suria

Keunikan kasut manik, serlah keanggunan si pemakai rasmi

Semuanya bermula hanya sekadar hobi mencantumkan satu persatu manik kecil menjadi gambaran yang cantik.

Namun kini hobi Daun Tan bukan sahaja terserlah di mata dan hati orang ramai malahan dapat dikomersialkan apabila beliau membuat keputusan menjahit manik sebagai hiasan pada kasut dan terompah.

Hasil kreativiti Daun Tan, 45, diperlihatkan dengan bangganya di kedai milik beliau di Jonker Walk di sini iaitu lokasi yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Menurut wanita ini, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun membuat kasut manik, hasil kreativitinya mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan pelancong ke Melaka.

Tan berkata, walaupun fesyen kasut semakin berkembang pesat dengan pelbagai corak dan bentuk dalam pasaran, ia tidak menjejaskan permintan kasut manik buatannya kerana kasut yang dihiasi dengan manik pelbagai warna dan saiz mempunyai tarikan tersendiri kepada pemakainya.

Malahan ramai yang menganggap ia sebagai satu lambang tradisi yang perlu terus dikekalkan.

CORAK FLORA DAN FAUNA

Manik dan corak, yang diilhamkan kebanyakannya berasaskan flora dan fauna, dijahit pada kain yang diikat kemas pada pemidang tekat. Tan menggunakan benang khas untuk mencantumkan manik bagi mengelakkannya mudah putus dan manik keluaran Jepun menjadi pilihan kerana mempunyai saiz yang sama walaupun harganya agak mahal.

Katanya, sejak dahulu hingga sekarang, permintaan bagi kasut manik masih tetap ada dan semakin meningkat.

"Mungkin sesetengah pengguna inginkan kelainan dan bosan dengan fesyen terkini kasut yang ada di pasaran dan kadangkala banyak yang sama dengan orang lain, oleh itu bagi mereka yang inginkan kelainan akan memilih untuk mengguna kasut manik", katanya di sini baru-baru ini.

SESUAI MAJLIS RASMI

Katanya, kasut manik begitu sinonim dipadankan dengan pakaian tradisi seperti kebaya nyonya ataupun baju kurung pesak yang akan menambahkan lagi seri si pemakai.

Kasut manik ini juga sesuai dipakai pada majlis rasmi mahupun majlis seperti makan malam dan perkahwinan serta ada yang gemar memadankan kasut manik dengan tas tangan agar kelihatan lebih anggun, katanya.

Tan berkata, pelanggan boleh membuat tempahan mengikut citarasa masingmasing dan tempoh untuk menyiapkan kasut manik adalah antara tiga minggu dan dua bulan setengah.

"Sekiranya reka bentuk ringkas dan tidak terlalu banyak warna manik ia boleh disiapkan dalam tiga minggu sahaja tetapi kalau reka bentuknya agak sukar tempoh menyiapkannya boleh mencecah dua bulan setengah", katanya.

Katanya, sepasang kasut manik yang siap ditempah biasanya dijual dengan harga lebih RM150 hingga kadangkala boleh mencecah ribuan ringgit mengikut pada bentuk dan rekaan kasut tersebut.

"Premis ini bukan sahaja dikunjungi oleh warga tempatan malah pelancong luar negara yang datang untuk melihat sendiri keunikan pembuatan kasut manik dan kadangkala ada juga membeli untuk tujuan kenangan", katanya.

Pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kebanyakannya mencari kelainan dan keunikan reka bentuk. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain