suria

Telur Pindang dan telur merah pelengkap majlis perkahwinan

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat meminggirkan banyak daripada amalan budaya tetapi ada amalan yang terus kekal seperti memberi bunga telur kepada tetamu pada majlis perkahwinan orang Melayu.

Bagaimanapun, sekarang ini, telur rebus biasa semakin digantikan oleh ’telur pindang’ yang pada satu ketika dahulu terhad di Johor sahaja atau telur merah yang asal usulnya daripada adat resam Cina. Bunga telur diberikan sebagai menghargai kedatangan tetamu ke majlis perkahwinan.

RASA DAN WARNA Siti Aishah Md Kosim, 25, dari Perusahaan Telur Pindang Warisan (ELPIN) berkata, telur pindang yang merupakan makanan tradisional Johor mempunyai rasa dan cara pembuatan yang unik. ”Keunikan telur pindang terletak pada warna dan rasanya. Warna telur pindang yang gelap membuatkannya berbeza daripada telur rebus biasa.

”Rasa yang unik pula adalah hasil daripada pelbagai herba dan ramuan yang digunakan semasa direneh bersama-sama telur,” jelas Siti Aishah yang ditemui baru-baru ini.

Siti Aishah menambah, “walaupun berasal dari Johor, namun kini telur pindang semakin kerap dijadikan pemberian kepada para tetamu pada majlis perkahwinan, tanpa mengira negeri mahupun kaum. ”Kalau pada zaman dahulu, kebanyakan tetamu tidak mahu pulang sebelum diberikan telur pindang, saya percaya pada zaman sekarang peminat telur pindang juga masih ternanti-nantikannya apabila menghadiri majlis perkahwinan,” katanya. PROSES PEMBUATAN

Menurut Siti Aishah, menghasilkan telur pindang bukanlah suatu kerja yang mudah kerana ianya memakan masa yang lama. Tambahan pula, bermula dari peringkat pemilihan telur sehinggalah telur selesai direbus, kesemuanya harus dilakukan dengan penuh teliti supaya rasa dan warna telur pindang kekal seperti resepi asal.

Pengasas Perusahaan Telur Pindang Warisan, Jalil Nasir ketika dihubungi menjelaskan langkah-langkah untuk menghasilkan Telur Pindang Warisan. ”Pertama, telur-telur yang segar dan baik sahaja yang akan dipilih dan diambil dari ladang. Terlebih dahulu, kami juga akan memastikan agar ayam yang diternak di ladang diberi makanan yang berkualiti. Kemudian, telur-telur itu akan dicuci sebelum direbus bersama rempah ratus,” jelasnya.

Menurut Jalil, sebarang kecuaian dalam proses pembuatan telur pindang mungkin mengundang masalah.

Lebih 10 jenis ramuan rempah dan herba digunakan dengan cara direbus bersama telur untuk menghasilkan telur yang berwarna gelap dan mempunyai rasa eksotik.

Antara ramuannya ialah daun manggis, daun senduduk, daun jambu batu, halia, lengkuas, kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih, buah pelaga dan serai.

”Gabungan daun senduduk, daun jambu batu dan daun manggis inilah yang menyebabkan telur pindang berwarna gelap,” kata Jalil.

”Sementara lengkuas, halia dan serai pula memberikan rasa yang berbeza daripada telur rebus biasa,” katanya sambil menegaskan bahawa tiada sebarang pengawet atau perasa lain yang ditambah pada produknya itu.

Selepas tiga hari, proses merebus akan selesai dan telur akan dipindahkan untuk dibungkus dan diedarkan.

KEKAL IDENTITI

Kesungguhan dan penat lelah Jalil kini berbayar apabila perusahaannya mampu menghasilkan sehingga 25,000 biji telur pindang untuk diedarkan ke lebih 385 kiosk, stesen-stesen minyak, gerai dan warung serta restoran di seluruh Lembah Klang.

Jalil berkata, perusahaannya ini bukan sekadar untuk memenuhi minat dan mencari keuntungan semata-mata, namun ia juga tertumpu kepada usaha mengekalkan telur pindang sebagai makanan dan buah tangan warisan.

”Kalau Jepun terkenal dengan sushi tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia juga boleh terkenal kerana telur pindang,” seloroh Jalil.

Beliau juga yakin bahawa telur boleh dijadikan makanan kesihatan pada masa akan datang.

Tambahnya lagi, pemberian telur pindang bukan sahaja wajar dikekalkan dalam sesebuah majlis perkahwinan malah pada majlis keramaian seperti majlis khatam quran, majlis cukur jambul, istiadat diraja dan majlis lain seumpamanya.

”Masyarakat Malaysia haruslah melihat potensi telur pindang bukan sahaja sebagai bahan makanan tetapi juga sebagai satu industri yang boleh memberikan banyak peluang perniagaan,” kata Jalil.

”Lebih penting, telur pindang merupakan sebahagian daripada budaya yang mempererat ukhwah dan keakraban sesama anggota masyarakat sekiranya dipertemukan dalam sesebuah keramaian. Budaya sebeginilah yang harus dipelihara,” jelasnya.

TELUR MERAH

Telur merah pula, yang sering dikaitkan dengan tradisi masyarakat Cina, tidak kurang popular di kalangan anggota masyarakat Malaysia hari ini.

Pemberiannya pada majlis perkahwinan mahupun majlis keraian lain sering disambut baik dan disukai para tetamu.

Bagi Amidah Ahmad, 62, yang menjalankan perniagaan membuat telur merah secara kecil-kecilan di Melaka, telur merah sememangnya istimewa mengikut tradisi dan kepercayaan masyarakat Cina.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina tradisional, telur adalah satu simbol kesuburan. Oleh sebab itu, pemberian telur merah seringkali dapat dilihat pada majlis perkahwinan atau menyambut kelahiran bayi.

Pada majlis menyambut kelahiran bayi, telur rebus yang diwarnakan dengan pewarna merah akan diberikan kepada saudara mara terdekat dan sebagai balasan, hadiah berupa pakaian bayi atau makanan tambahan seperti pati ayam akan diberikan kepada ibu bayi.

TIDAK SERUMIT TELUR PINDANG

Menurut Amidah, walaupun proses pembuatan telur merah tidaklah serumit penghasilan telur pindang namun ini tidak bermakna warisan tradisi itu harus dibiarkan begitu sahaja.

”Walaupun hanya dicelup dalam pewarna merah, kepercayaan masyarakat Cina terhadap warna merah sebagai lambang kemakmuran dan kebahagiaan itulah yang menjadi sebab mengapa telur merah masih ada sehingga ke hari ini,” jelas Amidah yang juga mengakui warna merah memang menarik mata sesiapa yang memandang.

Walaupun bergelar usahawan kecil dan hanya dibantu kaum keluarga, Amidah kini mampu menghasilkan sehingga 5,000 biji telur untuk satu-satu tempahan.

Justeru, baik Aishah, Jalil dan Amidah percaya ruang perniagaan yang diusahakan mereka bukan sahaja memberi keuntungan malahan dapat meneruskan kesinambungan tradisi masyarakat Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

The audacity of hope and dreams

Artikel Lain