Pelan peralihan kuasa Wanita Umno Ada apa dengan tiga bulan

Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:Pemilihan bagi jawatan tertinggi dalam Pergerakan Wanita Umno menjadi menarik apabila semakin banyak bahagian sayap parti akur dengan kehendak akar umbi yang mahu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

Biarpun pelan peralihan kuasa antara penyandang ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Shahrizat dipersetujui Exco Wanita Umno untuk diadakan pada Jun depan, 41 daripada 118 bahagian yang telah bersidang menyatakan pendirian untuk tetap mencalonkan Shahrizat.

Dalam kebanyakan situasi, akar umbi yang menyokong pencalonan Shahrizat berpandangan apakah rasional pergerakan itu perlu menunggu tiga bulan selepas tarikh Perhimpunan Agung Wanita Umno pada Mac depan bagi melaksanakan peralihan kuasa?

Shahrizat, yang sebelum ini membuat kenyataan untuk akur dengan pelan peralihan kuasa, masih terus 'membisu' walaupun telah mendapat sejumlah pencalonan yang melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan nombor satu dalam pergerakan itu.

Ketua Wanita Bahagian Bandar Tun Razak Salmah Pin berkata kehendak akar umbi tidak dapat disekat dan itulah hakikatnya ketika ini.

Salmah, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, berkata enam daripada sembilan bahagian di Wilayah Persekutuan yang telah bersidang mencalonkan Shahrizat untuk jawatan Ketua Wanita sementara tiga yang lain mencalonkan Rafidah untuk jawatan itu.

Salmah berkata biarpun bahagiannya akur dengan peralihan kuasa dan mencalonkan Rafidah tetapi beberapa bahagianbahagian lain tetap dengan pendirian untuk terus mencalonkan Shahrizat.

"Perkara ini agak memeranjatkan kerana sehari sebelum persidangan dibuat, Shahrizat telah memanggil semua ketua bahagian di Wilayah Persekutuan untuk akur dengan peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum ini.

"Ini adalah kehendak akar umbi dan kita tidak boleh sekat apa yang dikehendaki akar umbi," katanya kepada Bernama di sini.

Ketua Wanita Bahagian Jerlun Datuk Maznah Abdul Hamid berkata semua anggota Wanita Umno memang mengharapkan tidak ada pertandingan jawatan tertinggi pergerakan itu bagi mengelakkan perpecahan.

"Sebenarnya bila kita memberi pencalonan, bukan itu bermaksud kita nak menggasak seseorang bertanding. Cukuplah dengan masalah lain yang dihadapi negara termasuk kemelut ekonomi.

"Pencalonan ini sepatutnya menjadi gambaran kepada Rafidah dan Shahrizat untuk duduk dan berbincang semula bagi kebaikan Wanita Umno," katanya.

Bahagian Jerlun mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua pergerakan manakala anggota Exco Wanita Umno yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim dicalonkan bagi jawatan Naib Ketua Wanita.

Maznah berkata bahagiannya turut mengusulkan supaya Rafidah diberi jawatan penasihat dalam pergerakan itu untuk terus memberi sumbangan membangunkan parti.

Beliau turut meminta supaya Shahrizat menyatakan pendiriannya dan mengambil risiko berdasarkan sokongan akar umbi yang telah diberikan kepadanya.

Ketua Wanita Bahagian Permatang Pauh Normala Abdul berkata pencalonan yang diberikan kepada Shahrizat menunjukan keikhlasan anggota di peringkat akar umbi yang mahukan beliau bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.

"Tempoh tiga bulan itu tidak akan bawa banyak perubahan dan kerana itu lebih baik bagi terus (jawatan Ketua Wanita) kepada Shahrizat.

Bagaimanapun terpulanglah pada Shahrizat untuk membuat keputusan tetapi adalah menjadi harapan kami di peringkat akar umbi supaya beliau bersetuju.

Normala berkata adalah dikhuatiri nanti Shahrizat terpaksa memangku jawatan Ketua Wanita dan tidak mempunyai Naib Ketua Wanita untuk tempoh tiga tahun lagi.

Sehingga kini, 118 daripada 191 Wanita Bahagian telah menamatkan persidangan masing-masing.BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan