Hilang pekerjaan bukan bermakna hilang segala-galanya

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aini (bukan nama sebenar) merenung ke luar jendela. Dari tingkat 13 pangsapuri yang didiaminya, jelas menara berkembar Petronas begitu gah tersergam.

Dari jendela itu juga dia dapat melihat panorama indah bandaraya Kuala Lumpur, kota yang menyimpan seribu macam kisah suka duka penghuninya.

Anak gadis yang berusia lewat 20an itu sebenarnya resah. Dia yang sudah bekerja beberapa tahun dengan sebuah cawangan institusi kewangan antarabangsa bimbang akan kehilangan pekerjaannya.

Sudah terdengar desas-desus akan berlaku pemberhentian kerja meskipun perkataan yang akan digunakan kedengaran lembut iaitu skim pemisahan sukarela (VSS). Ini menjadikan Aini semakin gelisah. Kedatangan tahun baru 2009 disambut longlai, tidak seceria seperti tahun-tahun sebelumnya.

Mungkin tidak ada lagi panorama menara berkembar buat Aini. Mungkin juga dia akan terpaksa menggalas beg dan pulang ke kampung halamannya, menjadi 'APT' atau 'Ahli Penganggur Terpaksa' sekiranya diberhentikan kerja dan tidak ada peluang meraih pekerjaan lain dalam masa terdekat.

Aini sebenarnya bukan keseorangan. Ramai pekerja lain dijangka menerima nasib malang kehilangan mata pencarian tahun ini. Ekonomi dunia yang merudum dijangka memberi impak buruk kepada banyak syarikat, menjadikan 2009 sebagai tahun yang amat sukar!

IMPAK BURUK

Pelbagai pihak menjangkakan impak krisis ekonomi global akan menjadi semakin ketara tahun ini. Kebimbangan ini sebenarnya sudah diuar-uarkan sebelum menjelang tahun baru lagi.

Iklim ekonomi dunia yang merudum ini membuatkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dilaporkan baru-baru ini membuat unjuran sehingga 25 juta orang dijangka diberhentikan kerja di seluruh dunia menjelang 2010.

OECD, yang meliputi 30 negara termasuk semua negara perindustrian dunia, turut membuat unjuran pemulihan ekonomi akan berlaku pada akhir 2009 dan pertumbuhan lemah pada 2010!

Sebelum ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dilapor membuat unjuran bilangan pengangguran global dijangka meningkat sehingga 20 juta untuk mencecah paras tertinggi 210 juta orang menjelang akhir 2009!

DALAM NEGARA

Situasi suram turut dijangkakan dalam sektor pekerjaan tempatan dengan jangkaan pemberhentian pekerja menjadi serius tahun ini.

Lebih 4,700 pekerja tempatan pelbagai sektor dijangka diberhentikan dalam tempoh tiga bulan pertama 2009. Ini sebagai langkah persediaan majikan mengurang kos dan kerugian dalam menjangka krisis ekonomi global bertambah teruk tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam memberitahu media barubaru ini, 102 majikan mengemukakan laporan kepada pihaknya untuk memberhentikan pekerja mereka secara berperingkatperingkat bermula Januari ini. Persekutuan Majikanmajikan Malaysia (MEF) pula dilapor menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun ini!

Bagi 1,500 pekerja Western Digital (M) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Samajaya, Sarawak, mereka boleh dikatakan antara kumpulan awal menerima kejutan pahit sebelum menjelang tahun baru 2009.

Syarikat pembuat cakera keras yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu bertindak menutup operasinya dengan alasan beban kegawatan ekonomi.

Pekerja asing juga dijangka tidak terkecuali daripada tindakan pemberhentian kerja ini. Dr S. Subramaniam dilapor memberitahu bahawa 2,000 pekerja asing dijangka diberhenti kerja dalam tempoh dua bulan ini.

LANGKAH TERAKHIR

Di sebalik kemelut ekonomi yang berterusan, diharap pihak majikan akan hanya membuat pemberhentian pekerja sebagai langkah terakhir dalam menangani krisis berkenaan.

Ini turut disuarakan Dr S. Subramaniam ketika melancarkan buku Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Johor di Johor Bahru pada Disember 2008.

Beliau turut melancarkan Bilik Gerakan Pemberhentian Pekerja yang dibuka di seluruh negara. Pekerja yang mengalami masalah boleh membuat aduan ke bilik gerakan dengan menelefon talian 0388905015/88905016/88905017/88905018 pada waktu kerja.

Antara langkah awal yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan pemberhentian pekerja termasuk mengurangkan tuntutan kerja lebih masa, cuti, jangka masa kerja serta gaji.

Dalam masa yang sama, pihak kerajaan diharap memantau perkembangan supaya tidak ada majikan yang sewenangwenangnya mengambil kesempatan membuang pekerja dengan berselindung di sebalik alasan krisis ekonomi.

Nasib pekerja yang diberhentikan diharap tidak menjadi seperti "sudah jatuh ditimpa tangga" apabila majikan bertindak mengabaikan kebajikan mereka tanpa memberi pampasan atau faedah penamatan kerja yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan undang-undang di negara ini.

Sebarang langkah pemberhentian pekerja secara sukarela atau sementara perlu dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekurangkurangnya 30 hari sebelum tindakan pemberhentian.

KURANG PEKERJA ASING

Dalam ketika pekerja tempatan menghadapi risiko diberhentikan kerja, mungkin ada yang menuding jari ke atas lambakan pekerja asing di negara ini.

Apakah "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan?" Dilaporkan terdapat sekitar 1.2 juta pekerja asing di Malaysia, iaitu kirakira 20 peratus daripada jumlah pekerja di negara ini.

Kementerian Sumber Manusia bagaimanapun dilaporkan barubaru ini sedang menimbang untuk membekukan pengambilan pekerja asing. Ini dilihat sebagai langkah untuk membantu pekerja tempatan yang kehilangan mata pencarian termasuk mereka yang bekerja di Singapura.

Media baru-baru ini melaporkan kira-kira setengah juta pekerja di Singapura berdepan dengan kemungkinan diberhentikan termasuk pekerja dari Malaysia.

Sehingga November 2008, dilaporkan seramai 28,000 penganggur mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja di mana 6,000 kemudiannya dilaporkan telah memperolehi pekerjaan.

PELBAGAI INSENTIF

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, ini bukan bermakna kegelapan hidup buat selamalamanya.

Kerajaan sudah membuat pengumuman akan bekerjasama dengan institusi awam dan swasta berkaitan untuk menyediakan program latihan semula bagi membantu mereka yang diberhentikan kerja.

Di bawah program tersebut, pekerja yang diberhentikan kerja akan dilatih untuk menguasai kemahiran baru bagi mengisi kekosongan kerja dalam bidang yang belum pernah mereka ceburi.

Antara bidang tersebut ialah perkhidmatan pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kabinet dilapor telah meluluskan sejumlah $100 juta untuk melatih semula mereka yang diberhentikan kerja.

Dalam hal ini, pekerja yang terbabit hanya perlu bersikap terbuka dan mempunyai iltizam untuk menerima sebarang perubahan. Mereka juga tidak boleh lagi bersikap terlalu memilih kerja.

Malah mereka juga boleh meneroka bidang keusahawanan menerusi pelbagai insentif yang disediakan kerajaan.

Antara program usahawan ialah yang dipelopori Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di mana sebanyak RM45 juta diperuntukkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan desa sepanjang tahun ini.

Dalam hal ini juga, mereka boleh menjadikan Mohammed Chin, 63, yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Usahawan Tunas Mekar 2008 (kategori lelaki) sebagai contoh.

Meskipun hilang sebelah tangan akibat kemalangan, Mohammed tidak menjadikan kecacatan tersebut sebagai halangan untuk beliau berusaha sehingga menjadi usahawan yang berjaya! BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan