Pencakar langit Burj Dubai kebanggaan Nor Shahrom

Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MERCU TANDA ... Burj Dubai, bangunan yang diiktiraf sebagai struktur buatan manusia tertinggi di dunia, kini sedang rancak dibina di Dubai. -foto Bernama
MERCU TANDA ... Burj Dubai, bangunan yang diiktiraf sebagai struktur buatan manusia tertinggi di dunia, kini sedang rancak dibina di Dubai. -foto Bernama

BELIAU terlibat dalam projek Burj Dubai, yang diusahakan Emaar Properties, sejak hari pertama lagi, tetapi warga Malaysia, Nor Shaharom Mansor tetap terpegun setiap kali melihat keindahan senibina bangunan yang semakin memuncak tingginya menggapai langit.

Nor Shaharom, penolong pengarah di Emaar bagi projek menara Burj Dubai ini, bagaimanapun tidak semudah itu membocorkan rahsia yang tertutup rapi mengenai ketinggian sebenar bangunan ikonik ini yang boleh dilihat dari sejauh beberapa kilometer.

Dan beliau akan memberitahu anda bahawa sebarang cubaan untuk mencungkil maklumat berharga itu daripada mana-mana pihak yang terlibat juga adalah sia-sia.

"Setiap konsultan dan kontraktor yang terlibat dalam projek ini telah diminta menandatangani perjanjian menyimpan rahsia bagi memastikan pembocoran maklumat dikawal," kata Nor Shaharom, anak kelahiran Melaka ini kepada Bernama di pejabat sementara beliau di kaki bangunan pencakar langit yang sedang dibina ini.

"Ketinggian sebenarnya masih lagi rahsia. Ia “mungkin didedahkan” kepada umum sehari sebelum perasmiannya," kata Nor Shaharom sambil ketawa dan memberikan jawapan selamat apabila ditujah dengan soalan tentang ketinggian bangunan ini.

Struktur tertinggi dunia

Bangunan ini, yang telah pun diiktiraf sebagai struktur buatan manusia tertinggi di dunia, akan siap pada September 2009, menurut Emaar, pemaju yang berpusat di Dubai ini.

Pada asalnya Burj Dubai dijadual siap menjelang akhir tahun ini tetapi sasaran tarikhnya diubah setelah ketinggian sebenar menara ini dikaji semula, begitu juga penambahan pada reka bentuknya.

Bagi siswazah lulusan senibina University of Louisiana, Lafayette Amerika Syarikat ini, penglibatan beliau dalam daya usaha yang begini besar merupakan satu cabaran dan penghormatan.

"Apa yang saya lihat ialah ini mungkin kemuncak kerjaya saya. Menara ini ialah struktur tertinggi yang pernah dibina manusia; tiada siapa yang pernah melakukannya sebelum ini. Ia boleh dikatakan puncak pencapaian manusia," kata Nor Shaharom.

"Saya secara dasarnya terlibat dari bermulanya projek ini hinggalah ia siap nanti," cerita Nor Shaharom yang dipinjamkan kepada Emaar daripada sebuah syarikat pengurusan projek berpejabat di Kuala Lumpur, mengenai kerjanya.

Bandar dalam bandar

Burj Dubai akan menjadi hiasan tengah bagi pembangunan bandar dalam bandar seluas 200 hektar yang dinamakan “Downtown” Burj Dubai.

Projek bernilai US$20 bilion ini secara keseluruhannya merangkumi 30,000 buah rumah, hotel, termasuk Hotel Armani yang pertama di dunia, dibina dengan kerjasama syarikat pakaian jenama Giorgio Armani S.p.A., menara kediaman, ruang pejabat mewah, taman, tasik buatan manusia dan apa yang dijanjikan Emaar, ciri hebat pancutan air "Dubai Fountain".

Burj Dubai juga akan mempunyai pelantar peninjau di aras 124 yang akan dibuka kepada orang ramai, dua tingkat parkir kereta dan lima tingkat podium.

Dalam kawasan itu juga terdapat Dubai Mall yang baru dibuka, dan dianggap sebagai sebuah daripada pusat membeli belah dan destinasi hiburan terbesar di dunia.

Emaar menjalin usahasama dengan syarikat binaan utama Korea Selatan, Samsung Corporation dan pengurus projek di New York, Turner Construction untuk membina Burj Dubai.

Ketinggian sebenar Burj Dubai

Mengikut satu laporan April tahun ini, Burj Dubai sudah melepasi ketinggian tiang KVLYTV di North Dakota, Amerika Syarikat, untuk menjadi struktur buatan manusia tertinggi di dunia. Ketinggian Burj Dubai ketika itu ialah 629m sementara tiang KVLYTV, yang memegang rekod struktur bersokong tertinggi di dunia sejak 1963, berukuran 628.8 meter.

Khabar angin mengatakan ketinggian muktamad Burj Dubai ialah antara 700m dan 1,000m. Dilaporkan juga satu lagi pemaju Dubai, Nakheel, merancang membina menara setinggi 1km untuk mengatasi Burj Dubai, Emaar. Bagaimana agaknya pemandangan dari atas sana.

"Hebat sekali," kata Nor Shaharom. Dan keadaan agak sejuk bila berada di atas awan.

"Bagi setiap 100m yang anda naiki, suhu akan jatuh 0.7 darjah Celsius. Ia amat sejuk terutama pada musim dingin. Jadi setiap kali saya naik ke atas, saya akan pakai baju tebal," katanya.

Malaysia boleh

Bagi Nor Shaharom, cabarannya lebih realistik.

"Bila saya menyahut cabaran untuk datang ke sini, saya merasakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk membuktikan bahawa kita boleh sampai ke peringkat antarabangsa dan bersaing dengan orang lain dari merata tempat," katanya.

Menceritakan pengalaman bekerja di sini, beliau mengakui ia tidak semudah yang dilihat.

"Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan berusaha keras untuk dihormati rakan setugas yang semuanya dari luar negara," katanya.

Dan disiplin yang kuat serta dedikasi turut membantu, kata Nor Shaharom.

Dengan sejumlah 45 konsultan dan 8,000 pekerja mahir bertungkus lumus 24 jam sehari untuk menyiapkan bangunan yang semakin tinggi pada kadar satu tingkat setiap tiga hari, Nor Shaharom perlu sentiasa bersedia.

Ditanya bagaimana agaknya perasaan beliau setelah Burj Dubai siap, beliau tersenyum dan berkata "Saya akan kata "Malaysia Boleh". BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan