Pelbagai usaha lindungi kepentingan pengguna dalam kegawatan ekonomi

Diterbitkan: Khamis, 12 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAHUN 2009 tahun sukar dan lebih mencabar! Ungkapan ini sudah pasti mencemaskan khususnya masyarakat pengguna yang saban waktu tersepit apabila berlaku kegawatan ekonomi terutamanya kenaikan harga barang perlu.

Ekonomi global yang merudum tahun lepas, bermula dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat, diunjur melihatkan impak teruk tahun ini. Antara kesan yang sudah dapat dilihat ialah tindakan kebanyakan syarikat memperlahan aktiviti atau pelaburan serta memberhentikan pekerja.

Setidak-tidaknya kita masih boleh menarik nafas lega kerana harga bahan bakar global sudah menjunam ke bawah paras US50 dolar setong yang membolehkan kerajaan menurunkan harga pam petrol kepada paras sekarang iaitu RM1.80 seliter.

Di tengah-tengah senario ekonomi dunia yang tidak menentu ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi.

Langkah proaktif

Krisis ekonomi global yang turut menjejaskan harga komoditi termasuk getah dan minyak sawit menjadikan tugas kerajaan khususnya kementerian itu semakin berat.

Justeru, pelbagai langkah proaktif diambil dengan melaksanakan program jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan usaha yang dibuat menepati sasaran dan matlamat.

Antaranya Kempen Penurunan Harga yang dilancarkan pada penghujung Oktober 200, membabitkan bukan sahaja pasar raya besar (hipermarket), tetapi juga pasar raya lain, restoran dan pasar mini.

Sebagai satu lagi usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam menghadapi krisis ekonomi dunia, KPDNHEP melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia pada 16 Jan lepas.

Kempen ini sebenarnya sudah dijalankan sebelum ini dengan penggunaan logo buatan Malaysia pada produk terbabit. Bagaimanapun, fokus kempen berkenaan lebih tertumpu kepada sektor pengeksportan.

Menteri berkenaan Datuk Shahrir Abdul Samad ketika mengumumkan kempen ini berkata "dalam keadaan hari ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor eksport, jadi keutamaan perlu diberikan kepada pembelian barangan buatan Malaysia."

Kempen itu, katanya, akan diteruskan selama setahun melalui pelbagai medium termasuk pengiklanan di media cetak dan elektronik di samping promosi di peringkat negeri dan daerah.

Utamakan barangan tempatan

Langkah kementerian melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia ini mendapat sokongan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

"Dengan berlakunya kenaikan harga barang pada masa ini, wajar sekiranya penekanan diberi kepada barang tempatan.

"Ini kerana harga barang import yang sentiasa berubah berdasarkan harga bahan mentah di pasaran antarabangsa serta pertukaran mata wang, menyebabkan harga tinggi dan perubahan harga juga tidak terkawal," Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman memberitahu Bernama.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi memastikan kempen itu berjaya, kerajaan perlu menetapkan kuota barang tempatan yang dijual di pasar raya besar.

"Langkah ini penting bagi menjamin barang tempatan tidak terpinggir. Kempen ini juga janganlah berkala sahaja. Ia perlu dijalankan secara berterusan bagi mengingatkan pengguna agar mementingkan barang tempatan berbanding barang import," katanya.

Menurut Mohd Yusof, dalam menghadapi isu mata wang dolar Amerika yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia, pembelian barang buatan negara ini dapat mengurangkan pertukaran mata wang dolar.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan perlu meneruskan usaha agar mutu barang keluaran tempatan dapat diperbaik dan dipertingkat lagi supaya mematuhi piawaian keselamatan dan setanding dengan barang import.

"Fomca menyeru masyarakat pengguna negara ini supya menggunakan barang buatan Malaysia. Langkah ini dapat memastikan barang tempatan sentiasa mendapat pasaran walau pun terpaksa bersaing dengan barang import.

"Di samping itu, barang tempatan sekiranya mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan menjadikannya lebih selamat untuk digunakan. Masalah yang berlaku kepada barang import daripada China perlu menjadi pengajaran tentang masalah keselamatan produk walau pun harga barang import lebih murah," kata Mohd Yusof.

Pantau berterusan

Di samping pelbagai kempen yang diadakan, pemantauan harga barang perlu dibuat secara berterusan khususnya untuk membendung manipulasi harga oleh peniaga dan mendidik mereka supaya beretika.

Dalam hal ini, Majlis Harga Barang Negara (MHBN) yang diwujudkan kerajaan pada 22 Jan 2008 menggalas tugas besar.

Penubuhan majlis itu sendiri dibuat ekoran isu kenaikan harga dan masalah bekalan barang perlu yang ratarata menjejaskan kehidupan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah serta penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Ketua Urusetia, Sekretariat MHBN, Rodin Mamat berkata kerajaan melantik 2,000 graduan sebagai pegawai pemantau harga (PPH).

Pelantikan itu, jelas beliau, dibuat secara 'kontrak perkhidmatan' selama setahun dan berakhir Mac 2009. Menurut Rodin, tugas utama PPH adalah membuat kutipan harga runcit harian ke atas 350 barang keperluan pengguna di semua premis perniagaan seperti kedai runcit, pasar basah dan pasar raya.

"Langkah ini untuk mengetahui trend pergerakan harga runcit supaya peniaga tidak mengambil kesempatan membuat keuntungan melampau dan memastikan bekalan di pihak peruncit sentiasa ada," jelasnya.

Beliau berkata harga yang dikumpulkan itu juga dipamerkan di bawah program 'Price Watch' yang dipaparkan di laman web KPDNHEP.

Di samping itu, katanya, PPH juga berperanan memantau pelaksanaan projek perintis pengedaran barang bersubsidi di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Pekan (Pahang), Saratok (Sarawak) dan Sipitang (Sabah).

Penguatkuasaan

Berikutan kenaikan harga bahan bakar yang melambung pada 5 Jun 2008, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP khususnya, melipatgandakan penguatkuasaan di seluruh negara, menerusi 'Ops Harga'.

Ketua Pengarahnya, Mohd Roslan Mahayuddin berkata sejak pelaksanaan Ops Harga dari 9 Jun hingga 31 Dis 2008, sejumlah 476,639 premis diperiksa.

Pemeriksaan meliputi pelbagai jenis premis termasuk pengilang, pengeluar, pemborong, hipermarket, pasar raya mini, kedai runcit, pasar malam dan pasar awam.

"Dari jumlah itu sebanyak 424 tindakan kes dihasilkan melalui kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga 1946, Akta Perihal Dagangan 1972 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1,998.495.81 dan jumlah kompaun RM66,510," kata Mohd Roslan.

Beliau berkata Ops Harga masih dijalankan di semua peringkat perniagaan sebagai usaha kerajaan menentukan harga barang berada di paras yang munasabah.

Bahagian Penguatkuasaan juga, katanya, memantau premis perniagaan yang menyertai Kempen Penurunan Harga bagi memastikan tawaran harga rendah yang diuaruarkan bukan sahaja benar tetapi bekalan barang yang dikurangkan harga ada dan mencukupi.

Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang terletak di bawah bidang kuasa KPDNHEP diguna bagi tujuan kawalan sekiranya berlaku penyelewengan.

Mohd Roslan menjelaskan bahawa pegawai-pegawainya turut menjalankan penguatkuasaan di sempadan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang lazimnya melibatkan diesel, minyak masak dan gula.

Tambahnya, kes penyeludupan tahun lepas banyak dikesan di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan Sabah.

Faktor lain kenaikan

Lazimnya bila harga bahan bakar turun, pengguna pasti membuat andaian harga barang perlu juga akan turun. Ini sebenarnya tidak berlaku sepantas yang diharapkan.

Harga minyak juga bukanlah satu-satunya sebab berlaku kenaikan harga barang.

Seperti yang dijelaskan oleh Mohd Roslan, kos pengeluaran sesuatu produk ditentukan oleh kos input yang digunakan untuk mengeluar atau menghasilkan produk berkenaan.

Sebahagian besar daripada komponen input, katanya, terdiri daripada bahan mentah.

"Contohnya bagi produk tenusu adalah susu, hasil tanaman adalah baja, makanan ternakan adalah bijirin seperti jagung. Di samping itu, kenaikan harga petroleum juga mempunyai impak ke atas kos bahan pembungkusan seperti resin juga kos pengangkutan.

"Kos pengangkutan pula bukan disebabkan oleh harga minyak semata-mata tetapi juga kos harga alat ganti yang terlalu tinggi yang menyumbang kepada tanggungan bebanan kos operasi sektor pengangkutan," jelas Mohd Roslan.

Beliau bagaimanapun berkata hasil maklum balas perjumpaan dengan pihak industri pengeluar, harga barang di pasaran dijangka menurun secara berperingkat pada suku pertama 2009 ekoran penurunan harga input bahan mentah berikutan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.

Ubah sikap

Dalam menangani impak kegawatan ekonomi, pengguna tidak wajar sematamata bergantung kepada usaha atau inisiatif kerajaan.

Dr Mohd Mokhtar Tahar, Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan program Kempen Pengguna Bijak berkata pengguna perlu turut memainkan peranan.

"Pengguna kita, sebagai contoh sudah tahu mereka perlu buat perbandingan harga tetapi sama ada mereka buat atau tidak, itu yang menjadi persoalannya. Begitu juga kalau ada peniaga yang menjual dengan harga yang mahal. Ada tak dia membuat aduan?

"Dalam hal ini, pengguna mesti membuat aduan jika tidak berpuas hati. Manfaatnya mungkin bukan untuk diri sendiri tetapi boleh membantu orang lain," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan