Persaingan jawatan tertinggi Umno hampir pasti

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertandingan bagi jawatan tertinggi Umno Mac depan dijangka tidak dapat dielakkan lagi dengan fokus kini kepada jawatan Timbalan Presiden.

Setakat ini Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Ali Rustam, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed telah melahirkan hasrat merebut jawatan nombor dua dalam parti itu.

Tiga lagi yang diuaruar turut beraspirasi ialah seorang lagi Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan anggota MT Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sekalipun ramai berpandangan setiap anggota Umno berhak bertanding, ada pula yang berpendapat bakal calon harus mengukur baju di badan sendiri, memandangkan secara amalannya Timbalan Presiden Umno akan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan akhir adalah di tangan 191 Bahagian yang bermesyuarat mulai Khamis ini kerana untuk layak bertanding, setiap bakal calon harus memperoleh pencalonan sekurangkurangnya daripada 38 Bahagian atau 20 peratus.

Berasaskan faktor itu pemerhati politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain dari Universiti Utara Malaysia yakin hanya 'seorang dua' sahaja yang akan 'terselamat' dan memperoleh kuota pencalonan yang ditetapkan.

"Akar umbi sudahpun buat keputusan siapa yang akan mereka calonkan, gandingan mana jadi pilihan, jadi kemasukan calon-calon baru ini tidak akan mempengaruhi mereka," kata pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang UUM itu.

Sambil meramalkan gandingan Najib dan Muhyiddin sebagai pilihan Presiden dan Timbalan Presiden kebanyakan bahagian, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan bagi kerusi Timbalan Presiden.

"Saya tak nafi Tan Sri Muhyiddin akan ditentang hebat sebab caloncalon baru seperti DAtuk Zahid ini mendapat tempat di hati orang muda. Bagi orang veteran, mereka tahu perjuangan dan menghargai sumbangan orang lama seperti Tan Sri Muhyiddin," kata Ahmad Atory.

Beliau berpendapat bahawa sepatutnya tidak berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden memandangkan Umno berada dalam proses pemulihan yang memerlukan semua pihak bersatu.

"Saya rasa yang lain (caloncalon) itu sepatutnya sokong Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin sebab atas inisiatif merekalah proses peralihan kuasa dipercepatkan. Tambahan pula Umno sekarang dalam proses pemulihan," katanya.

Ahmad Atory tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan untuk kerusi presiden sekiranya Najib gagal membuat pilihan yang tepat berkenaan siapa bakal menjadi orang kanannya.

Barangkali telahan beliau ada kebenaran memandangkan akar umbi berbisik-bisik bahawa ramai penyokong Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu Muhyiddin dilonjak ke kerusi Timbalan Presiden setelah menjadi Naib Presiden selama tiga penggal.

Malah sebelum pucuk pimpinan Umno memutuskan peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib dipercepat, terdapat khabar angin mengenai gandingan Tengku Razaleigh dan Muhyiddin sebagai calon pilihan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pendapat Ahmad Atory dikongsi seorang lagi penganalisis politik yang berpandangan pemegang jawatan nombor satu dan dua dalam parti harus serasi, kalaupun tidak, berusaha untuk menyesuaikan diri.

"Pada saya tak perlu ada pasukan, siapa yang dipilih (sebagai timbalan) oleh akar umbi, itulah orangnya yang harus diterima oleh nombor satu dan mesti ada usaha untuk bekerja bersama dengan meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan diri," kata Prof Dr Nik Anwar Nik Mahmud dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Walaupun ada yang berpendapat kebanyakan bahagian telah lama membuat keputusan, beliau berpandangan belum terlambat untuk setiap bahagian menimbang semula pilihan mereka dengan mengambil kira kemasukan calon baru dan muda.

Apa yang penting, kata pensyarah Jabatan Pengajian Sejarah Politik dan Strategik UKM ini, ialah bahagian harus memastikan calon yang dipilih mempunyai kriteria yang mampu memulihkan Umno.

"Perjuangan asal Umno ialah memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan dalam konteks sekarang pemimpin tersebut harus bijak mengimbangkan kepentingan orang Melayu dan bukan Melayu agar Umno tidak ditolak oleh bukan Melayu.

"Umno juga kena pastikan pemimpin yang dipilih tidak korup, pastikan mereka tidak ada niat jadikan parti sebagai kuda tunggangan untuk mencari kekayaan," kata Nik Anwar. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan