suria

Memperjelas persoalan kontrak sosial

SEJAK beberapa bulan kebelakangan, persoalan mengenai kontrak sosial sering kali menjadi topik diskusi pelbagai pihak, baik kalangan perundangan, ahli politik mahupun mereka yang berkepentingan.

Masing-masing tidak silu menyatakan pandangan meskipun adakalanya pendapat itu mencerminkan kedangkalan mereka tentang isu yang dibahaskan, hingga 'mencuit hati' pakar perundangan yang memerhati.

Antara mereka ialah pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan kewajaran isu tersebut diperbesarbesarkan.

"Pada saya isu ini tak ada apaapa pun. Jadi saya tak faham mengapa nak dibahas dan didebatkan sehingga membawa gambaran seolaholah orang Melayu sedang diancam," katanya dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Penyelaras kursus undang-undang Perlembagaan UIAM itu juga berpandangan kebanyakan yang bersuara mengenai isu tersebut kurang memahami intipati Perlembagaan sehingga menafikan kewujudan konsep kontrak sosial di negara ini.

"Memang terma kontrak sosial tak ada (dalam Perlembagaan Persekutuan), tapi saya tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa konsep itu tak ada. Konsep kontrak sosial (di negara ini) tak sama dengan kontrak sosial (oleh ahli falsafah) John Locke ataupun Thomas Hobbes, tetapi perkara pokoknya ialah mengenai tolak ansur).

"Memang definisinya berbeza daripada tanggapan bahawa orang menyerahkan hak mereka kepada negara sebagai balasan kepada perlindungan. Itu lain, tetapi soalnya isu ini ada quid proquo (perkataan latin bermaksud "sesuatu untuk sesutau"), ada kompromi, saling bertolak ansur antara kaum," kata Ketua Editor Jurnal Undang-Undang UIAM itu.

Abdul Aziz menjelaskan walaupun konsep kontrak sosial tersebut tidak tertulis secara hitam putih, ia sebenarnya dimanifestasikan dalam Perlembagaan menerusi beberapa peruntukan termasuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini bukan perjanjian undang-undang secara langsung, ini adalah falsafah politik, bukan seperti kita beli kereta, beli rumah ada S & P (Perjanjian Jual Beli), jadi jangan dikelirukan... kalau tak faham diam saja," katanya.

Selain itu katanya, makna kontrak sosial dimanifestasi dalam pelbagai aspek lain dalam Perlembagaan termasuk Perkara 3 (berkenaan Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan), Perkara 152 (penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi).

"Ini semua menunjukkan unsur tolak ansur sebab dalam Perkara 152 misalnya walaupun bahasa Melayu jadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh dituturkan," katanya.

Abdul Aziz juga berpandangan bahawa kontrak sosial dalam konteks negara ini boleh berubah mengikut keadaan seperti dibuktikan menerusi pindaan Perkara 153 pada tahun 1963 apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan.

"Apabila Bumiputera Sabah dan Sarawak diberi kedudukan yang sama (dengan orang Melayu), pada 1963 (Perkara 153) dipinda bahawa sekarang Yang di-Pertuan Agong diberi tanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

"Maksudnya sekarang bukan saja antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kaum lain. Ini maksudnya (kontrak sosial) boleh berubah, ikut masa, ikut keadaan asalkan perubahan itu dibuat secara telus, secara terbuka dan tidak secara unilateral," katanya.

Beliau turut menyifatkan dakwaan sesetengah individu bahawa kontrak sosial itu hanya menjaga kepentingan orang Melayu sebagai suatu pandangan yang jahil.

"Sebenarnya kalau kita bercakap daripada segi relevan dan kepentingannya (kontrak sosial), ia penting untuk semua orang, Melayu dan bukan Melayu. Tanpa kontrak sosial keadaan negara akan kacau dan siapa pun tak boleh hidup dengan aman.

"Sekarang kita tak perlu bercakap pasal kontrak sosial, tetapi soal mengisi dan melaksanakan Perlembagaan. Itu saja cukup sebab itu kontrak sosial dah," katanya.

Abdul Aziz menghujahkan tidak ada sebab untuk orang Melayu berasa terancam dengan tuntutan yang dibuat oleh bukan Melayu kebelakangan ini kerana hak orang Melayu dilindungi Perlembagaan.

"Jika Lim Kit Siang (Penasihat DAP) jadi Perdana Menteri sekalipun, dia tak boleh mengingkari Perkara 153, kalau dia nak buat satu perubahan polisi sekalipun dia kena bincang dengan Majlis Raja-Raja seperti yang dikehendaki Perkara 38 Fasal 5.

"Mereka (Melayu) dilindungi, dijaga dengan baik dalam Perlembagaan, seiapa pun tidak boleh keluarkan peruntukan berkenaan sewenang-wenangnya, tidak boleh pinda Perlembagaan tanpa persetujuan Majlis (Raja-Raja), di negerinegeri tanpa sultan mereka tak boleh pinda tanpa persetujuan TYT (Tuan Yang Terutama). Jadi apa yang kita nak takut?" katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kesilapan sebenar terletak di tangan rakyat kerana beranggapan Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk melakukan segala-galanya termasuk meminda Perlembagaan.

Malah, kata Abdul Aziz, segala kekeliruan yang timbul sekarang termasuk isu ketuanan Melayu terhasil daripada salah faham dan keengganan pihak yang berkenaan untuk memahami makna sebenar falsafah-falsafah politik yang ada.

"Itu (ketuanan Melayu) satu lagi falsafah politik. Dalam Perlembagaan ia sebagai identiti kita, bukan soal ketuanan. Kalau kita bercakap soal ketuanan Melayu ada tuan dan lainnya ialah kelas kedua atau hamba iaitu sesuatu yang tidak boleh diterima, sama ada melalui Pelembagaan demokratik atau malahan dalam Islam.

"Adakah anda katakan yang orang Melayu dapat layanan istimewa dalam semua aspek? Isu ketuanan Melayu ini pun timbul kemudian dan pada saya lagi banyak anda perkatakan mengenainya, akan timbul lebih banyak percanggahan," katanya.

Beliau seterusnya menyimpulkan jatuh bangun orang Melayu terletak di tangan bangsa sendiri, memandangkan mereka telah pun mempunyai perlindungan yang ampuh dalam bentuk Perlembagaan.

"Sebenarnya ia suatu yang memalukan, yang pelik dan ganjil, sudah merdeka 50 tahun kita masih bercakap soal-soal ini. Sepatutnya perkara ini sudah selesai. Tidak timbul lagi soal Melayu miskin, tak timbul lagi soal Melayu terancam, soal Melayu terpinggir dan sebagainya," katanya mengakhiri temubual. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain