suria

Nizar tidak pegang kepada janji

IPOH: Keengganan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya beliau serta barisan exconya meletak jawatan membuktikan beliau tidak berpegang pada kenyataannya semalam.

Mohammad Nizar semalam semasa ditemui pemberita mendakwa beliau tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berikutan perkembangan terbaru politik di negeri itu.

Bagaimanapun pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini hari ini, Mohamad Nizar telah mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel XVI (6) Undang-undang Tubuh negeri menyatakan bahawa jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka, kecuali atas titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan membubarkan Dewan negeri, beliau patut mengemukakan peletakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat.

Sementara Artikel XVI (7) Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan bahawa berkait dengan klausa (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat selain Menteri Besar boleh mengekalkan jawatan atas perkenan Paduka Seri Sultan tetapi mana-mana ahli Mesyuarat, boleh, pada bilabila masa, meletakkan jawatan.

Mohammad Nizar semalam turut berkata beliau yakin sebarang keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil dan akan "akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku."

Hari ini beliau turut mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri di Perak kerana majoriti yang disebut oleh BN adalah tidak tepat kerana kedudukan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang dianggap mereka telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.

Ini berikutan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar sebelum ini yang mengisytiharkan terdapat tiga kawasan DUN yang kosong dan telahpun memohon mahkamah untuk mengisytiharkan kekosongan itu berikutan dakwaan Sivakumar yang mengatakan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada ketiga-tiga ADUN Behrang, Jelapang dan Changkat Jering.

Sultan Perak hari ini memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), serta menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas di Istana Kinta di sini hari ini dan yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain