Kehadiran AFC tidak beri faedah kepada Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

APAKAH rasional meratapi pemergian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari Malaysia sekiranya kehadirannya selepas 43 tahun bertapak di negara ini tidak memberi sebarang faedah kepada negara tuan rumah.

Hanya nilai sentimental yang mengikat AFC dengan Malaysia jika persekutuan yang mewakili 46 persatuan bola sepak di Asia itu berkeras mahu memindahkan ibu pejabatnya yang kini terletak di Bukit Jalil di sini ke negara lain.

Sekretariat AFC pada mulanya beroperasi di Hong Kong selepas penubuhan persekutuan tersebut pada 8 Mei 1954 di Manila, Filipina.

Pentadbirannya kemudian berpindah ke Pulau Pinang pada 1965 sebelum berpindah sekali lagi ke Ipoh, Perak pada 1975 dan tiga tahun kemudian membuka pejabatnya di Kuala Lumpur sebelum mempunyai bangunannya sendiri pada tahun 2000, "Rumah AFC" di Bukit Jalil.

Perpindahan AFC dari Hong Kong ke Malaysia adalah atas inisiatif bekas Perdana Menteri Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj sementara presidenPersatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertanggungjawab membantu persekutuan tersebut mempunyai bangunannya sendiri di Bukit Jalil.

Sejak beberapa tahun lepas, telah kedengaran khabar di kalangan penulis sukan bahawa pentadbiran AFC yang diketuai presidennya Mohammed Hammam dari Qatar mahu memindahkan ibu pejabat itu ke salah sebuah negara Teluk atau ke negara lain di sekitar Asean.

BIDAAN

AFC akhirnya menerusi mesyuarat Lembaga Eksekutifnya pada hujung Jun lepas membuka bidaan kepada anggotanya untuk cadangan memindahkan ibu pejabat itu dari Malaysia.

Kemuncaknya pada minggu lepas selepas AFC mengemukakan surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang mengandungi senarai permintaan perlu dipenuhi jika mahu ibu pejabat AFC kekal di Malaysia.

Antara tuntutan termasuk diberi pengecualian cukai terhadap pendapatan AFC, meminta pejabat baru, meminta pinjaman kewangan tanpa faedah daripada institusi kewangan negara selain status diplomat di kalangan pegawai AFC.

Hubungan AFC dan Malaysia menerusi FAM khususnya mula dingin sejak Julai tahun lepas dengan pembatalan kunjungan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United ke negara ini.

Kedatangan MU yang direstui kerajaan Malaysia, sebagai salah satu promosi sambutan 50 tahun Kemerdekaan negara pada tahun itu, dihalang oleh AFC yang mahu seluruh tumpuan media pada bulan Julai 2007 eksklusif untuk liputan Piala Asia 2007.

PERJANJIAN

Menurut AFC, FAM terikat dengan perjanjian bahawa Malaysia memberi sepenuh publisiti kepada Piala Asia di mana Kuala Lumpur adalah salah satu tuan rumah bagi kejohanan tersebut selain Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Setahun kemudian, nama AFC timbul lagi dalam arena bola sepak Malaysia selepas Kementerian Belia dan Sukan menggantung penganjuran Piala Juara Juara Belia (CYC) yang sepatutnya bermula 2 Ogos lepas.

Penganjuran CYC edisi kedua Ogos ini yang menelan belanja RM17 juta mendapat perhatian apabila FAM enggan memberi pengiktirafan dengan alasan penganjurnya kejohanan, Gifted Group Limited, membelakangkan FAM apabila ia cuba mendapatkan pengiktirafan FIFA melalui AFC.

Pengumuman Mohammed Hammam untuk memindahkan ibu pejabat AFC dari Malaysia mengejutkan banyak pihak termasuk bekas setiausaha agung persekutuan tersebut selama 30 tahun, Datuk Peter Velappan, yang menyifatkan presiden sekarang tidak memahami sejarah dan budaya bola sepak di Asia.

"Tindakan itu tidak sama sekali menghormati kesemua pemimpin Malaysia dan kakitangan AFC yang bekerja keras untuk membangun dan mempromosi sukan bola sepak di Asia," katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

KEKUATAN

Peter, bekas setiausaha agung selama 30 tahun, berkata perkembangan dan kekuatan AFC hari ini adalah disebabkan oleh kepimpinan, kerja keras dan sumbangan pemimpin negara sebelum ini serta sokongan kerajaan.

Almarhum Tunku Abdul Rahman menjadi presiden AFC selama 24 tahun diikuti oleh Tan Sri Hamzah Abu Samah selama 16 tahun dan Sultan Ahmad Shah selama lapan tahun sebelum diambil alih oleh Hammam.

Jika Mohammed Hammam tidak mengambil peduli mengenai nilai sentimental tersebut, beliau perlu menilai faedahnya pula jika AFC terus kekal di Bukit Jalil.

"Tiada. Tiada apa-apa faedah kepada Malaysia dan FAM," jelas setiausaha agung badan FAM, Lt. Jen (B) Datuk Azzuddin Ahmad.

Ketika ditanya apakah kehadiran AFC sedikit pun tidak mendatangkan faedah kepada negara ini dan FAM khususnya, Azzuddin dengan nada tegas mengatakan "tiada".

Jika ada pihak menganggap FAM mendapat sedikit kelebihan seperti keutamaan menjadi tuan rumah bagi kejohanan anjuran AFC atau pertukaran pegawai dengan adanya ibu pejabat AFC di negara ini, tanggapan tersebut jelas meleset.

Oleh demikian, FAM tidak berkeras jika AFC mahu berpindah, katanya.

Ketika ini, seluruh rakyat Malaysia berpendapat AFC tidak mengenang budi dan kerana itu tidak perlulah kita menangisi pemergian AFC.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan