suria

Kampung Baru: Kehidupan teratur, masyarakat makmur

TIADA yang terlepas pandang di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tiada butiran yang terlalu kecil untuk tidak dihiraukan dan tiada pula perkara besar yang lebih penting daripada yang lain kerana semuanya diambil kira di kampung ini sejak wujudnya kampung ini pada 1899.

Dahulu kehidupan harian di satusatunya entiti Melayu di tengah-tengah ibu kota ini amat teratur dan rapi, pendek kata ia agak ‘regimented’.

"Kami anak-anak Kampung Baru sudah sedia tahu bila waktu ke sekolah dan bersekolah di mana, waktu mengaji Quran, waktu bermain bola, bila pula hendak ke masjid, dan menyertai aktiviti marhaban atau berzanji kerana semuanya diatur," kata Shamsuri Suradi, antara penduduk asal yang menceritakan zaman membesar di Kampung Baru.

Sebenarnya aktiviti teratur ini berpunca daripada peraturan lembaga yang mentadbir Kampung Baru yang ketika itu di bawah pengawasan Residen British Selangor.

Kini Shamsuri merupakan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) atau MAS Kampung Baru yang kebetulan merupakan badan penyelia aktiviti di kampung ini mengikut tradisi kehidupan Melayu sejak diwartakan pada 1900.

MAS diwujudkan untuk memindahkan Orang Melayu yang kebanyakannya menghuni di pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian.

Pentadbiran British menegaskan bahawa penempatan di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran dan membolehkan penduduk menikmati sebahagian daripada kemewahan hidup masa itu.

Aktiviti harian rapatkan hubungan

Dengan jadual teratur itu, para penduduk mengenali satu sama lain disamping mengambil tahu pergaulan dan kegiatan masing-masing sehinggakan jika ada orang luar masuk atau anak gadis kampung diganggu, Orang Melayu Kampung Baru akan bersatu dan bertindak.

Dari situlah wujudnya gelaran Gengster Kampung Baru, kata Shamsuri yang berusia, 57 tahun.

Seramai 27 orang Melayu dicatatkan pada Januari 1900 memilih beberapa lot yang disediakan di Kampung Baru untuk dijadikan tempat tinggal mereka selepas Pentadbiran British pada asalnya memperuntuk 223 ekar (89.2 hektar) sebagai kawasan khas rizab perkampungan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Lembaga MAS ditubuhkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa melulus dan menetapkan syaratsyarat pemberian lot rumah dan menyimpan butiran pertukaran, meluluskan pelan bangunan, menjalankan projek kecil dan mengawal ketenteraman penduduk.

"MAS juga berkuasa menyingkir penduduk yang ingkar atau tidak patuh akan peraturan dan dianggap berbahaya kepada masyarakat Kampung Baru," kata Shamsuri.

Anggota lembaga MAS dilantik dari kalangan pegawai tinggi penjajah, dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua dan di bawah Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.

Tujuh buah kampung di dalam Kampung Baru secara rasmiya diwakili oleh tujuh orang di dalam lembaga berkenaan Kampung Masjid (asalnya sekitar Masjid Jamek Kampung Baharu), Kampung Periuk (asal namanya ada perusahaan periuk tanah di situ), Kampung Atas A dan Kampung Atas B (kawasan tanah tinggi), Kampung Pindah dan Kampung Paya (kawasan rendah dan berpaya) dan Kampung Hujung Pasir (kebanyakan penduduk berasal dari Kampung Hujung Pasir di Melaka).

Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru dan dituruti beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru dan ini melebarkan keluasan Kampung Baru kepada kira-kira 121 hektar.

Rumpun bangsa bergabung di dalam satu kampung Tijah binti Salim, misalnya, memilih untuk menduduki satu lot di Kampung Baru pada 1900 dan beliau membuat pilihan itu sebenarnya mengikut trend suku kaum tertentu yang datang menduduki kampung-kampung ini dari kalangan orang Melaka, Rawa, Minangkabau, Bugis, Mendeling dan Jawa.

Orang Melaka dikatakan memilih kawasan paling strategik iaitu di Kampung Hujung Pasir manakala Kampung Paya menjadi tumpuan Orang Jawa dan masyarakat Minangkabau yang suka berniaga pula menduduki kawasan sekitar masjid di Jalan Raja Alang yang terkenal sebagai bermulanya Bazar Ramadan Kuala Lumpur sehingga merebaknya ke seluruh negara.

Setiap penduduk memilih satu lot atau tidak lebih 0.2 hektar dan nama mereka direkodkan di dalam buku. Sebuah fail mengenainya dibuka dan semua rekod itu disimpan oleh lembaga itu sehinggalah sekarang.

Fail 124, contohnya, mencatatkan nama Milap binti Pulau yang didaftar masuk pada 28 Julai 1903. Failnya kosong daripada catatan sehinggalah pada 1955, dia mahu membuat pertukaran nama pemilik tanah, maka lembaga ada merekodkan proses itu.

Lembaga ini menggunakan kuasa di bawah peraturan atau undang-undang kecil MAS untuk menentukan penduduk kampung umpamanya, tidak meninggalkan tempat yang didiaminya lebih daripada tiga bulan tanpa izin lembaga atau mereka akan disingkirkan, memastikan hanya orang Melayu yang menetap di situ, meluluskan pembangunan atau ubahsuai rumah, menyelia aktiviti bercucuk tanam dan bersawah (yang enggan akan didenda), sekolah anak-anak Melayu, sakit, kematian dan sebagainya.

Fail mencatat segalanya

Di dalam fail pemilik lot tanah inilah dicatatkan segala-galanya, seperti urusan tukar hakmilik tanah, masalah keluarga, nasihat lembaga, perselisihan faham, kematian, kenduri kahwin dan sebagainya.

"Ada fail mengandungi laporan seperti jalan cerita sebuah drama," kata Shamsuri sambil menunjukkan fail-fail lama tulisan tangan yang tersimpan elok di Dewan Serbaguna Kampung Baru, di Jalan Hamzah, pejabat lembaga MAS kini.

Apa tidaknya, jika seorang penduduk bernama Maznah misalnya, kematian suami, ia akan dicatatkan.

Jika Maznah menukar nama pemilik harta pesaka atau ada anak angkat atau anak lelaki terlibat, akan direkodkan pertanyaan dan nasihat pembahagian harta yang diberikan lembaga kepadanya.

Dan jika berlaku perselisihan faham dengan suaminya sebelum itu dan diadukan kepada ketua kampung, akan juga ditulis dan disimpan di dalam fail.

Begitu juga sekiranya Maznah ada masalah dengan jiran, dan apabila perkara itu sampai ke pengetahuan ketua kampung, maka ia akan dilaporkan dan direkodkan dalam fail berkenaan.

Pendek kata, laporan tulisan tangan ini memperinci segalanya, daripada masalah yang timbul hinggalah kepada proses penyelesaiannya.

Orang Melayu ambil lembaga selepas Perang Dunia Kedua

Orang Melayu hanya mengambil alih lembaga pentadbiran MAS selepas Perang Dunia Kedua kerana sebelumnya kebanyakan anggotanya ialah pegawai Pentadbiran British.

Tidaklah menghairankan apabila wujud nama-nama jalan sempena pegawai penjajah itu di Kampung Baru seperti Watson, Perkins, Hale dan Stoney.

Lembaga akan bermesyuarat dua bulan sekali dan mengikut cerita John Hands, seorang daripada setiausaha kehormat lembaga itu, mesyuarat pertama lembaga itu diadakan pada 11 Mac 1900 dan dihadiri Raja Muda Selangor.

Dalam beberapa mesyuaratnya selepas itu perbincangan bertumpu kepada perkara mengenai pembukaan padang permainan, pembinaan sekolah, jalan, masjid, mengupah tukang, pelantikan guru mengaji Quran, guru besar, penyaluran air, pemasangan lampu dan segala perbelanjaan yang berkaitan dengannya.

Shamsuri kini tinggal di Jalan Raja Muda Musa, tanah asal datuknya di kawasan Pasar Minggu.

Pasar Minggu pada asalnya dinamakan Saturday Fair, merupakan tempat tumpuan penduduk Jawa terutamanya, yang menjual hasil pertanian dan makanan mereka seperti keropok dan tapai.

Sekolah untuk anak-anak Kampung Baru dari usia 5 hingga 12 tahun ditentukan oleh lembaga sementara kawasan kediaman hendaklah bersih dan petak bercucuk tanam mesti diusahakan. Wujud kesedaran politik, ibu pejabat Umno di Kampung Baru Disebabkan eratnya para penduduk melalui aktiviti harian mereka, maka lahirlah beberapa persatuan di Kampung Baru seperti pada awalnya Persatuan Penduduk Melayu Minangkabau, Persatuan Anak Melaka dan Persatuan Peranakan Jawa dan kemudian beralih kepada persatuan sukan seperti Persatuan Seni Silat Cekak Kampong Bharu.

Persatuan agama yang popular di Kampung Baru ketika itu ialah Persatuan Budi Pekerti Islam, antara persatuan yang pertama ditubuhkan.

Kemudian perkembangan politik mempengaruhi penubuhan Ikatan Setia Kampong Bharu pada tahun 1946 sehinggalah anggotanya diserapkan ke dalam Umno Kampung Baru yang dikatakan memainkan peranan penting dalam Umno Malaya kerana ibu pejabat Umno terletak di sempadan kampung, di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PPKB) dan Persatuan Anak Melayu Kampung Baru (Pakam) hanya ditubuhkan beberapa dekad kemudian, iaitu pada 1994 untuk memperjuang isu pembangunan kampung ini.

Dalam pengkisahannya, Hands turut menceritakan bahawa lembaga pentadbiran MAS dari semasa ke semasa meluluskan beberapa undang-undang kecil mengikut keperluan, seperti melarang penyewaan rumah oleh penduduk tanpa kebenaran lembaga, tidak membenarkan mengupah pekerja bukan Melayu dan melarang penternakan lembu, kambing dan lain-lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kampung Baru: Antara dua darjat

Artikel Lain