suria

Imuniti anggota Parlimen 'senjata' yang disalah guna

KUALA LUMPUR: Seperti mencurahkan air ke daun keladi, ingatan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar para anggota Dewan Rakyat menunjukkan perilaku terpuji semasa menjalankan tugas seolah-olahnya tidak diendahkan oleh sebahagian daripada mereka.

Hanya seminggu selepas ingatan itu dibuat oleh baginda semasa bertitah merasmikan persidangan Parlimen, Dewan Rakyat menjadi riuh dengan perkataan 'celaka' diucapkan selain beberapa perkataan lain, yang kalau diujar di luar Parlimen akan membolehkan penuturnya didakwa di mahkamah.

Namun anggota-anggota Parlimen yang mengeluarkan kenyataan sedemikian 'terpelihara' daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka mempunyai kekebalan yang diperuntukkan Perlembagaan di bawah Perkara 63.

Mungkin sebahagian besar masyarakat negara ini telah mangli dengan kelakuan wakil rakyat berkenaan, tetapi wajarkah mereka terus menggunakan kekebalan itu untuk berkelakuan sedemikian?

Lebih-lebih lagi kelakuan itu ditunjukkan pada sebuah majlis yang bermartabat badan perundangan tertinggi negara dan kecanggihan teknologi pula membolehkan aksi mereka dipertontonkan kepada dunia luar.

Sudah kedengaran suara rakyat yang tidak berpuas hati dengan gelagat sebahagian daripada Yang Berhormat ini, malah ada yang menyarankan agar kekebalan itu dikurangkan.

Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang bersetuju dengan saranan itu berpendapat tingkah tidak semberono anggota Parlimen sejak kebelakangan ini mungkin berpunca daripada siaran langsung persidangan itu menerusi televisyen.

"Mereka mungkin mahu menonjolkan ketokohan masing-masing ketika membahaskan sesuatu isu," katanya.

Gelagat yang dipamer anggota Parlimen itu memberi gambaran imuniti mereka tidak terbatas, tetapi hakikatnya kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ada beberapa kekangan yang mesti mereka patuhi.

"Tujuan kekebalan ini ialah untuk memberi ruang yang seluas mungkin kepada anggota Parlimen untuk membahaskan apa juga isu tanpa rasa takut atau bimbang dengan tindakan undang-undang oleh pihak yang terkena teguran, tohmahan atau cacian daripada anggota Parlimen semasa menjalankan tugas mereka dalam Dewan, ataupun sekitar Dewan ataupun di luar Dewan yang ada hubung kait dengan tugasnya sebagai anggota Parlimen.

"(Tetapi) kekebalan ini bersyarat. Salah satu syaratnya ada hubung kait dengan Akta Hasutan, undang-undang yang ada hubung kait dengan keselamatan negara seperti menderhaka kepada raja dan negara maka kekebalan ini tidak terpakai," katanya kepada Bernama.

Menghurai lanjut, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, ada beberapa perkara yang tidak boleh disentuh oleh seseorang wakil rakyat apabila berhujah di Parlimen.

"Umpamanya perkara-perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah, perkara yang ada hubung kait dengan Yang diPertuan Agong, raja-raja Melayu, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, hakim-hakim dan suruhanjaya, ahli-ahli suruhanjaya, majlis pasukan bersenjata dan mana-mana suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan di bawah Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, lazimnya anggota Parlimen yang melanggar batasan itu akan ditegur oleh speaker atau timbalan speaker yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu.

"Ada juga yang kata saya tidak tegas kerana tidak mengambil tindakan lain berdasarkan kepada kuasa yang diberi kepada saya, tetapi saya berpegang kepada banyak rujukan dan pandangan memandangkan syaratsyarat yang membolehkan tindakan itu diambil adalah ketat," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi memberi contoh kesalahan mengelirukan dewan yang banyak kali dibangkitkan oleh anggota Parlimen menerusi Peraturan Mesyuarat 36(12).

"Sebelum tindakan boleh diambil, speaker kena pastikan seseorang yang buat kenyataan itu tahu ia tak benar dan ia dibuat dengan sengaja dengan tujuan untuk kelirukan dewan," katanya.

Jika semua syarat itu dipenuhi maka anggota Parlimen berkenaan boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, jelas beliau sambil menambah bahawa Dewan Rakyat mempunyai kuasa menghantar orang ke penjara.

"Menerusi Seksyen 9 (Akta Majlis Parlimen (Kekuasaan dan Kuasa) 1952), Dewan Rakyat berhak hantar orang ke jel atau custodial sentence. Di bawah seksyen 9 ini, orang yang didapati menghina Dewan dikenakan denda RM1,000 dan jika dia tak mampu bayar, dia boleh ditahan sehingga bayaran dibuat atau Dewan dibubar," katanya.

Wan Junaidi berkata kuasa serupa juga diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat.

"Memang kuasa tu besar tapi jarang kita guna sebab kita ingat semangat demokrasi dalam dewan mesti dipertahankan," katanya.

Merumuskan situasi di Dewan Rakyat sebagai belum 'melampau', Wan Junaidi berkata, kebanyakan katakata celupar dan biadap itu dituju sesama mereka.

"Yang paling penting sekali kena jaga agar tidak hina speaker. Di negaranegara lain pantang dibantah katakata speaker. Kalau di England speaker berdiri, semua akan diam walau bising macam mana sekalipun.

"Tapi di sini malang sekali walau macam mana tinggi pun suara yang dikeluarkan speaker mereka masih tak dengar. Tetapi ini tak mengapa, asal tak melampau," katanya.

Sejarah persidangan Dewan Rakyat sebelum ini menyaksikan beberapa orang anggota Parlimen digantung daripada menghadiri persidangan kerana menghina Dewan dan Speaker.

Antara mereka ialah anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, yang pernah digantung selama enam bulan pada tahun 2004 kerana enggan patuh kepada keputusan speaker ketika itu Allahyarham Tun Dr Mohamed Zahir Ismail.

Selain Karpal, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan imej wanita.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang mempersendakan fitrah wanita didatangi haid setiap bulan.

Tidak dapat dinafikan, gelagat sebahagian daripada Yang Berhormat ini menggeletek hati pelawat yang memenuhi galeri awam setiap hari sepanjang persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Namun wakil rakyat tidak dipilih untuk menjadi pelawak dan menjadikan institusi perundangan tertinggi negara itu sebagai pentas komedi. "Orang macam ini jangan diberi peluang lagi. Pada pilihan raya akan datang tendang mereka keluar. Rakyat kena bertindak, kalau tidak keadaan ini akan berterusan," kata Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Tokoh akademik itu berkata, rakyat perlu mengambil tindakan tegas kerana anggota dewan itu nampaknya seperti telah lupa tugas hakiki mereka iaitu menjaga kebajikan rakyat dan bukan saling bertukar cemuhan dan cacian.

"Nasihat saya ialah rakyat mesti pandai. Kenal dulu calon sebelum beri undi," katanya.

Khoo menegaskan, berasaskan keadaan politik tanah air ketika ini, rakyat memerlukan wakil yang berintegriti demi memastikan kebajikan mereka diutamakan.

"Jadi pada saya kalau dikurangkan kekebalan mereka pun tak guna, sebab yang penting adalah integriti mereka.

"Kalau tak ada integriti keadaan tidak akan berubah," katanya.

Memang tidak dapat dinafikan di sebalik kekecohan dalam dewan, wakil rakyat berkenaan tetap melaksanakan fungsi mereka sebagai sebahagian daripada penggubal undang-undang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Constitution is the basis

Artikel Lain