suria

Pentadbiran baru di bawah Najib

DESAS-DESUS bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengekalkan kedudukannya di tampuk kuasa kini dapat diketepikan sebagai omong kosong. Fasa perubahan ini menarik untuk dilihat kerana dalam tempoh lebih lima tahun, ramai yang lebih cenderung untuk percaya kepada khabar angin daripada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Hal ini berpunca daripada kelemahan-kelemahan pentadbiran Abdullah sendiri, yang dilihat tidak lagi mampu meraih keyakinan rakyat. Keputusan pilihanraya umum ke-12, serta dua pilihanraya kecil parlimen menyimpulkan keadaan ini dengan jelas.

Banyak kritikan ke atas Umno datangnya daripada golongan pemimpin Umno veteran ataupun individu-individu yang berada di luar 'lingkaran kuasa' Abdullah. Tidak ramai di kalangan pucuk pimpinan Umno yang dilihat mempunyai pendirian teguh dalam merealisasikan perubahan di dalam parti mereka sendiri. Mungkin kerana terlalu banyak terhutang budi dengan Abdullah Badawi atau masih berkira-kira dengan untung nasib masing-masing dalam pemilihan Umno pada Mac depan.

Terbaru, hanya seorang daripada calon timbalan presiden parti berkenaan yang tampil ke hadapan untuk menepis serangan psikologi Pas. Presiden parti Islamis itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan telah meminta supaya Abdullah di kekalkan sebagai Perdana Menteri, dengan alasan supaya memberi peluang kepada Abdullah untuk meneruskan agenda-agenda reform di dalam negara.

Hal ini bagaimanapun dibantah keras oleh pemimpin Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Abdul Hadi supaya menjaga hal-hal dalaman partinya sendiri yang kini menghadapi krisis ambiguiti moral – kesan daripada tindakan wakil-wakil Pakatan Rakyat yang berpaling tadah serta pendedahan foto-foto yang menyentuh peribadi salah seorang wakil rakyat pakatan berkenaan.

Pada satu sisi, tekanan ke atas Abdul Hadi ini juga dilihat sebagai satu dorongan baru kepada perwakilan-perwakilan parti Umno yang bakal menentukan peluang calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti. Hal ini juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semasa merasmikan sidang mesyuarat parlimen pada Isnin.

Baginda memberikan isyarat awal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi supaya meneruskan plan transisi kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Perkembangan ini sememangnya disambut baik oleh anggota-anggota Umno yang mahu parti tersebut kembali ke ruang 'kiri' perjuangan. Ini kerana Umno telah berubah daripada satu pergerakan akar umbi kepada sebuah pertubuhan yang mengambil pendirian konservatif pada hari ini.

Titah Tuanku Mizan juga boleh dilihat sebagai satu usaha Istana untuk menyekat usaha-usaha yang dijalankan oleh 'jentera gelap' Abdullah untuk membolehkan presiden Umno itu terus berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Apa yang penting adalah memastikan supaya transisi kuasa berjalan dengan aman dan tenang, seperti yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Proses ini tidak memerlukan kekacauan daripada golongan yang telah ditolak oleh parti dan rakyat jelata.

Pentabdiran di bawah Najib Razak perlu mewakili barisan pemimpin yang mempunyai 'political conscience' yang jelas serta berkebolehan untuk mentadbir negara di peringkat nasional dan antarabangsa. Parti ini tidak lagi mampu bergantung kepada 'jaguh-jaguh kampung' yang hanya berani menunjukkan belang apabila kepentingan peribadi mereka tercabar.

Persoalannya, adakah kabinet Najib Razak mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada daripada kabinet Abdullah Badawi? Najib perlu mengakui hakikat bahawa beliau akan mewarisi mandat yang lemah daripada Abdullah. Beliau akan menjadi perdana Menteri yang hanya mewakili 137 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Realiti ini akan berlangsung dalam latar ekonomi yang meresahkan dan ini bakal memburukkan lagi masalah-masalah sedia ada. Secara semulajadi, kadar pengangguran akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi, terutama dalam sektor pengeluaran. Ini akan membawa kepada peningkatan kadar kemiskinan dan juga perlakuan jenayah.

Ekonomi Malaysia yang berteraskan eksport masih memerlukan pelaburan asing, selain pengurusan sumber yang berkesan. Negara juga perlu memastikan sektor-sektor yang menyokong kegiatan domestik diberi perhatian utama.

Ini membawa kita kembali kepada perkara lazim seperti makanan, perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan serta pengangkutan. Ibu bapa pastinya lebih mementingkan lampin dan susu bayi mereka berbanding retorik politik yang tidak mengenyangkan.

Dalam realiti ini, Najib Razak perlu membariskan kabinetnya dengan pemimpin-pemimpin yang diketahui dapat membantu negara mengatasi masalah berkaitan ekonomi. Pemimpin-pemimpin ini mestilah mampu bekerja dan bukannya tahu berpolitik sahaja.

Artikel Sebelum

Look at issues rationally

Artikel Berikut

Artikel Lain