Derita Gaza dipamer di Balai Seni Lukis Negara

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGI pelukis, kanvas adalah media terbaik untuk meluahkan pandangan hati dan berkongsi rasa terhadap apa yang berlaku di Gaza, Palestin seperti mana yang diceritakan dan dipaparkan di dada media, dan karya seni mereka itu kini dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN).

Seramai 235 pelukis bergabung tenaga menghasilkan 421 karya untuk dipamerkan dan dijual di BSLN dari 7 Feb hingga akhir bulan dan sebahagian kutipan akan disalurkan kepada Program Amal Palestin 2009.

BSLN bekerjasama dengan Malaysian Social Research Institute (MSRI) dan RA Fine Arts Gallery mempamerkan hasil seni ini di bawah aktiviti jualan karya dan bazar seni, sebagai usaha murni menarik pengunjung untuk menderma, menghargai karya anak tempatan dan dalam masa yang sama, mengingatkan semua kepada nilai kemanusiaan sejagat.

Antara pelukis yang terlibat ialah Datuk Syed Ahmad Jamal, Awang Damit, Fuad Osman, Ismail Kadir, Datuk Raja Zahabudin, Arif Fauzan, Zuzila Zain, Arif Fauzan, Yusof Ghani, Sulaiman Esa, Khatijah Sanusi, Fauzin Mustafa, Tajuddin Ismail, Masnoor Ramli Mahmud, Noor Hadawati Mohd Amin, Nur Hanim Khairuddin, Suzlee Ibrahim dan Bhanu Achan.

Objektif program dua dalam satu Selain kanvas, karya yang dipamerkan juga adalah dari pelbagai medium seperti catan minyak, cat air, akrilik, pastel, arca dan sebagainya yang dijual dari RM200 hingga RM200,000.

Enam puluh peratus daripada hasil jualan yang terkumpul akan disumbangkan kepada rakyat Palestin melalui MSRI dan empat puluh peratus diserahkan kepada pelukis, menurut kurator Bahagian Komunikasi Korporat BSLN Rohana Mohd Yusof.

Pameran ini mempunyai objektif dua dalam satu, membantu rakyat Palestin dan dalam masa yang sama memberi sokongan kepada karya seni pelukis tempatan, katanya.

Hampir RM10,000 sudah dikutip tidak sampai seminggu pameran berlangsung dan penganjur mensasarkan pertubuhan korporat, syarikat swasta dan mereka yang berminat serta berniat untuk menyumbang supaya berkunjung ke BSLN, menderma dan dalam masa yang sama membawa pulang karya seni berharga untuk bahan koleksi mereka.

Gaza Bazaar

Rohana berkata dalam menganjurkan program ini, BSLN tidak melupakan generasi anak muda, seperti pelukis grafiti yang mempunyai cara tersendiri meluahkan rasa hati mengenai penderitaan rakyat Palestin.

Beberapa kumpulan grafiti seperti They Art Studio, The Super Sunday, Phobia Klik, PW Crew dan SWS Crew diberi ruang oleh BSLN untuk mempamerkan kreativiti mereka membawa tema Palestin, di persekitaran balai.

Karya mereka dijual di bazar seni Gaza Bazaar yang turut diadakan mulai 14 Feb di BSLN dari pukul 10 pagi hingga 8 malam dan pelbagai barang seperti pakaian, makanan dan aksesori perhiasan.

"Diharapkan pameran amal ini dapat menarik sokongan masyarakat penyayang Malaysia terhadap rakyat Palestin dalam usaha mencari makna kebebasan bagi sebuah negara merdeka di tanah air mereka sendiri", kata Rohana.

Wakil MSRI, Lia Syed berkata program ini merupakan kerjasama kali ketiga pertubuhan itu dengan para pelukis tanah air untuk kerja amal dan beliau bangga dengan komitmen yang diberikan terutama melibatkan sumbangan membantu mengurangkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.

MSRI merupakan pertubuhan bukan kerajaan Malaysia yang pertama menghantar pasukan perubatan sukarelawan ke kem pelarian Palestin di Lubnan.

MSRI bersama RA Fine Arts pernah menganjurkan pameran "Tabah dalam Derita" pelukis Palestin Rouhaifa Qassim dan Kanak-kanak dari Kem Nahr al-Bared di Lubnan bersama pelukis Malaysia di Galeri RA di sini pada 2007 dan Pameran Palestin di Pasar Seni Annex tahun lepas.

Cadang pameran dilanjutkan

Pengarah RA Fines Arts Raja Ahmad Aminullah berkata jarak yang beribu-ribu batu tidak menghalang pelukis tanah air menghasilkan karya seni yang berjaya meluahkan rasa tidak puas hati dan simpati mereka terhadap apa yang berlaku di Gaza.

Media mungkin sudah kurang memaparkan apa yang berlaku, tetapi ini tidak bermakna penderitaan penduduk Palestin sudah berakhir, maka kesedaran kepada masyarakat biarlah berterusan, katanya.

Beliau berharap pengunjung ke BSLN, tempat terbaik untuk mempamerkan karya seni ini, dapat sama-sama menghayati luahan dan gerak hati pelukis tanah air hasil daripada penelitian, pemahaman dan pengertian mereka terhadap keganasan Israel di bumi Palestin.

Raja Ahmad juga berharap BSLN akan melanjutkan tempoh pameran dan program ini yang akan dilancarkan secara rasmi pada 20 Feb. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan