf Malaysia, lalu mahu melebarkan sayap ke luar negara.

Soalan ini susulan Kraftangan Malaysia melakukan promosi selama sebulan kraf terbaik Malaysia di gedung ternama Harrods di Knightsbridge, London yang berakhir hujan bulan ini.

Jawab Shafie; usaha promosi itu ibarat Petronas mencari gali minyak di negara lain, yang ternyata hasilnya menguntungkan.

Bagaimanapun hakikatnya aktiviti promosi di dalam dan luar negara oleh Kraftangan Malaysia untuk meningkatkan jualan kraf sudah menampakkan kejayaan, dengan pencapaian jualan kraf di peringkat domestik meningkat 66 peratus (RM8.49 juta) pada 2007 kepada RM14,14 juta pada 2008.

Aktiviti promosi di luar negara meningkat sebanyak 197 peratus daripada RM5.3 juta pada 2007 kepada RM15.8 juta pada 2008.

Semasa merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 19 Mac lepas, Shafie berkata promosi kraf di Harrods yang bertemakan "Malaysian Craft at Its Best" merekodkan hasil jualan setakat 18 Mac, sebanyak RM631,000 dan perkembangan positif itu membuatkan Kabinet merestui promosi sedemikian diteruskan setiap tahun.

Kata beliau, langkah berikutnya ialah membawa produk kraf negara ke gedung-gedung ternama di bandar besar lain sebelum sebuah pusat perdagangan dibuka di luar negara untuk memudahkan penyimpanan dan pengedaran kraf ke tempat-tempat berkenaan.

Tiga perkara

Shafie mencadangkan tiga perkara yang patut diberi penekanan oleh Kraftangan Malaysia, agensi di bawah kementerian, dalam mengusahakan pelebaran pasaran kraf tempatan, iaitu pertama, memperbanyak aktiviti pemadanan perniagaan dalam kalangan usahawan kraf tempatan dengan pemborong dan pengedar kraf ternama antarabangsa.

Ini landasan terbaik untuk memperkenal produk baru mereka, mendapatkan maklum balas permintaan pasaran terkini dan memastikan mereka berupaya membekalkan produk yang mencukupi di pasaran.

Kedua, menitik beratkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana usaha penambahbaikan produk, inovasi, peningkatan kualiti dan kepelbagaian produk amat penting untuk kraf negara bersaing di pasaran.

Ketiga, Malaysia perlu memberi penekanan kepada pembangunan usahawan kraf melengkapkan diri mereka dengan ilmu ciptaan, proses dan teknik baru yang boleh mengurangkan kos pengeluaran, selok-belok pengurusan perniagaan dan pemasaran produk serta teknik menghasilkan kepelbagaian bentuk dan rekaan produk.

"Kita masih jauh ketinggalan dari segi pengeluaran dan pengenalan produk kraf kita di pasaran antarabangsa, maka usaha ini akan dipergiat, dan promosi di Harrods boleh dijadikan penanda aras," katanya.

Promosi ketepi cara konvensional

Pengarah Bahagian Pembangunan dan Promosi Pemasaran Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa promosi di Harrods ialah usaha sulung agensi itu untuk berganjak daripada cara konvensional memperkenal kraf Malaysia di pasaran antarabangsa.

Sebelum ini kraf Malaysia dipromosi melalui pameran perdagangan dan penyertaan di gerai-gerai jualan pesta termasuk Minggu Malaysia di London yang telah diadakan tiga tahun.

Dengan berada di Harrods, usaha penjenamaan kraf Malaysia sudah berubah dan tempat jualannya tidak tertumpu di pasar malam dan tepi jalan lagi, kerana produk kraf negara telah diprofil dalam bentuk eksklusif, katanya.

Beliau berkata perancangan promosi ke Harrods sendiri dilakukan selama setahun dan memandangkan langkah ini sebagai batu loncatan untuk kraf negara menembusi pasaran besar antarabangsa, sebuah pasukan khas ditubuhkan terdiri daripada kumpulan bahagian rekaan, pemasaran dan pembangunan usahawan untuk mengumpulkan produk kraf terbaik.

Eksklusiviti kraf negara Semua kraf yang dibawa ke London itu dijual di bawah syarikat Karyaneka Sdn Bhd sebelum dijenamakan kepada Harrods, bermakna hak eksklusif rekaan diberikan kepada gedung itu.

Hak eksklusif ini bagaimanapun cuma pada corak, sedangkan kraf yang sama boleh dikeluarkan dengan rekaan motif berbeza untuk pasaran atau pasar raya lain pula.

"Eksklusiviti ini antara strategi promosi kraf yang berkesan dalam menempatkan kraf Malaysia di tahap tinggi di pasaran.

"Selepas ini saya anggap mudah untuk kraf Malaysia diperaga di gedung dan bandar besar lain kerana sudah ada jenama Harrods yang akan dikaitkan dengan standard dan kualiti yang tinggi," katanya.

Kraftangan Malaysia dan Karyaneka memastikan usahawan yang terlibat dengan projek besar seperti di Harrods ini mempunyai keupayaan bukan hanya mengeluarkan prototaip produk tetapi mampu menghasilkan semula kraf yang dipesan dengan kekemasan dan kualiti yang terpelihara.

Apakah mungkin kraf Malaysia selepas ini lebih elok dijenamakan di bawah satu logo bagi usaha penjenamaan yang lebih efektif?

Bila diajukan soalan ini kepada Shafie, beliau berkata ia boleh difikirkan tetapi yang diutamakan kini ialah kualiti kraf dan kemampuan pengusaha memenuhi pesanan pembeli.

"Ini disebabkan kraf negara banyak daripada buatan tangan, dan walaupun rekaan dan corak eksklusif dihargai pembeli, kelemahan kita ialah untuk menghasilkan produk yang sama dalam jumlah yang banyak," katanya.

Gedung beli-belah tempatan

Berbalik kepada soalan pelajar di London itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia Shahruddin Mohd Nor bersetuju pasaran domestik terutama di gedung membeli belah tempatan patut juga diterokai dan Kraftangan Malaysia memang berusaha ke arah itu.

Kalau Harrods boleh memberi ruang, setakat ini rangkaian pasar raya Jusco memberi kerjasama bagi kraf negara dipromosi di situ begitu juga pasar raya Mydin.

Apa yang diharapkan gedung-gedung ternama lain mengiktiraf kraf tempatan dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya untuk dihargai dan dibeli pengguna.

Mengambil kesempatan daripada Hari Kraf Kebangsaan ini, kaunter khidmat usahawan disediakan bertujuan memberi pendedahan maklumat berkaitan perkhidmatan latihan dan sumber kewangan yang ditawarkan kepada pengusaha kraf dan pengunjung.

Beberapa bank terlibat seperti SME dan Bank Rakyat, Mara serta agensi seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara.

Perjumpaan pembeli dan pengusaha

Kraftangan Malaysia juga menemukan 31 pedagang dari 15 buah negara dengan 65 pengusaha kraf tempatan pada sesi "Perjumpaan Pembeli".

Pembeli dari United Kingdom, Emiriyah Arab Bersatu, Singapura, Jerman, Vietnam, India , Indonesia, Hong Kong, China, Kanada, Nigeria, Qatar, Mauritius, Perancis dan Arab Saudi ini diperkenalkan kepada produk keluaran Malaysia.

Ini satu lagi strategi promosi pemasaran yang dianggap berkesan kerana jalinan perniagaan yang terbina hari ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Ada di antara pembeli dan usahawan kraf Malaysia ini sudah bertemu sebelum ini di luar negara semasa misi promosi dan penyertaan Malaysia di dalam pameran kraf di sana.

Eksekutif Pemasaran East Art Enterprise Abdul Rahim Yusof, Februari lepas buat pertama kali menyertai sembilan lagi usahawan ke Frankfurt, Jerman pada sebuah pameran besar kraf di sana.

Selama seminggu di situ, beliau banyak belajar dan membuka mata bagaimana industri kraf dan peluang pemasarannya begitu luas sekali di luar negara dan sempena Hari Kraf ini, beliau meneruskan rundingan dengan ejen pembeli dari Jerman untuk menjual produk seperti set catur, gelas berkaki dan set meja makan.

Bagi Abdul Rahim, Kraftangan Malaysia banyak membantu memberikan maklumat promosi dan rekaan terbaik kraf, tetapi untuk jualan, beliau perlu kreatif dalam menjual produk dan mendapatkan peluang serta berunding dengan pembeli.

Beliau mahu mencontohi usahawan kraf asing, yang industri kraf mereka juga diwarisi turun temurun, yang mementingkan perancangan pengeluaran sekurang-kurangnya setahun bagi jualan sesuatu produk itu.

Abdul Rahim melihat pasaran kraf Malaysia terbuka luas dan selain mengharapkan dua produk krafnya mendapat tempahan dari Harrods selepas dipromosi selama sebulan, beliau berazam untuk memelihara kualiti dan mempelbagai produk krafnya.

Kepelbagaian produk kraf di pasaran

Kepelbagaian produk kraf ini jugalah yang sedang diberi penekanan oleh Kraftangan Malaysia untuk melariskan produk kraf negara di pasaran, umpamanya daripada fabrik batik, bukan hanya akan terhasil pakaian, tetapi cendera mata, kusyen dan langsir, alas meja dan lapik pinggan. Daripada mengkuang pula bukan setakat bakul, tetapi juga kotak coklat atau gula-gula.

Dalam hal ini projek R&D diteruskan dengan pakar dari Jepun untuk membangunkan pengeluaran kraf baru berteraskan permintaan pasaran negara itu dan Eropah.

Shafie semasa menjelaskan usaha R&D itu, berkata sebanyak 89 rekaan baru telah diselia tenaga pakar Jepun itu, dan produk yang dihasilkan meliputi penambahbaikan rekaan dan menekankan kegunaannya yang lebih spesifik untuk pasaran antarabangsa.

Produk itu akan dibawa ke pasaran antarabangsa melalui penyertaan pengusaha dalam program promosi "Interior Lifestyle 2009" di Jepun pada Jun dan misi perdagangan "Who's Next" di Paris, Perancis pada September, katanya.

Kecilnya pasaran kraf di dalam negara tidak lagi akan menjadi kekangan setelah pintu untuk menembusi pasaran antarabangsa dibuka seluas-luasnya. BERNAMA

Artikel Lain