Menjadi sukarelawan satu kepuasan?

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA diminta menawarkan diri untuk kerja sukarela, pasti ramai yang akan berfikir panjang. Apa tidaknya, kerana tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran, dan kerap kali tiada penghargaan.

Namun ramai juga individu seperti Shahriman Abdul Rahman, 37, anggota sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Salam Malaysia( Salam), yang merasakan kerja sebagai sukarelawan memberikan kepuasan.

Pekerja kilang di Mentakab, Pahang, ini menganggotai pertubuhan itu sejak tahun 2000 kerana merasakan kerja sukarelawan adalah satu perkara yang terbaik pernah dilakukan untuk membantu insan yang memerlukan.

"Pelbagai program yang telah saya ikuti dan terbaru ialah mengikuti misi kemanusiaan ke Kemboja anjuran Salam dan MAYC (Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia) Veteran Kedah.

"Di sana kami dapat melihat selain merasai kesusahan masyarakat Islam di Kratie (Kemboja).Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh sekarang," katanya.

Kata-kata Shahriman turut disokong rakannya, Diana Syafiza Said, 26, yang berpendapat kerja sukarelawan mampu melatih diri menghargai setiap pemberian yang dikurniakan.

"Saya rasa lebih bersyukur kerana kalau kita fikir kita susah, masih ada orang yang lebih susah. Saya juga berminat jadi sukarelawan sebab ini memberi kepuasan kepada saya selain minat saya untuk membantu orang yang memerlukan," katanya yang bekerja sebagai Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Cabaran menjadi sukarelawan

Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misimisi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng.

Shahriman juga berpendapat dalam menjalankan kerja kebajikan atau sukarela, cabaran mental dan fizikal, amat diperlukan.

"Kita harus mempunyai keyakinan diri selain sihat tubuh badan untuk menjalankan kerja sukarela ini. Macam ketika kejadian Tsunami di Aceh, kami memerlukan sepenuhnya kudrat untuk mengangkat mayat," katanya.

Bagi Diana Syafiza pula, sebagai seorang wanita, beliau tetap bersemangat melakukan tugasnya walaupun menuntut pengorbanan yang tinggi daripada segi tenaga, wang dan masa selain terdedah kepada bahaya dan risiko penyakit.

"Apa yang penting kita harus tabah dan berani untuk melakukan tugas sebegini. Bukan semua orang mampu untuk membuatnya. Menyertai badan sukarela bukan bertujuan makan angin atau melancong.

"Tanggapan itu tidak boleh ada sama sekali. Kita kena ikhlas dengan apa yang kita nak buat. Barulah apa yang kita buat diberkati," katanya.

Kos menjadi cabaran

Anggota Lembaga Pemegang Amanah Salam Datuk Ahmad A. Talib berkata kos dan dana adalah cabaran utama bagi menjayakan sesuatu misi kemanusiaan.

"Apa yang menjadi masalah ialah kos. Kami mengharapkan akan ada individu atau badan-badan korporat yang bermurah hati untuk membantu. Bagi individu, pihak kami akan mengeluarkan resit yang membolehkan mereka mendapat rebat cukai pendapatan.

"Seperti contohnya pembinaan masjid di Kampung Praksandai, Tropengbeang, dan Tanaksawai (wilayah Kratie, Kemboja) yang mana setiap satunya memerlukan perbelanjaan hampir RM63,000. Tetapi buat masa ini kami hanya mampu membantu setakat RM10,000 sahaja," katanya.

Sementara itu, Presiden MAYC Veteran Kedah Fazilah Ismail pula berkata MAYC Veteran hanya wujud di Kedah.

"Di negeri-negeri lain, masih belum ada. Tujuan kami adalah untuk membantu bekas aktivis masyarakat yang berumur kerana selepas bersara menjadi aktivis, mereka ini seolah dilupakan.

"Untuk itu kami akan membantu setakat yang mampu," katanya.

Salam dan MAYC Veteran Kedah saling bekerjasama bagi membantu mereka yang ditimpa kesusahan dan projek kemanusiaan ke Kemboja adalah misi kedua bagi keduadua pertubuhan itu.

Misi kemanusiaan

Bagi Salam, misi kemanusiaan adalah misi utama yang diberi perhatian penuh.

Ahmad berkata sekiranya tidak mempunyai dana sekalipun untuk membantu, yayasan itu akan tetap digerakkan untuk membantu sekadar yang boleh terutama daripada segi tenaga dan kepakaran.

Semasa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini pada 6 Dis lepas, Salam melancarkan Tabung Bencana Bukit Antarabangsa bagi membantu penduduk yang terbabit.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan keuntungan, membantu rakyat negara ini yang ditimpa bencana adalah keutamaan.

"Kami tidak mahu dilihat seperti menganaktirikan rakyat negara ini apabila kami menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain. Kami lebih mementingkan bantuan kepada mereka yang susah di sini dan baru kemudian kami fikirkan untuk membantu rakyat Somalia dan Pakistan umpamanya," kata beliau. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan